KEINDAHAN GUNUNG TAPIS DALAM
MEMORI
Cuti persekolahan
tiba lagi dan selama dua minggu hari yang perlu diisi. Belum lagi terfikir atau
termimpi di sanubari ini apa yang akan dilakukan oleh insan kerdil ini selama
dua minggu bersamaan 14 hari.Tiada hari yang terlalu panjang bagi mereka yang suka berfikir. Namun ketentuan adalah
daripada Illahi, hambamu ini serahkan segalanya kepadaMu untuk hambamu mengisi
waktu-waktu tersebut. Moga kurniaanMu yang terbaik kepada hambamu kerdil ini yang
sentiasa pasrah dengan keredhaanMu. Saat yang paling berharga di dalam
kehidupan seseorang ialah sewaktu individu tersebut dapat melakukan sesuatu
yang sampai bila-bila pun dapat dimanfaatkan di dalam kehidupan sehariannya. Tetapi
sebaliknya jika saat itu menusuk kalbu dan merupakan kekecewaan, kegagalan,
kerugian dan penderitaan. Pada saat ini, penyesalan sudah tidak berguna lagi.
Sebagai individu saya tidak harus leka dengan perkara-perkara negatif lagi
merosakkan kerana masa adalah kehidupan. Allah melarang manusia menghina masa
yang diciptakan melalui peredaran malam dan siang. Saya hanya mengharapkan
nikmat masa dalam kehidupan sebagai satu peluang dan ruang untuk kembali kepada
fitrah kejadian manusia iaitu kehidupan yang kekal abadi pada kemudian hari
nanti.
Waktu adalah milik
manusia yang paling berharga. Oleh itu, pergunakanlah waktu sebaik mungkin,
kerana waktu apabila telah berlalu tidak akan dapat kembali lagi. Berbeza
dengan sesuatu benda yang telah hilang, masih mungkin dapat ditemukan kembali.
Manusia yang berakal, menghadapi waktunya bagaikan orang yang kikir menghadapi
harta bendanya yang mahal. Ia tidak akan mensia-siakan sekejap pun terhadap
sesuatu yang sedikit, apalagi yang banyak. Ia selalu menghitungkan setiap wang
yang keluar harus mendapat imbuhan yang wajar. Ia juga selalu berusaha untuk
menempatkan sesuatu pada tempatnya yang layak. Begitulah orang yang
mempergunakan wang dan demikian pula seharusnya kita mempergunakan waktu.
Setiap manusia
terutamanya muslim dan muslimah mengimpikan kehidupan yang baik, tenang, nyaman
dan jauh daripada segala keburukan. Namun untuk beroleh semua kebaikan itu,
kita tidak boleh duduk diam sahaja. Sebaliknya harus berusaha memanfaatkan masa
dengan perkara yang baik, bercakap benda yang baik dan melakukan yang elok-elok
sahaja. Maka ganjarannya tentulah baik juga. Apabila seseorang menyedari
dirinya dan ia mahu melepaskan pandangan ke masa lampau, maka akan menjadi
jelas baginya, bahawa pada saat ia memulai perjalanan dalam hidup ini, ia
melalui perjalanan hari, bulan dan tahun yang terus menerus berjalan sambung
menyambung, ia tidak akan berfikir panjang, kerana ia melihatnya hanya sebagai
permulaan yang tidak jelas, terasa seolah-olah baginya hari yang sangat panjang
penuh dengan pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan yang lain hingga pada
titik akhir. Orang yang lalai terhadap hari esok, Islam menganggap mereka
sebagai orang yang tenggelam dalam hari ini, yang mudah tergoda oleh kesenangan
dunia yang fana dan mereka sebagai orang yang bodoh dan rugi.
Selama seminggu cuti
persekolahan sebelum ini diisi dengan perkara yang bermanafaat. Pada mulanya 25
hingga 27 Mei 2006 saya menghadiri kursus amali dan teori St. John Ambulans
Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu di Kompleks Rakan Muda . Aktiviti ini
berlangsung dengan jayanya dengan bantuan daripada pihak Hospital Daerah
terutamanya Din bin Tarmizi sebagai penasihat St. John Ambulans Daerah . Pelbagai
telatah pelajar yang mencuit hati mengusik kalbu ini sepanjang program ini
berlangsung.Terasa amat tenang dan damai berada di sini. Persekitaran yang
menghijau mengamit kalbu kepada insan yang dahagakan kedamaian dan ketenangan.
Syukur pada Allah yang memberikan nikmat kedamaian ini. Ketenangan tanpa
gangguan barulah ada ‘kenikmatannya’. Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah ditimpa bencana atau
ujian oleh Allah dalam hidupnya. Walaupun masih dalam cuti persekolahan namun
saya perlu ikhlas untuk tugasan ini. Ikhlas dalam kerja bermakna dia tidak akan
melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar melepaskan batuk di tangga atau
bukan semata-mata kerana upah yang diterimanya setiap bulan. Bahkan dia
menganggap kerjanya itu sebagai salah satu ibadah yang telah diwajibkan ke
atasnya dan harus dilaksanakan dengan sempurna dan memuaskan.
Menjelang 29 Mei 2006 saya telah pulang ke kampung halaman di Lang Buana,
Dungun bersama anak buah tersayang yang berumur 7 tahun. Anak buah sulung yang
tersayang yang telah diberi nama oleh saya iaitu Nurul Irfani bt Mamat.
Walaupun dia tidak sebijaksana maksud namanya tapi pekertinya baik seperti
abahnya. Semoga suatu hari nanti dia akan membesar dengan sempurna dan
mempunyai pekerti mulia untuk berbakti pada masyarakat. Dia bercita-cita untuk
menjadi seorang guru seperti mak saudaranya. Seronok katanya nak pandai macam
mak saudaranya dan dapat tolong abahnya yang pemalu serta ibunya yang tegas
suatu hari nanti. Setibanya di bandar Dungun kelihatan begitu pantas
pembangunan di sekitar bandar Dungun. Adanya pelbagai kedai yang tumbuh bak
cendawan selepas hujan. Kedai Mydin, Watson, Pustaka Seri Intan, Pizza Hut,
Seven Eleven dan lain-lain lagi. Apalagi bersiap sedialah wahai semua warga
penduduk daerah Dungun untuk melabur di kedai-kedai tersebut. Berbelanja tak
salah tapi biarlah pada tempat dan perkara yang mendatangkan berfaedah.Selama 2
hari di kampung saya habiskan dengan bermesra dengan anak saudara. Puteh arnab
saya yang telah lama tak dibelai manja, saya biarkan ia bebas di atas rumput
menghijau di halaman rumah. Seronok Puteh kerana diberi kebebasan dan bagaikan
mengerti sudah lama tak dibelai manja oleh saya. Itupun saya terpaksa
tinggalkan Puteh di kampung. Kata mak kalau rindukan saya dapat tengok Puteh
pun jadilah sebagai gantinya.Walaupun mak sebenarnya sibuk melayan angsanya
yang diberi nama Cik Ah ( yang betina ) dan Cik Awang ( yang jantan ).Ayah
hanya sibuk melayan perangai Mohd Irfan Aiman yang nakal tetapi pintar
orangnya. Cucu sulung lelaki ayah yang amat disayangi. Boleh demam ayah jika
lama berpisah dengan cucunya yang soeorang ini. Telatah Aiman mencuit hati kami
sekeluarga dan petah berbicara bagaikan mengisi putaran kehidupan seharian
kami.
Masa berlalu begitu pantas. 24 jam sehari yang berlalu bagaikan sekejap
sahaja. Petang 31 Mei selepas solat Asar, sedar tak sedar saya terpaksa bersiap
untuk pulang ke Taman Semaju di Kemaman. Kelihatan air muka ibu dan ayah yang
terasa amat berat untuk melepaskan anaknya pergi. Sejak menjadi guru rasanya
tumpuan lebih pada kerja dan jarang saya balik kampung tapi dalam seminggu
pasti saya tak terlepas menelefon mereka. Jagalah hati kedua ibubapa, jangan
sesekali menghampakan harapan mereka. Kesedihan nyata kelihatan, terutama ayah
yang jarang menumpahkan air matanya. Tapi jelas kelihatan di kocak mata ayah
pilu dan memang memegang erat tangan saya ketika saya mencium kedua tangannya. Beberapa
minit ayah memegang erat tangan saya dengan penuh kasih sayang yang tak mampu
saya balas dengan wang ringgit .Cuma sekali dulu aku lihat ayah betul-betul
menitiskan air matanya kerana anaknya ini dengan mulanya mata merah dan
akhirnya menjatuhkan manik-manik dari matanya.Mengapa ? Rasanya ayah pilu
dengan nasib anaknya ini yang diuji dengan pelbagai ujian yang Allah kurniakan.
Ayah beberapa kali menyoal untuk kepastian adakah saya sentiasa ingat pesanan
dan azimatnya setiap kali ingin berpisah. “ Ayah, Ibu, anakmu ini tidak
pernah lupa walau sedetik atau sesaat segala pesanan dan nasihatmu”. Mungkin
segala ujian yang Allah kurniaan kepada hambamu ini adalah untuk menguji
kekuatan dan paling penting ada hikmah yang berganda yang kita tak tahu di
mana, bila, mengapa, kenapa dan bagaimana. Hanya Allah yang tahu kita sebagai
hamba perlulah sentiasa redha pada takdir.Yang paling penting ujian Illahi
sebenarnya menarik kita agar lebih hampir lagi padaNya. Kita sebagai manusia
memang sentiasa lalai. Tanpa disedari mungkin kita sudah lari sedikit dari
landasan keimanan dan ujian yang Allah beri adalah untuk menarik kembali saya
pada landasan keimanan yang mustaqim dan terus kukuh berada di
atas landasan yang betul menuju ke alam yang kekal abadi di akhirat nanti .Semoga
saya lebih tabah tatkala menerima sebarang bentuk ujian yang telah ditakdirkan
ke atas diri ini. Kita bakal kembali kepadaNya dan pastikan kita lulus dengan
cemerlang dan diterima baik di sisiNya.
Tenggelam dalam masa lalu membunuh semangat dan motivasi untuk membina masa
depan yang cemerlang. Tak perlu menjadi pembunuh kepada kekuatan dan potensi
hebat diri sendiri. Semalam adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan dan masa
depan adalah impian yang sedang dibina. Tanpa hari ini siapalah kita untuk hari
esok.Kenangan semalam biarkan berlalu, realiti hari ini mestilah ditempuhi. Semua
takdir yang tertulis di Loh Mahfuz itu boleh dihapuskan oleh Allah jika Ia
menghendaki ataupun Allah tetapkan saja sesuai dengan kehendakNya. Percayalah
yang dapat mengubah takdir yang tertulis dalam loh Mahfuz itu adalah dengan
cara berdoa pada Allah dan melakukan perbuatan
baik. “ Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh
memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik ” ( Riwayat Tarmizi ). Banyakkan
usaha sebagai ikhtiar dan berdoa agar Allah s.w.t memberikan kurnia nikmatNya
yang penuh keberkatan bukan nikmat yang akan menyesatkan dan melupakan kita
terhadapNya. Jangan berputus asa atas rahmat Allah kerana orang yang berputus
asa atas rahmatNya akan menerima kemurkaan Allah dan bakal memperoleh azab yang
pedih.Yang penting dalam kehidupan ini adalah keberkatan hidup bukan kemewahan
duniawi yang hanya bersifat sementara kemungkinan akan melalaikan dan melupakan
kita pada yang Maha Esa.
1 Jun hingga 5 Jun 2006, bermulanya aktiviti riadah secara solo setiap pagi
selepas solat Subuh dan Solat Asar di Pantai Teluk Mak Nik, Geliga di belakang
INTAN. Berjalan kaki dan sekali sekala berjogging sejauh 6 km di sepanjang pesisir pantai di gigi air selama
1 jam 15 minit pergi dan balik dari hujung bukit ke hujung bukit. Di sini
sepanjang perjalanan di gigi pantai dirasakan melangkah terus dan terus dalam
menghadapi kehidupan yang tidak diketahui kesudahannya. Apa yang saya harapkan
kesudahan yang baik dalam kehidupan ini suatu hari nanti dan dalam menempuh
kesudahan itu agar terus dekat kepada Allah walau di mana dan
dengan siapa saya akan meneruskan kehidupan ini.
Seterusnya tanggal malam 2 Jun 2006, menikmati ayam dan ikan panggang di
Paman Village Farm bersama teman-teman sambil menikmati keindahan semulajadi dusun
buah-buahan yang mengandungi pokok manggis, rambutan, durian, langsat, jambu
madu, limau barli dan pelbagai pokok buah-buahan yang lain. Menjelang bulan
Ogos nanti musim buah-buahan, bolehlah saya berkunjung lagi dan menikmati
buah-buahan tersebut. InsyaAllah akan saya penuhi hajat ini. Indah betul alam
semulajadi di sekitar Paman Village Farm. Di belakangnya terdapat ladang getah,
sawah padi dan anak sungai yang airnya mengalir tenang, setenang jiwa seorang
insan apabila berada di sini. Maklumlah biasanya pada hari persekolahan waktu
pagi berada di sekolah dan waktu petang berada di rumah sahaja. Kini cuti
seminggu terisi dengan tanpa disedari ia berlalu dengan pantas. Teringat
detik-detik bersama datuk tersayang di dusun suatu ketika dahulu. Tiba-tiba timbul
pula rasa sayu dah sedih akan kehilangan insan tersayang iaitu datuk pada pagi
Syawal yang syahdu tahun 2001. Masih tergambar malam raya kami adik beradik
membakar sate sambil mendengar celoteh datuk yang sudah terbaring selama 2
tahun di atas katil. Masih terbayang di pagi raya saya dan adik memandikan
arwah datuk dan mencuci lukanya sebelum Allah yang amat menyayanginya dengan
nafas terakhir di depan mata jam 10:30 pagi. Pulangnya datuk ke alam baqa
adalah dengan ketentuan Illahi yang tak boleh kita halang lagi. Apapun saya
doakan moga roh datuk dan segala keturunan zuriat kami semua dicucuri rahmat
dan ditempatkan bersama-sama mereka yang terpilih.
Namun diri ini tersedar dan tersentak seketika bahawa tujuan utama saya
berada di Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu adalah untuk mendidik anak bangsa
yang jauh terpencil 6 km dari kota metropolitan yang banyak pancaroba. Akan
saya lemparkan jauh-jauh perasaan yang sentiasa rindukan kampung halaman. Terasa
diri ini begitu kerdil berada di rantau orang yang jauh dari keluarga. Pelbagai
persoalan muncul di benak fikiran, adakah selama hampir 4 tahun menjelang
tanggal 17 Jun 2006 ini dapatkah saya menyesuaikan diri di Sek. Men. Keb.
Salam, Terengganu ini? Apakah bahasa percakapan saya jelas dan tak menyakiti
hati orang lain ? Saya merasa amat gelisah dan khuatir dalam meniti kehidupan
yang penuh dengan pancaroba. Ibuku dan ayahku yang sentiasa memahami diri
anaknya ini. Walau anaknya diam sahaja seribu bahasa namun mereka tahu apa yang
tersirat di fikiran dan sanubari anaknya ini. Akhirnya terlintas di fikiran,
pesanan kedua orang tua yang disayangi “ Pandai-pandailah membawa diri di
rantau orang, jangan sesekali menyakiti hati orang lain walau ada kala diri
sendiri terluka pedih
kerana disakiti oleh orang lain” . InsyaAllah akan saya sematkan
kalimah azimat tersebut di hati sanubari ini. Mungkin dalam derita ada bahagia dan
dalam gembira mungkin terselit duka. Tak siapa tahu dan tak siapa pinta ujian
bertamu. Bibir mudah mengucap sabar tapi hatilah yang remuk menderita. Insan
memandang dan mempunyai berbagai tafsiran. Segala takdir haruslah diterimalah
dengan hati yang terbuka walaupun terseksa ada hikmahnya.
Teringat diri ini, suatu cerita iaitu membina jambatan kemaafan. Ada dua
adik-beradik yang hidup di sebuah desa. Entah kerana apa mereka terjerumus ke
dalam suatu pertengkaran serius. Dan ini adalah pertama kali mereka bertengkar
sedemikian hebat. Sebenarnya selama 40 tahun, mereka hidup aman damai bersama,
saling pinjam meminjam peralatan pertanian dan bahu-membahu dalam usaha
perdagangan tanpa sebarang masalah. Namun kerjasama yang akrab itu kini retak.
Segala-galanya bermula hanya dengan salah faham kecil yang kemudiannya bertukar
menjadi perbezaan pendapat yang besar. Dan akhirnya meledak dalam bentuk
kata-mengata dan tuduh menuduh. Beberapa minggu sudah berlalu, mereka saling
berdiam diri tidak bertegur sapa. Suatu pagi, seseorang mengetuk rumah si
abang. Di depan pintu berdiri seorang lelaki membawa kotak yang berisi
perkakasan tukang kayu.” Maaf tuan, sebenarnya saya sedang mencari pekerjaan,”
kata lelaki itu dengan ramah. “Mungkin tuan berkenan untuk memberikan beberapa
pekerjaan untuk saya selesaikan.” Kemudian si abang berkata, “ Oh, ada! Memang
ada. Kau nampak ladang pertanian di seberang sungai sana. Itu adalah saudara
aku........ Ah, sebenarnya dia adalah adikku. Minggu lalu, dia mengorek
permatang dengan buldozer lalu mengalirkan airnya ke tengah
padang rumput itu sehingga menjadi sungai yang memisahkan kami. Mungkin dia
ingin mempersendaku, tapi aku akan membalasnya lebih setimpal. Di situ ada
longgokan kayu. Aku ingin kau membina pagar setinggi 10 meter untukku sehingga
aku tidak perlu lagi melihat rumahnya. Kalau boleh aku ingin dia terus hilang
daripada memori ingatan aku. Kemudian lelaki itu menjawab,“Saya faham. Belikan
saya paku dan peralatan, akan saya melakukan sesuatu yang akan membuat tuan
berasa senang.” Lantas si abang pun pergi ke bandar untuk membeli keperluan
tukang kayu tersebut. Setelah menyerahkan barang-barang itu kepada tukang kayu,
si abang meninggalkannya bekerja sendirian. Sepanjang hari tukang kayu bekerja
keras, mengukur, menggergaji dan memaku. Lewat senja, ketika si abang petani
itu pulang, tukang kayu baru saja menyelesaikan pekerjaannya. Terkejut dia
melihat hasil pekerjaan tukang kayu itu. Tidak wujud pagar kayu sebagaimana
yang dimintanya. Namun wujud sebuah jambatan merentasi sungai yang
menghubungkan ladang pertaniannya dengan ladang pertanian adiknya. Jambatan itu
begitu indah dengan tangga bertingkat-tingkat yang disusun rapi. Dari seberang
sana, terlihat si adik bergegas berjalan menaiki jambatan itu dengan kedua-dua
tangannya terbuka lebar. “ Abangku, kau sungguh baik hati mahu membuatkan
jambatan ini. Walaupun sikap dan kata-kataku menyakitkan hatimu. Maafkanlah
aku, abang,” kata si adik kepada abangnya. Kedua-dua saudara itu pun bertemu di
tengah-tengah jambatan, saling berjabat tangan dan berpelukan. Melihat itu,
tukang kayu pun mengemaskan peralatan bertukangnya dan bersiap-siap untuk
pergi. “ Jangan pergi dulu. Tinggallah beberapa hari lagi. Kami mempunyai
banyak pekerjaan untukmu,” pinta si abang. “ Sesungguhnya saya ingin sekali
tinggal di sini”, kata tukang kayu. “ Tetapi masih banyak jambatan lain yang
harus saya selesaikan.”
Cerita tersebut saya jadikan suatu pengajaran untuk diri sendiri. Jika
seseorang menyakiti hati kita walau sejahat manapun hendaklah kita balas dengan
amat berhikmah. Tiada guna kita bertengkar tapi yang penting ialah kemaafan dari
dalam diri kita pada seseorang. Walau sebenarnya mungkin wujud parut kesakitan
di hati yang tidak akan hilang. Parut itu akan hilang apabila kita ikhlas dalam
memberi kemaafan pada seseorang walaupun ia mengambil suatu tempoh masa yang
panjang. Tidak perlu ambil sama ada kisah kejahatan itu dari saudara atau
sahabat kita kerana yang penting ialah kemaafan yang penuh dengan keikhlasan.
Sesungguhnya sahabat itu wujud dari satu pertemuan dengan 10 pertanyaan, 100
kenyakinan dan 1000 kali pengorbanan serta berjuta-juta kali perjuangan dengan
satu keikhlasan atas keredhaan Allah. Andai seorang sahabat membuat kebaikan,
ukirlah di atas batu agar ia tersemat di hati dan kekal sebagai memori terindah
dan seandainya seorang sahabat membuat kesalahan tulislah ia di atas pasir agar
ia hilang ditiup angin kemaafan satu hari nanti.
Selasa iaitu 6 Jun
2006 bersamaan tanggal 9 Jamadil Awal 1427 Hijrah. Hari ini merupakan hari pertama kami rombongan dari
Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu untuk memulakan ekspedisi menziarah puncak
Gunung Tapis. Memulakan sesuatu rintangan itu adalah hebat tetapi
menyelesaikannya adalah lebih hebat. Tepat jam 10.30 pagi kami telah bertolak
dari perkarangan Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu. Setelah diberi sedikit
taklimat oleh Cikgu Salim. Pesanannya agar pandai-pandailah membawa diri sepanjang
berada di tempat orang kerana tempat yang akan dituju mungkin didiami makhluk
Allah yang lain, kita tak nampak tapi ia wujud. Di dunia yang nyata ini kita
berkongsi segala yang ada di muka bumi ini dengan makhluk ciptaan Allah yang
lain. Itu adalah ketentuan Allah sejak dari azali lagi. Tanpa disiplin yang
tinggi seseorang itu terdedah kepada penyimpangan matlamat. Ekspedisi ini akan
diketuai oleh tuan pengetua En. Malik bin Karim dan disertai oleh 7 guru lelaki,
seorang guru wanita, 3 orang pelajar perempuan, 24 pelajar lelaki. Sepanjang
perjalanan saya lena dibuai mimpi mungkin kepenatan lagipun jam 330 pagi dah
bangun. Bas sekolah meneruskan perjalanan menuju ke destinasi dengan iringan
doa dan restu untuk menziarahi puncak Gunung Tapis.
Ramai antara
kita yang tidak mengetahui betapa luasnya bumi ciptaan Allah Yang Maha Kuasa
ini. Bukan sahaja luas malahan tersimpan pelbagai ilmu pengetahuan sama ada
kita sedar ataupun tidak. Semakin jauh kita berjalan semakin luas dan bertambah
pengetahuan kita. Gunakanlah segala kesempatan yang ada untuk menilai diri.
Pengembaraan ini bukan sahaja boleh mematangkan fikiran malahan mampu untuk
menyedarkan diri betapa beruntungnya diri kita. Perjalanan untuk menuju ke puncak
Gunung tapis adalah suatu pengalaman baru yang belum saya ketahui kesudahannya.
Mungkinkah kejayaan atau kegagalan yang akan tercipta sepanjang perjalanan itu
nanti ? Bagaimanapun saya akan terus berdoa kepada Allah agar memberikan
kekuatan dan semangat untuk memasuki hutan belantara yang luas dalam perjalanan
ke puncak Gunung Tapis.
Setibanya di
Balok, Kuantan saya dikejutkan dari tidur yang penuh bererti dan selesa
pemberian Illahi kerana bas berhenti sejenak untuk kami menikmati makan tengah hari. Saya hanya berselera dengan
ayam masak kicap dan sayur lemak taugeh. Mungkin kerana terlalu risau dengan
ekspedisi yang akan ditempuhi. Apapun saya memanjatkan kesyukuran tidak
terhingga kepada Allah yang mengurniakan nikmat makan dan rezeki halal untuk
meneruskan kehidupan ini. Terfikir sejenak di minda ini. Mampukah diri ini
untuk menghadapi dan mengharungi rintangan Gunung Tapis setinggi 4960 kaki (
1512 meter ). Tidak ada yang mustahil bagi yang berani mencuba. Kesusahan dan
keperitan hidup mengajar kita erti dewasa , memberi peluang untuk kita dekati
pada Tuhan yang sering kita lupa, sesungguhnya nilai kegagalan lebih berharga
dari kejayaan.
Seterusnya bas menyambung perjalanan ke
destinasi yang akan dituju. Saya menghabiskan buku yang belum habis dibaca bertajuk
“ Mengenal diri anda ” sebuah buku yang diterjemah oleh Adibah Amin. Pelbagai
pengajaran yang saya dapat daripada buku ini. Jika kita telah memilih sesuatu
kerjaya yang mungkin pada mulanya kita tidak jatuh cinta kita perlu berusaha
untuk memupuk kasih, cinta dan sayang kepada kerjaya yang kita hadapi. Saya
telah memilih kerjaya perguruan yang mana tidak pernah tersenarai di dalam
cita-cita saya sebelum ini. Sebenarnya cita-cita utama saya adalah untuk
menjadi seorang doktor sakit puan untuk berbakti pada mereka yang sakit.Namun
saya masih kini terfikir ada benar ketentuan daripada Allah, saya juga kini
telah menjadi doktor.Merawat para pelajar di dalam pengajaran dan pembelajaran.
Bilakah saya mula jatuh cinta dengan kerjaya perguruan? Semuanya bermula di
sebuah tempat yang diberi nama Felda Tenggaroh Mersing, Johor. Semasa itu saya
sedang menjalani praktikum semasa Kursus Perguruan Lepasan Ijazah ( KPLI )
Maktab Perguruan Batu Rakit Kuala Terengganu selama 4 bulan di Sek. Men.
Kebangsaan Tenggaroh B, Johor, pengetuanya bernama Yasiran bin Maskom.
Bagaimanakah munculnya naluri seorang guru? Mungkin keindahan alam semulajadi
yang wujud di Felda Tenggaroh telah menyebabkan wujudnya naluri keguruan yang
muncul secara ikhlas tanpa paksaan. Jiwa saya adalah jiwa yang cintakan
persekitaran yang semulajadi. Pernah terdetik di hati saya ini inginkan Allah
kurniakan sebuah rumah di persekitaran yang menghijau sehijau pokok-pokok dan
dedaun atau membiru sebiru air laut yang berombak tenang, semua keinginan ini
telah saya azamkan semasa kecil dahulu. Teringat semasa saya kecil, kalau hati
ini pilu atau resah, tempat yang biasa dikunjungi sendirian dengan mengayuh
basikal dengan keizinan ibu ayah ialah Pantai Teluk Lipat, Dungun atau Pantai Teluk
Gadong, Dungun. Di situlah saya menenangkan jiwa sendirian disebalik kebiruan
air laut dan desiran ombak serta kehijauan pokok-pokok di pesisir pantai di
samping melihat para nelayan pulang membawa hasil tangkapan.
Muncul semangat
keguruan di hati nurani ini juga akibat terusik dengan semangat warga felda
yang kukuh semangat rewang ( gotong-royong ) mereka dalam setiap aktiviti yang
dilakukan. Setiap kali aktiviti sekolah yang dijalankan sentiasa diiringi oleh
penduduk yang terdiri daripada penjaga para pelajar. Semasa kejohanan olahraga
peringkat sekolah, penjaga turut serta hadir memberikan sokongan kepada anak
mereka sendiri dan anak jiran jika anak mereka sudah tewas di awal pertandingan.
Paling tidak aku lupa seorang pelajar lelaki kelas 4 Tarmizi yang dikatakan amat degil oleh
semua guru. Dia selalu tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan dan kertas
jawapan peperiksaan yang ditinggalkan kosong tanpa jawapan. Saya sentiasa cuba
untuk berada di sebelahnya semasa di
dalam kelas persis seorang ibu yang mengajar anak. Akhirnya saya tahu yang dia
sebenarnya ada masalah keluarga dan memerlukan kasih sayang seseorang. Saya
luahkan kasih sayang seorang guru sebagai tempat untuk dirinya mengadu masalah
dan kegembiraan. Selepas itu, dia sentiasa menyiapkan kerja sekolah yang
diberikan. Hati mana yang tidak gembira apabila benih yang ditanam mula tubuh
berbuah. Saya rasa, cukuplah anak didik ini menjadi daun atau rumput di laman
jika mereka tidak boleh menjadi bunga yang menghiasi taman. Atau memadai
menjadi bintang antara bintang berjuta, jika mereka tidak boleh menjadi
rembulan. Memori yang paling seronok di Felda Tenggaroh ialah semasa kami
membuat bubur lambuk. Ada 2 jenis bubur lambuk dimasak dengan penuh kasih
sayang oleh kami dengan semangat gotong royong antara penduduk kampung dan para
guru di perkarangan sekolah, satu edisi Kelantan Terengganu dan satu lagi edisi
Johor. Meriah sungguh dari aktiviti mengupas bawang, mengacau kuali dan
pengagihan kepada pelajar. Tidak wujud secubit rasa kepenatan kerana kata
pepatah “ Ke gunung sama kita daki dan ke lurah sama kita turuni ”.Tanpa
disedari,saat perpisahan menjelma, khidmat saya di sini mungkin setakat ini dan
jika panjang umur jumpa lagi.Sebak di dada tidak dapat ditahan ketika
mengucapkan perpisahan untuk murid yang kian dekat di hati. Air mata membasahi
pipi ketika mereka memeluk dan mencium tangan. Lucu dan terharu juga apabila
sekolah yang terpinggir di pedalaman itu bergema dengan tangisan murid yang
enggan melepaskan saya pergi. Pelbagai kenangan pahit manis tergamit dalam
memori sepanjang berada di sana. Jika teringat memori di sana maka album
gambarlah yang menjadi penawarnya.
Tiba-tiba bas
sekolah berhenti seketika di depan Sek. Kebangsaan Panching untuk mengambil
Cikgu Basri. Bas meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dikunjungi. Tepat
jam 130 petang kami tiba di bandar Sungai Lembing. Sepanjang ketibaan kami
didapati banyak bangunan kedai dan rumah yang ditinggalkan kosong tanpa
penghuni. Menurut kata cikgu Malik bin Karim iaitu pengetua yang kami sanjungi
, ramai penduduk generasi baru di Sungai Lembing telah berhijrah ke luar dari
bandar ini kerana lombong sudah tidak beroperasi lagi. Hanya pekerjaan
melombong bijih merupakan pekerjaan utama yang menjadi nadi kehidupan bagi penduduk-penduduk
di sini sebelum ini. Kini generasi yang menghuni Sungai Lembing adalah warga
emas yang sudah sebati dengan kehidupan semulajadi sini. Generasi baru ramai
telah berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki dan hanya sekali sekala
pulang untuk menziarahi ibubapa di sini. Apabila kaki saya ini melangkah turun
dari bas sekolah, destinasi yang pertama kaki kami jejaki ialah Muzium Sungai
Lembing. Pelbagai alatan melombong dipamerkan di dalam muzium tersebut. Kami
solat di surau Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing ( SMKSL ) yang
terletak tidak jauh daripada Muzium
Sungai Lembing. Beg-beg kami diturunkan dari bas dan diletakkan di kantin
sekolah. Rupa-rupanya di sekolah inilah suatu ketika dahulu pernah Cikgu Malik
bin Karim telah mencurahkan bakti selama 16 tahun pada sekitar tahun 80-an.
Sepanjang saya, pengetua dan para pelajar perempuan berjalan kaki ke SMKSL kami
berjumpa dengan imam dan beberapa penduduk bandar Sungai Lembing yang nampaknya
begitu mesra dengan Cikgu Malik bin Karim. Mana taknya jumpa aje terus berpeluk
macam tak nak lepas dah. Itulah kemesraan desa. Orang yang menyisihkan diri
daripada pergaulan tidak akan mencapai kemajuan, pergaulan itu mencerdaskan dan
menajamkan ingatan. Manusia adalah sejenis makhluk yang terdiri dari dua tubuh
iaitu jasmani dan rohani. Tubuh jasmani terdiri dari gabungan anggota-anggota
badaniah yang wujud secara nyata.Tubuh rohani adalah elemen-elemen dalaman dan
kejiwaan yang tidak wujud secara nyata ( elemen ghaib ) yang dipanggil qalbu.
Kedua-dua tubuh tersebut ( jasmani dan rohani ) mempunyai rasa atau sensitiviti
atau rasi. Kedua-dua tubuh berinteraksi dengan alam dan segala isinya. Apabila
seorang manusia berinteraksi dengan manusia lain kesemua elemen tubuh jasmani
dan rohani bertindak balas. Hasil tindak balas itulah yang akan memaklumkan
kepada otak untuk memutuskan tindakan yang seterusnya. Jika maklumat yang
diberikan adalah positif, minda akan memutuskan agar tubuh ( jasmani dan rohani
) menyenangi orang tersebut dan interaksi akan berulang dan berpanjangan lalu membentuk
keserasian.
Sungai Lembing merupakan sebuah bandar
yang penuh dengan sejarahnya. Perintis pembukaan lombong bijih di Sungai
Lembing mula-mula tercetus pada bulan Februari, 1888 semasa Sir Cecil Smith
menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat yang merundingkan hal-hal keselamatan di
Negeri Pahang dengan Almarhum Sultan Ahmad Muadzam Shah. Syarikat yang pertama
yang ditubuhkan untuk menjalankan perusahaan lombong ini bernama “ The Pahang
Corporation ” yang mencatitkan Mesyuarat Tahunan yang pertama pada 30 Jun 1892.
Syarikat “The Pahang Consolidated Company Limited” mengambil alih hak melombong
pada 6hb Julai 1906 yang diberi konsesi tanah seluas 2500 batu persegi dengan
bayaran “ royalti ” sebanyak 10 peratus daripada hasil pengeluaran bijih. Tempoh
pajak diberikan selama 80 tahun mulai 1 September 1888.
Sebelum daripada
Syarikat kepunyaan British masuk ke Sungai Lembing, perusahaan melombong telah
dikerjakan oleh orang-orang Melayu dan Cina selama hampir 100 tahun dengan cara
perlombongan terbuka menggunakan pam dan ekspelosif. Peristiwa-peristiwa yang
telah menghalang kerja-kerja perlombongan di sini ialah Perang Dunia Yang
Pertama pada tahun 1916-1918, kebakaran besar pada tahun 1912 dan banjir besar
pada tahun 1926, tahun-tahun 1930-1933 adalah tahun kemelesetan seluruh dunia
dan harga bijih turut terjejas. Disember 1941 hingga September, 1945 lombong
ditutup kerana Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Tentera di Malaya.
Setelah Jepun menyerah kalah dalam bulan Ogos,
1945 lombong ini mulai diusahakan semula mulai pada awal tahun 1946. Kerja
utamanya ialah pemulihan dengan operasi mengeringkan air yang sudah
menenggelamkan semua kolon dan terowong melombong. Pam-pam air dengan 450 b.h.p
diciptakan untuk mengeluarkan air 750 gelen satu minit dan operasi ini selesai
pada 29hb Disember 1949. Sejumlah 7,720,000 tan air telah dikeluarkan.
Tahun-tahun 1948-1952 keadaan darurat menyelubungi seluruh Tanah Melayu dan
menyebabkan tergendala segala kerja perkembangan dan pembangunan
lombong-lombong kecil di dalam kawasan sekitar.
1 Julai 1966
syarat-syarat konsesi lombong diperbaharui dengan tempoh pajak selama 21 tahun
dengan pengecualian cukai eksport sehingga 30hb September 1968 dan potongan
istimewa sebanyak $20 satu pikul sehingga 30hb September 1973. Inilah sejarah 60
tahun pertama bagi Syarikat Perlombongan “The Pahang Consolidated Company
Limited ”. Dalam tahun 1982, pendaftaran syarikat “The Pahang Consolidated
Company Limited ” dipindahkan daripada London ke Malaysia dengan namanya
ditukarkan kepada “ The Pahang Investment Public Ltd. Company”, Syarikat ini
beroperasi sehingga November 1986.
Daripada 1hb
September 1881 hingga kini, banyak kejayaan yang tercapai. Yang pertama, lebih
400 batu jauh kawasan kerja lombong di bawah tanah telah diteroka, jalan-jalan
raya, jalan keretapi, rumah, hospital jeti dan sekolah-sekolah telah terbina.
Yang kedua, sebuah bandar Sungai Lembing telah dilahirkan dengan faedah-faedah
yang dapat dinikmati oleh penghuni-penghuninya termasuklah hasil kepada
Perbendaharaan Negeri Pahang Darul Makmur. Bagi membuat pandangan yang jauh,
dengan keadaan pergolakan dunia masa ini beserta dengan pembangunan sains dan
teknologi yang pesat sukarlah hendak meramalkan masa hadapan perusahaan lombong
seperti ini. Tetapi dengan diberi peluang dan simpati oleh pihak yang
berkenaan, perlombongan Sungai Lembing akan dapat mencapai kejayaan-kejayaan.
250 petang kami
mula mengisi segala beg dan khemah ke dalam lori. Saya terkejut melihat rupa
lori yang akan kami naiki. Hanya lori biasa tidak seperti yang disangka iaitu
landrover. Akhirnya saya akur itulah pengangkutan yang akan membawa kami ke
pinggir hutan sebelum kami meneruskan destinasi dengan berjalan kaki. En. Suhaimi
selaku pemandu bas sekolah mengusik kami, “Bas tak balik lagi sesiapa nak
pulang semula ke Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu amat dialu-alukan ”. Sebenarnya
ayat itu ditujukan kepada saya kerana mengeluh dengan rupa lori yang akan kami
naiki. Jangan mengeluh dengan apa yang kita hadapi kerana ada hikmah yang
tersirat. Apapun saya istiqamah untuk menziarahi puncak Gunung Tapis. Istiqamah
bermaksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendirian yang asal, tidak
berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah jua pun. Walau apa
pun yang terjadi dan kemungkinan yang bakal dihadapi, pendirian tetap
dipertahankan walaupun nyawa dan jasad akan menjadi bahan pertaruhan.
Yang nyata, iman
merupakan penggerak utama dalam kehidupan individu muslim. Jika iman yang
bertapak di sudut jiwanya kukuh dan mantap, maka dia adalah seorang yang
benar-benar beristiqamah dalam kehidupannya. Sebaliknya, jika imannya nipis,
maka dia mudah terpedaya oleh godaan dan pesona dunia yang menghimpit hidupnya.
Akhirnya dia tidak memiliki pendirian yang tetap dan akan jatuh tersungkur
daripada landasan yang lurus. Beristiqamahlah, agar segala apa yang
dicita-citakan akan menemui matlamatnya.Akhirnya, saya beristiqamah agar dapat
menemui matlamat menziarahi puncak Gunung Tapis.
Tepat jam 300
petang, 2 buah lori mula bergerak untuk menghantar kami semua ke pinggir hutan
berdekatan anak sungai pertama yang akan kami cecahkan kaki di kocak airnya
yang arus mengalir deras. Kami akan dipandu arah oleh En. Yusuf iaitu pembantu
makmal Sek. Men. Keb. Sungai Lembing. Beliau ialah sahabat En. Malik bin Karim
semasa mengajar di sini suatu ketika dahulu. Jam 315 petang, perjalanan kami
tergendala kerana dihalang oleh sebuah kereta milik orang asli yang tersangkut
di lopak air. Semua turun dari lori dan menikmati sejenak keindahan alam
semulajadi dan tak sabar kaki ini untuk menjejak bumi yang berlumpur. Sambil
itu, lori pertama kami menarik keluar kereta tersebut dari lopak tersebut. Kami
sempat bergambar situasi ketika menolong kereta tersebut keluar daripada lopak
air tersebut. Selepas itu, lori kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang
ingin dituju. Sepanjang perjalanan kami menikmati keindahan semulajadi ciptaan
Allah yang indah. Banyak pokok-pokok buluh sepanjang perjalanan. Kawasan ini
didiami gajah-gajah kerana pokok buluh adalah makanan ruji baginya.
Tiba-tiba cikgu Zaid bin Muda menjerit kesakitan. Jarinya tercucuk duri semasa
perjalanan. Cikgu Salim segera mengeluarkan first aid untuk
mencuci dan membalut luka tersebut. Kami dinasihatkan berhati-hati agar tidak
meletakkan tangan di tepi lori dan menunduk kepala. Malang tidak berbau kita
tak tahu siapa mangsa seterusnya.
Tepat jam 415
petang, kami tiba di sungai pertama yang akan kami lalui. Semua turun dari lori
dan masing-masing mula menjalankan tanggungjawab masing-masing bersiap sedia
menggalas beg. Bermulalah langkah pertama kami berjalan kaki untuk merentasi
anak sungai yang deras arusnya dan kami perlu berhati-hati. Kami berjalan
merentasi anak sungai dengan jarak yang dekat agar jika tergelincir mudah kami
membantu antara satu sama lain. Kami amat berhati-hati kerana sungai itu
mengandungi batu-batu yang licin yang boleh mengundang risiko bila-bila masa.
Perasaan lega yang tidak terkira apabila kami semua selamat tiba di daratan. Cikgu
Malik bin Karim mengagihkan wisel kepada para pelajar dan guru untuk digunakan
sebagai semasa kecemasan di dalam hutan yang akan kami masuk. En Yusuf
memberikan penerangan serba sedikit sebelum kami mula melangkah masuk ke hutan.
Pelbagai nasihat dan teknik untuk meminta pertolongan jika di dalam kecemasan
diperjelaskan satu persatu kepada kami. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Base Camp
1 yang terletak di Kuala Kliu. Jam 445 petang kami berehat seketika di Sungai
Kliu yang banyak terdapat batu batan. Indah sungguh batu sungai di sini.
Terdetik untuk mengambil batu-batu tersebut untuk dibawa pulang. Tak tergamak rasanya
untuk mengambil batu yang semulajadi di sini. Biarlah ia kekal di tempatnya dan
keindahannya kekal di memori ingatan saya. Kami meneruskan perjalanan yang
sudah tidak berapa jauh. “Tak jauh lagi sebatang rokok aje”. Jam 530
petang kami sekali berehat di gigi anak sungai. Sejenak saya terkenang ibu dan
ayah di kampung halaman. Terima kasih kepada mereka kerana memberikan saya
kebenaran untuk menziarahi puncak Gunung Tapis. Amanah mereka untuk saya menjaga
diri sepanjang perjalanan akan saya
sematkan di dalam dada agar perjalanan yang direstui ini akan selamat pergi dan
pulang. Suka dan duka dalam perjalanan ini yang akan ditempuhi masih panjang
dan perlu kekuatan mental dan fizikal.
Akhirnya jam 6
petang kami tiba di Base Camp 1 yang terletak di Kuala Kliu. Lantas semua
bergerak pantas mendirikan khemah sebelum hari gelap menjelang malam. Setelah
khemah siap didirikan, setiap kumpulan bergegas menyediakan makan malam. Malam
ni kumpulan kami makan nasi berlaukkan tumis telus rebus. Mudah, sedap dan enak
di makan. Syukur pada Allah, ini rezeki
kumpulan kami pada malam ini. Sekali sekala kelihatan kunang-kunang terbang
mengisi kegelapan malam sambil diiringi cahaya bulan.Sejenak saya terfikir
sendirian dalam kesepian malam. Kebahagiaan seseorang boleh dirasai di
mana-mana sahaja. Kebahagiaan bukan boleh diukur dengan kemewahan, ia perlu
dipupuk dan disemai selalu agar sentiasa subur membara dan stabil. Jadi
pendekatan untuk melaksanakan kebahagiaan agar ia tidak kering layu perlu ada
dalam diri individu dan pasangan itu dan adalah sungguh malang, jika usia yang
singkat ini kita isikan dengan hal-hal yang tidak membahagiakan. Apakah kita
yakin kita akan bahagia nanti di akhirat ? Sedangkan kita masih lagi
bermain-main dengan sifat-sifat buruk semasa kita hidup di dunia.
Jam 930 malam,
semua diarahkan berkumpul untuk sesi taklimat. Kami muhasabah diri perjalanan yang
dilalui sepanjang siang hari tadi. Taklimat oleh Cikgu Salim dan tuan pengetua
serta nasihat daripada En. Yusuf mengenai hari esok perjalanan yang lebih
mencabar akan kami tempuhi.Yang paling mencabar ialah kami bakal mendaki bukit
Taubat. Kami semua dinasihat untuk membahagi kumpulan untuk berjaga malam
mengikut masa yang telah ditetapkan bermula jam 12 malam hingga jam 530pagi dan
berehat secukupnya untuk perjalanan hari esok. Paling penting En. Yusuf telah
nasihatkan kami agar jangan buka restoran kerana masih tinggal 3 hari perjalanan untuk bekalan
makanan yang kami bawa. Lupa pula kami dalam hutan ni mana ada kedai untuk
membeli belah. Kalau stok makanan habis terpaksalah kami berusaha untuk mencari
makanan sendiri. Itupun kalau bernasib baik.
Malam pertama di
hutan saya tidur-tidur ayam. Sekali-sekala terasa tenang jiwa mendengar desir
arus sungai. Merdu dan indah gemersik bunyi arus sungai tak dapat diluahkan
hanya yang mengalaminya sahaja akan memahami. Setenang air di sungai, tenang
lagi jiwa yang murni kurniaan Illahi pada insan terpilih yang berada di muka
bumi ini. Lupa saya pada segalanya seperti hilang ingatan. Segala kerja yang
tertangguh dilupakan. Damai dan tenang betul bila berada di tempat yang jauh
dari kebisingan kota metropolitan. Tuhan padamu ada kedamaian, berikan aku
kebahagiaan. Sinar kasihMu melambai mengisi kekosongan pengharapan. Ingatlah
wahai insan yang bergelar manusia. Jika mahu ketenteraman jiwa hindarilah
daripada nafsu. Jika rasa manis dekat dengan Allah maka akan rasa lebih pahit
jauh dari Allah. Jika ada sesiapa pinta cintamu, katakanlah ianya hanya pada
Allah. Jika ada sesiapa pinta rindumu, katakan ianya hanya untuk Rasulullah.
Jika ada sesiapa pinta kasihmu, katakan ianya hanya pada ibubapamu. Jika ada
sesiapa pinta keikhlasanmu maka berilah ia kepada yang benar-benar
menghargaimu. Malam pertama bermalam di hutan, saya lihat begitu lena para
pelajar tidur. Dengkuran mereka diiringi dengan bunyi desiran merdu arus sungai
serta bunyi unggas di hutan. Sekali sekala kedengaran suara para pelajar yang
berjaga untuk mengawal persekitaran tapak perkhemahan. Hati saya amat tenang
dan lapang kekosongan tanpa memikir masalah duniawi bila berada di suasana
hutan yang sunyi sepi dari kesibukan kota dan hanya diiringi bunyian unggas
hutan. Allah melapangkan bagimu supaya engkau
tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak
hanyut dalam kelapangan dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau
tidak bergantung kepada sesuatu selainNya.
Dalam kedinginan
malam tersebut saya terfikir sejenak. Sebenarnya banyak lagi tempat yang boleh
dikunjungi yang akan memberikan seribu erti. Tapi kenapa puncak Gunung Tapis ?
Mungkin di sini akan memberikan gambaran yang sebenar siapakah diri kita di
mata masyarakat. Sebagai orang muda, saya perlu menggunakan segala kemudahan
dan kesempatan yang ada semaksimum yang mungkin untuk memastikan diri kita
terus maju dan menjadi harta berharga di dunia ini. Jangan nanti bila sudah
berusia barulah menyesal kerana kurang pengetahuan ataupun pengalaman yang
ingin dikongsikan pada anak cucu. Senang ataupun susah bukan alasan, bak kata
pepatah. “ Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih ”.
Setiap malam
sebelum saya merebahkan diri dan melelapkan mata serta sebelum diri diulit
mimpi biasanya saya bertafakur sebentar dan cuba menanyakan pada diri sendiri,"Apakah
sudah meningkat ketaqwaanku pada hari ini? "Apakah sudah meningkat amalan
kesolehanku pada hari ini? Mengimbas kembali setiap gerak langkah pada
sepanjang siang tadi. Bandingkan amalan semalam dengan amalan hari ini.
Seandainya amalan hari ini semakin baik, itu tandanya sudah ada peningkatan
taqwa dalam diri. Tidak kiralah sama ada amalan itu berkaitan dengan urusan
hablumminallah (hubungan dengan Allah) atau hablumminannas (hubungan dengan
manusia). Bukti ketaqwaan semakin meningkat bukan pada banyaknya kerja yang
kita lakukan pada hari itu tetapi kesungguhan kita di dalam melaksanakan setiap
tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah swt. Jika taqwa kita sudah
meningkat, bererti kesolehan kita juga sudah meningkat kerana gabungan iman dan
taqwa melayakkan seorang lelaki atau wanita itu bergelar 'soleh' atau
'solehah'. Namun begitu, sejauh mana kita telah mencapai darjat lelaki soleh
atau wanita solehah itu? Sudahkah kita berjaya memilikinya? Oleh itu marilah
kita suluh diri sendiri .
Di antara
ciri-ciri lelaki soleh atau wanita solehah itu ialah hati mestilah sentiasa
terpaut (teringat-ingat) kepada Allah swt. Kita mestilah merasakan segala
ketaatan dan amal ibadah kita itu, bukan daripada diri kita. Sebaliknya itulah
kurniaan Allah kepada diri kita. Apabila mendapat nikmat dan kesenangan, kita
tidak leka dengannya tetapi hati kita terus terkenang kepada Allah yang memberi
nikmat. Sehingga dengan itu kita tidak pernah melupakan perintah syukur
sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Quran dalam surah Al Baqarah ayat 172
yang bermaksud: " Bersyukurlah kamu kalau betul engkau menyembahnya."
Apabila
didatangi dengan berbagai ujian tidak kiralah samada ujian besar mahupun kecil,
bagaikan orang yang terkena kejutan elektrik, hati kita mestilah terus
terkenang-kenang dosa-dosa yang telah dilakukan. Apakah ujian demi ujian yang
datang itu untuk menghapuskan dosaku? Atau untuk mendidik diriku agar lebih
soleh atau solehah? "Wahai Tuhanku, kalau beginilah hukumanMu untukku di
atas dunia ini, aku rela menerimanya dari diazab oleh api neraka yang amat
pedih. Ampunkan dosa hambaMu ini ya Allah." Bila hati telah berkata
begitu, tidaklah timbul rasa ingin mengadu ke sana dan ke mari atau mengeluh di
atas segala kesusahan. Redha terhadap setiap ujian yang datang. Kita mestilah
tidak berani menyanggah atau mengkritik Allah swt. Kita mestilah yakin dengan
keadilan dan kebijaksanaan Allah di dalam menentukan setiap hal yang berlaku.
Atas dasar itu kita menerima pelbagai rintangan dan halangan itu dengan lapang
dada. Malah hati yang sudah cinta dengan Allah itu menjadikan setiap ujian yang
datang, tidak dirasakan masalah lagi. InsyaAllah hati kita dapat berhibur
dengan ujian yang datang kerana kita tahu itulah kasih sayang dan perhatian
Allah swt kepada kita. Semakin berat ujian yang menimpa diri kita maka sekencang
itulah juga ibadah kita pula kepada Allah swt. Semoga diri kita semakin dekat
dengan Allah, sembahyang bertambah khusyuk dan semakin lazat kita bermunajat
kepada Allah swt.
Dalam sepi malam
kita bangun bermunajat kepada Allah swt, memohon dibukakan tabir keampunan dan
kerahmatan. Pada siang harinya disibukkan diri dengan kerja-kerja yang
bermanfaat pada diri dan masyarakat sementara segala masalah yang dihadapi
hendaklah cuba dilupa-lupakan. Tidak sedikit pun melayan kejahatan-kejahatan
nafsu dan prasangka buruk terhadap sesama manusia. Kerana kita tahu nafsu dan
syaitan tidak pernah berputus asa untuk mengajak kepada kemungkaran. Allah swt
telah mengingatkan kita di dalam firmanNya: "Sesungguhnya nafsu itu
sentiasa mengajak kepada kemungkaran." Ketika datang bisikan-bisikan nafsu
yang meruntun diri kita supaya berbuat jahat seperti hasad dengki dengan jiran
tetangga atau orang lain, berburuk sangka terhadap kawan, bermasam muka kepada
suami, mengumpat dan sebagainya, cepat-cepat ditepiskan bisikan menipu itu. Kita
sudah tahu, sekali diri kita berbuat dosa, akan bertapaklah bintik-bintik hitam
di hati, menyebabkan hati kita akan semakin keras bak batu sungai yang sukar
dipecahkan. Rasulullah saw bersabda: "Bila seorang hamba membuat dosa
terjadilah satu bintik hitam dihatinya dan kalau bertambah dosanya bertambahlah
bintik-bintik hitam itu." Sabdanya yang lain: "Orang yang membuat
dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi
selama-lamanya."
Tidak pernah terfikir atau merancang untuk menyakiti hati orang lain
lebih-lebih lagi suami, isteri, ibu, ayah sekalipun dirinya disakiti.
Contohnya, sekembalinya suami ke rumah, tiba-tiba dirinya dijadikan sasaran
untuk melepaskan geram. Walaupun dia tahu itu bukan salahnya, tetapi sebagai
seorang isteri yang solehah sedikit pun tidak dikesali perbuatan suaminya itu.
Sebaliknya menyesali diri yang masih lagi belum solehah kerana dirasakan
dirinya gagal untuk memberi kebahagiaan kepada suaminya itu.
Patuh terhadap arahan suami dan suka menunaikan permintaan daripada sesiapa
jua, tanpa banyak soal. Walaupun arahan atau hajat orang lain, itu menyebabkan
dirinya terpaksa berkorban dan hidup menderita.
Bukanlah kehidupan kita untuk mencari pangkat
dan nama kerana kita tahu di atas dua tiket ini membawa manusia rakus dengan
dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Sebaliknya, kita
menjadikan seluruh kehidupan ini untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata.
Masih terlalu banyak peribadi-peribadi lelaki soleh dan wanita solehah yang
belum dicungkil tetapi kiranya kesemua sifat yang di atas tadi dapat kita cuba
hadapi dengan baik, insyaAllah kita akan memiliki hati yang tenang. Hanya orang
yang membawa hati yang tenang dan sejahtera sahaja yang akan selamat menemui
Allah di akhirat kelak. Berdoalah selalu semoga kita diberi cahaya keimanan,
cahaya bagi segala cahaya yang tiada tolok bandingnya yang bakal memberikan
laluan lurus untuk selamat menuju Tuhan yang Maha Agung. Semoga saya lebih
tabah tatkala menerima sebarang bentuk ujian yang telah ditakdirkan ke atas
diri saya.
Rabu iaitu 7 Jun 2006
bersamaan tanggal 10 Jamadil Awal 1427 Hijrah. Hari ini merupakan hari kedua kami untuk ekspedisi
menziarah puncak Gunung Tapis. Tepat
jam 530 pagi khemah kami dikejutkan oleh pelajar yang berjaga dari jam 430 pagi
hingga 530 pagi. Terasa sejuk dan dingin air sungai apabila kami mencecah kaki
untuk mengambil wuduk untuk solat Subuh. Selesai solat kumpulan kami bersiap
menyediakan sarapan pagi. Kumpulan kami hanya makan roti cicah tumis ikan bilis
dan air milo. Dalam doa selepas solat subuh saya berdoa agar Allah menjaga dan
merestui perjalanan kami agar tiada rintangan atau kesukaran yang akan
mengganggu perjalanan kami hari ini.
Tepat jam 730
pagi kami menjatuhkan khemah untuk bersiap ke destinasi seterusnya. Semua ahli
kumpulan bekerjasama menurunkan khemah dan membersihkan kawasan persekitaran
tapak perkhemahan. Kerjasama adalah penting dalam kumpulan agar segala kerja
yang dilakukan akan berjalan lancar. Jam 830 pagi semua berkumpul dan doa
dibaca oleh seorang pelajar agar perjalanan kami ke destinasi seterusnya diiringi
dengan perlindungan Allah dari segala bahaya. Setelah memastikan tapak
perkhemahan betul-betul dibersihkan maka kami meneruskan perjalanan kami menuju
ke Base Camp 2. Jam 915 pagi kami berehat seketika untuk menghilangkan penat di
bawah pokok yang besar. Tepat jam 930 pagi kami meneruskan perjalanan kami yang
masih jauh. Tepat jam 1105 pagi kami tiba di Base Camp 2 untuk menikmati makan
tengahari. Kami makan nasi berlaukkan gulai daging ayam dalam tin. Selepas
makan masing-masing terjun ke sungai untuk mandi. Tiba-tiba kelihatan dari jauh
cikgu Azli dan cikgu Salim membawa hasil tangkapan ikan sungai yang ditangkap
menggunakan jaring yang di bawa oleh mereka. Kami bakar anak ikan kelah tersebut
tanpa rencah dengan menggunakan batang pokok tepus. Ia adalah
seperti pokok lengkuas jika ditengok sekali imbas. Sedap dan manis rasanya ikan
sungai yang dibakar segar dari sungai. Inilah satu lagi nikmat Allah yang
dikurniakan untuk hambaNya agar bersyukur dengan alam semulajadi yang wujud di
muka bumi ini. Ianya hanyalah setitis nikmat yang wujud di sungai yang bersih tanpa pencemaran. Oleh
itu, jagalah sungai agar ia terus kekal indah dan bersih dari pencemaran agar
dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. Saya menyegarkan diri dengan
mandi di dalam sungai yang masih suci dan bersih dari pencemaran.Sekali-sekala
saya menyelam ke dasar sungai yang cetek
itu. Rasa getar masih terasa kerana pengalaman hampir mati kerana lemas di
Tasik Kenyir. Mujur umurku masih panjang kerana diselamatkan oleh pegawai yang
bertugas di Tasik Kenyir. Sedangkan ketika itu ibuku berada di hospital besar
Kuala Terengganu, Terengganu kerana sakit yang kritikal. Nampaknya Tuhan masih
memberi peluang kepada diri saya untuk menikmati keindahan duniawi. Mungkin
akan dapat saya lihat keindahan kurniaan Illahi sepanjang perjalanan ke puncak
Gunung Tapis.
Sebelum
meneruskan destinasi kami tepat jam 130 petang ke Base Camp 3 untuk perkhemahan
malam kedua dan ketiga, En Yusuf memberikan sedikit taklimat ringkas. Kami akan
melalui Bukit Taubat yang licin dengan tanah laterit merah dan amat curam. Kami
dinasihatkan agar berhati-hati sepanjang perjalanan mendaki Bukit Taubat yang
mencabar itu. Bukit Taubat setinggi 2000 kaki adalah satu ujian yang hanya
secebis ujian yang kecil tak setanding ujian Illahi untuk hambanya dalam meniti
kehidupan menuju ke alam akhirat. Lebih besar kesulitan yang kita alami lebih
besarlah kejayaan yang akan kita capai. Sebesar mana masalah, ia akan jadi
sejarah juga akhirnya. Setiap masalah ada jalan keluarnya. Hidup ini bukan
berenang di lautan madu. Ia sukar dan memang banyak masalah. Ada pepatah
menyatakan bahawa angin yang tajam membentuk jurang yang dalam. Sementara
peraturan yang tajam membentuk manusia yang hebat. Dalam dunia ini ada dua
jenis manusia. Yang pertama orang yang tidak mudah putus asa, mereka jatuh
tetapi berani bangun semula. Sementara yang kedua menganggap dirinya bodoh atau
lemah kerana keadaan lahiriahnya yang miskin atau tidak pandai.Orang yang
pertama akan menganggap dunia penuh dengan cabaran. Nak tak nak kena hadapi tak
boleh lari. Sementara orang yang kedua menganggap dunia berhutang dengannya. Masalah mestilah dihadapi dengan berani.
Sebab kalau kita lari dia akan mengejar kita macam anjing-anjing liar.
Seganas-ganas anjing, ia akan kalah jua dengan tulang. Tulang itu datang dari
akal. Akal mesti dapat pimpinan dan bimbingan iman. Barulah ia membawa kita
menuju jalan kemenangan yang diredhai Tuhan.
Jam 330 petang
kami berehat seketika di atas kayu balak yang tumbang di pertengahan jalan yang
kami lalui. Di sini dapat saya lihat wajah-wajah kepenatan di riak wajah masing-masing.
Dari jauh jelas kelihatan puncak Gunung Tapis yang akan kami ziarahi. Tinggi
juga nampaknya puncak Gunung Tapis jika dilihat dari kejauhan. Mampukah kami
untuk mendaki Gunung Tapis.Ya Allah, perkenankan hasrat di hatiku untuk sampai
di kemuncak sana. Mencabar juga mengharungi Bukit Taubat yang berisiko
ini.Cikgu Basri kata sebelum ini dia pernah mendaki Gunung Tahan tapi tak
sesukar mendaki Gunung Tapis. Betul-betul mencabar jiwa dan nurani sesiapa yang
menyertai ekspedisi ini. Rupanya dalam berehat kumpulan kami telah terbabas ke jalan
lain. Tepat jam 345 petang, setelah dibilang bilangan anggota ekspedisi
didapati 4 orang pelajar hilang. Mereka terlalu jauh ke depan kerana terlampau
laju berjalan dan meninggalkan kumpulan lain di belakang. Cikgu Azli dan
beberapa orang pelajar bergerak pantas mencari mereka. Jam 405 petang kelihatan
dari jauh kumpulan pelajar yang hilang muncul tanpa kepenatan. Kuat betul
stamina mereka kerana hanya menyandang beg-beg kecil di belakang. En. Yusuf
memberi nasihat agar tiada lagi yang sesat. Diingatkan berulang kali mesti
bergerak dalam kumpulan sentiasa dan memastikan bahawa tidak berada jauh antara
satu sama lain. Sikap mementingkan diri dan lupa pada kawan mungkin akan
mengundang bahaya yang mungkin tidak disangka oleh kita. Ini hutan bukan bandar
yang ada papan tanda dan telefon untuk mudah dihubungi mendapatkan bantuan.
Liputan telefon pun tak ada di sini. Nasihat En. Yusuf lagi jika ternampak papan
tanda di pokok besar atau berjumpa jalan yang bercabang dua atau bersimpang
berhenti seketika.Tunggu di situ dan tiup wisel untuk meminta bantuan.
Jam 410 petang
kami meneruskan destinasi kami menuju ke Base Camp 3. Tepat jam 445 petang kami
tiba di Base Camp 3 dan lantas kami segera mendirikan khemah. Setelah khemah
siap didirikan kami bersiap untuk solat dan menyediakan makan malam. Malam itu
kumpulan kami makan berjemaah dengan kumpulan guru lelaki dan En Yusuf dalam
menyediakan makan malam. Aneka lauk sedia terhidang untuk kami nikmati selepas
solat Maghrib nanti. Antara lauk yang disediakan ialah kari kepala ikan, ikan
sardin, sambal kerang, serunding, sup isi ketam tumis ikan bilis. Syukur pada
Allah, inilah rezeki makanan kami yang melimpah ruah pada malam ini. Bumi Allah
luas rezeki ada di mana-mana tapi jika kita berkongsi apa yang kita ada tidak
rugi malah banyak lagi balasan yang kita tidak sangka akan muncul. Tersirat dan
tersurat segala ketentuan Illahi adalah datang darinya. Saya bertanya adakah
malam ini kami akan diterangi oleh cahaya bulan seperti malam pertama. En Malik
bin Karim menjawab, “Malam ni bulan cuti”. Tepat jam 710 malam terdengar bunyi
gauman harimau kumbang di anak bukit bersebelahan perkhemahan kami. Muncul
sejenak perasaan takut. Ingat, jadilah kekasih Allah s.w.t dengan mengasihiNya.
Apabila kita telah dilindungi oleh Allah s.w.t apapun anasir di atas muka bumi
ini tidak akan mampu melakukan apa-apa ancaman ke atas diri kita. Tepat jam 730
malam kami bersama-sama menikmati rezeki kami pada malam kedua. Indah sungguh
kami menikmati makan dengan ditemani oleh cahaya bulan. Sinar cahaya bulan
menerangi bumi seperti merestui kehadiran kami di sini untuk menziarahi puncak
Gunung Tapis. Indah sungguh cahaya bulan di malam hari, semua itu adalah
anugerah dari Illahi. Seterang cahaya bulan seperti terangnya hati-hati kami
untuk mengingati Allah yang Esa sentiasa. Ya Allah, janganlah kami lupa padaMu.
Kekalkan memori kami untuk sentiasa beribadat kepadaMu tanpa jemu, bosan serta
ragu.
Tepat jam 900
malam ada antara kami dibuai mimpi di dalam khemah masing-masing kerana
kepenatan yang amat dalam mendaki Bukit Taubat. Letih terasa tidak terkira
setelah mengharungi hari kedua pendakian Gunung Tapis. Masih ada yang belum
tidur dan mengisi kekosongan pada malam itu dengan berbual antara satu sama
lain berkongsi pengalaman. Jam 1130 malam hujan turun dengan lebat. Kebasahan
jelas terasa kerana khemah kami berada di laluan air. Tidur atas aliran air
seronok juga. Satu pengalaman baru yang sukar diperolehi. Akibat betul-betul
kepenatan semua tidur lena malam kedua kerana terlampau penat walaupun hujan
turun dengan lebat. Doa saya panjatkan agar tidur kami adalah tidur yang umpama
mati untuk hidup semula dalam mengharungi pendakian hari esok. Keredhaan dari
Allah merantai jiwa kami untuk mencapai matlamat kami dalam melihat perhiasan
duniawi di puncak Gunung Tapis. Malam ini tiada kumpulan yang berjaga untuk
mengawal persekitaran kerana hujan turun dengan amat lebat.
Khamis iaitu 8 Jun 2006 bersamaan tanggal 11
Jamadil Awal 1427 Hijrah. Hari
ini merupakan hari ketiga kami untuk ekspedisi menziarah puncak Gunung Tapis. Tepat jam 600 pagi saya bangkit dari tidur
dan mendapati sunyi sepi di persekitaran luar khemah. Semua masih tidur akibat
keletihan yang nyata dalam menempuh perjalanan hari semalam. Saya cuba kejutkan
khemah para pelajar. Liat betul mereka nak bangkit dari tidur. Kain selimut
ditarik kembali dan ada juga pelajar yang menjadi ulat gonggok. Sama seperti di
Base Camp 1, terasa sejuk dan dingin air sungai apabila kami mencecah kaki
untuk mengambil wuduk untuk solat Subuh. Selesai solat kumpulan kami bersiap
menyediakan sarapan pagi. Kumpulan kami hanya makan maggi kari, roti dan air nestum.
Saya cuba untuk makan maggi tetapi tak berupaya kerana apa yang masuk ke mulut
terpaksa diluahkan kembali. Saya hanya makan 2 keping roti dan segelas air
nestum. Kami telah dinasihatkan oleh En Yusuf agar mengisi perut agar mempunyai
tenaga dalam menempuh pendakian.
830 pagi semua berkumpul dan doa dibaca oleh
seorang pelajar agar perjalanan kami ke destinasi menziarahi puncak Gunung
Tapis diiringi dengan perlindungan Allah dari segala bahaya dan mendapat
keberkatan. Kami melintas anak sungai yang kami gunakan untuk keperluan
seharian. Apabila melintas satu anak bukit terdapat sebuah jeram yang indah.
InsyaAllah dalam perjalanan balik jika berkesempatan kami akan singgah untuk
bersiram di sini. Di sini kami mengisi botol-botol kosong dengan air sungai
sebagai bekalan minuman dalam perjalanan nanti. Kami mungkin tidak akan bertemu
dengan punca air. Kalau bernasib baik punca air akan ada di lereng-lereng
bukit. Apapun doa kami panjatkan agar wujud punca air sebelum tiba di puncak.
Kata En Yusuf kalau ada punca air hanya seorang sahaja yang akan turun untuk
mengambil air dan perlu berhati-hati kerana lereng yang sempit dan curam untuk
turun mendapatkan air tersebut. Malam tadi hujan turun dengan lebat. Semoga
wujud limpahan air rahmat untuk kami dalam perjalanan ke puncak nanti. Kami
meneruskan pendakian dengan menaiki satu lagi anak bukit yang agak curam.
Sepanjang perjalanan kami dinasihatkan melihat tanda yang ada di pokok-pokok
agar tidak tersesat dalam perjalanan turun dari puncak.Kami semua terkial-kial
meneruskan pendakian. Hujan lebat yang turun malam tadi menyukarkan perjalanan.
Laluan menjadi licin dan tidak terurus. Banir kayu dan pokok-pokok renek
menjadi tempat berpaut. Di sini kami banyak berpaut pada akar dan dahan pokok
untuk pendakian kerana kecuraman bukit yang menyukarkan kami untuk mendaki.
Tali yang disediakan turut licin kerana terlalu ramai yang telah berpaut
menyebabkannya diselaputi tanah liat.
Hidup ini penuh
dengan ranjau berduri tersilap langkah kita akan terluka. Berhati-hati apabila
melaluinya agar selamat ke penghujungnya. Perjalanan yang jauh banyak
rintangannya dan bersabarlah dalam menempuhinya agar diberi petunjuk dari yang
Esa. Dunia yang penuh pencaroba banyak dugaan yang mendatang dan jika sekali gagal menempuhinya bukan
gagal untuk selamanya. Ada kekuatan dalam diri adalah semangat untuk
menempuhinya walau pelbagai ujian yang melanda bukan itu penghalangnya. Kuatkan
iman di dalam diri semoga tidak tergoda dengan keindahan alam yang penuh dengan
kepuraan. Percayalah keupayaan sendiri dan yakin diri dalam melangkah semoga
dapat meneruskan perjalanan dengan sejahtera dan tenang.
Jam 1000 pagi kami berhenti sejenak untuk
berehat di Check Point 8. Kami mengambil peluang ini untuk bergambar
beramai-ramai. Kedengaran bunyi seperti air yang mengalir dari kejauhan. Bila
cuping telinga di asah untuk mendengar dengan jelas apa bunyi yang sebenarnya,
tertipu rupanya saya. Bunyi yang kedengaran adalah bunyi desiran angin yang
berlalu sepoi-sepoi bahasa. Nyaman tiupan angin di sini bagaikan gembira dan
merestui kedatangan kami. Pipi ini terasa tamparan lembut bayu angin yang
sungguh dingin dan nyaman. Ciptaan Illahi yang amat tulus dan suci mengisi
pendakian kami. Selepas ini kami dinasihatkan agar lebih berhati-hati kerana
akan menempuh hutan pokok mengkuang yang tajam sepanjang menuju ke puncak
sebelum bertemu dengan Check Point 10 yang merupakan Taman Bonsai 1. Sepanjang
perjalanan saya dapat mengenali beberapa pokok herba yang dijumpai sepanjang
pendakian. Contohnya pokok rempah ratus hutan, pulih dara, kacip fatimah dan
lain-lain lagi.
Pelbagai ilmu
rimba yang saya pelajari daripada En Yusuf di sepanjang perjalanan. Kongsilah
ilmu yang baik dengan orang lain. Sememangnya orang yang berilmu akan dihormati
dan diperlukan dalam masyarakat. Dengan ilmu, masyarakat dapat dibangunkan dan
sebuah negara dapat ditegakkan. Tamadun yang hebat bermula dengan orang yang
berilmu. Disebabkan itu, Islam sangat menghargai ilmu dan golongan ilmuwan
seperti firman Allah : “ .... nescaya Allah akan meninggikan orang yang
beriman antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat
....” Surah al-Mujadalah : 58 . Disebabkan tingginya kedudukan ilmu, maka Islam
mewajibkan umatnya untuk belajar. Berjihad dalam ilmu bermaksud
bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan
peradaban yang berguna supaya dapat memberikan gambaran yang betul mengenai
sesuatu perkara, tanpa iri hati atau tamak. Rasulullah juga pernah berpesan
supaya umatnya tidak lokek menyebarkan ilmu. Pesan baginda, si kedekut ilmu yang
jika ditanya mengenai sesuatu (ilmu), dia menyembunyikannya, maka pada hari
kiamat nanti akan diikat mulutnya seperti kekangan di mulut kuda dengan
kekangan daripada api neraka. Justeru itu, kongsilah ilmu yang berguna kerana
semakin ramai orang yang berilmu, makin kuatlah sebuah masyarakat. Masyarakat
yang kuat akan membentuk negara yang gagah. Dan negara yang gagah akan menjadi
sebuah tamadun yang boleh dibanggakan generasi demi generasi.
Pendakian semakin sukar kerana laluan hanya
muat untuk seorang sahaja. Kedengaran bunyi aliran air di celah lereng bukit.
Cikgu Basri turun untuk melihat adakah benar apa yang kami dengar itu. Syukur saya
panjatkan pada Illahi bila kedengaran “ Cepat hulurkan botol kosong untuk diisi
air ”. Rupanya hujan lebat malam tadi adalah rahmat dari Allah yang tidak kita
sangka. Jangan kau sangka semua yang baik itu baik belaka dan juga jangan kamu
sangka semua yang tidak baik itu buruk belaka. Kita kadangkala tidak sedar
Allah sentiasa mengurniakan sesuatu rahmat kepada hambaNya tanpa dipinta.
Pemurah dan Pengasih pada hambaNya yang kadang kala kita lalai, lupa dan leka
dengan sifat ini. Laluan semakin sempit dan licin amat mencabar perjalanan kami.
Kedinginan makin terasa mengigit di jasad kami apabila langkah demi langkah
yang makin lama menuju ke ketinggian yang hampir menuju ke puncak. Saya
terbersin beberapa kali kerana kesejukkan walaupun sudah memakai baju sejuk.
Kadangkala kami berhenti sejenak untuk melihat pemandangan ke bawah. Kelihatan
menghijau pokok-pokok di atas bukit yang lebih rendah dan tanah pamah. Awan
jelas kelihatan sama paras dengan paras mata kami. Keindahan melihat awan di
depan mata yang bagaikan boleh dicapai oleh tapak tangan tak tergambar. Tidak
sama dengan awan putih yang saya lihat ketika berada di dalam kapal terbang
semasa ke Kota Kinabalu pada tahun 2000. Bezanya kedinginan semulajadi terasa
bagaikan penyaman udara. Tapi kedinginan asli di sini lebih bermakna. Hanya
yang merasainya sahaja boleh meluahkannya dalam sanubari kenikmatan angin asli
yang teruji.
Jam 1230 saya
tiba di Check Point 10 yang merupakan Taman Bonsai 1 yang indah. Kami cuba
mengabadikan keindahan Taman Bonsai dengan bergambar beramai-ramai berlatar
belakangkan pokok bonsai. Menurut En Yusuf umur pokok bonsai yang tinggi di
sini adalah seusia dengan kewujudan gunung. Jika umur gunung sebaya umur Bumi
maka umur pokok bonsai mencecah jutaan tahun. Hanya Allah yang tahu hakikat
kejadian ciptaanNya di sini. Kami bergambar beramai-ramai sebagai kenangan
keindahan dan keunikan pokok bonsai. Indahnya pemandangan dari pinggir puncak
Gunung Tapis. Kelihatan kehijauan hutan semulajadi yang asih asli dan suci
tanpa penerokaan manusia yang rakus dengan kemewahan duniawi. Kami menerusnya
perjalanan yang tidak berapa jauh lagi. Saya dapat merasakan perut sudah
diminta diiisi. Saya mengeluarkan biskut Tiger untuk mengalas perut. Nanti
kalau lambat makan susah pula bila gastrik datang menyerang. Saya hanya makan
sekeping sahaja dan yang selebihnya dikongsi bersama ahli ekspedisi yang lain.
“ Hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah ”. Kadangkala kami memakan
umbut pokok yang terdapat di sepanjang perjalanan.
Dalam keadaan
lapar, tiba-tiba bila saya keluar dari semak samun kedengaran tepukan gemuruh
dan ucapan tahniah daripada para pelajar dan guru yang terlebih dahulu tiba di
puncak. Jam 100 petang kami tiba di puncak Gunung Tapis yang berada pada paras
4960 kaki dari aras laut. Alhamdullillah, syukur dan puji-pujian yang tidak
terhingga kami panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan inayahNya
kami dapat menziarahi puncak Gunung Tapis dan tiba di puncak dengan selamat.
Segala usaha dan susah payah yang telah
dilalui amat kami hargai dan sanjung tinggi malah tidak dapat kami nilaikan
dengan wang ringgit. Hanya kami dapat pohonkan doa semoga segala usaha kami
dinilai Allah sebagai amal ibadah serta ganjaran sebagai amalan orang-orang
soleh. Amin! Semoga perjalanan yang dilalui ini dapat dimanfaatkan sebaik
mungkin oleh seluruh warga ekspedisi menziarah Gunung Tapis sebagai penyuluh
untuk merintis jalan menuju cahaya Illahi. Kami berdoa dan memohon agar seluruh
warga ekspedisi Gunung Tapis ini sentiasa mendapat hidayah dan taufik serta
keberkatan daripada Allah s.w.t.
Kelihatan di
puncak Gunung Tapis papan tanda menunjukkan ayat “Program gunung angkat Puncak
Everest 1997 ”. Ia adalah dari Rakan
Muda Gunung Tapis. Perut yang berkeroncong perlu diisi. Kumpulan kami hanya
makan bekalan makanan yang dibawa iaitu cekodok bilis, biskut jagung dan wafer.
Ada kumpulan yang memasak mee segera di puncak Gunung Tapis. Pelbagai ragam dan
perangai yang dapat dilihat. Apa yang pasti semua ahli ekspedisi kelihatan amat
gembira yang tidak terkira dan tak dapat digambarkan. Pembuka tin kelihatan
muncul dari dalam beg ketika saya hendak mengeluarkan wafer dari dalam beg.
Dalam fikiran saya terfikir mengapa pembuka tin dibawa bersama ke puncak,
bukannya nak guna ? Tiba-tiba En. Yusuf menanyakan jika ada sesiapa yang
membawa pembuka tin kerana dia ingin membuka tin kacang hijau yang dibawanya.
Sejenak saya tersentak kerana tadi saya telah mengeluh di sebalik kejadian yang
telah Allah tentukan. Ada hikmah sebenarnya jika kita mempunyai sesuatu yang
kita rasakan tidak memerlukannya. Ada orang lain yang memerlukan barang yang
kita punya tapi kita tak memerlukannya. Barulah saya sedar bahawa memang cantik
dan indah ketentuan Allah dan ada kalanya kita tidak sedar ia berlaku. Oh,
Tuhan padamu hambamu berserah ketentuan yang terbaik di dalam kehidupan hambamu
ini. Menurut En. Yusuf kacang hijau yang dibawa olehnya itu adalah salah satu
makanan pemberi tenaga untuk turun dari puncak nanti. Kami berkongsi dengan
nikmat Allah yang sedikit dan merasa puas dengan nikmat memakan kacang hijau
dalam tin. Di samping itu, saya diperkenalkan dengan pokok renek Payung Ali dan
Payung Fatimah yang sentiasa duduk bersebelahan. Pokok tersebut seperti pokok
paku pakis. Di puncak itu juga dapat saya perhatikan banyak pokok mas secotek
di merata-rata atas puncak.
Keindahan
pemandangan dari puncak Gunung Tapis amat indah. Jika benar apa yang dirasai
dan dinikmati di puncak adalah hanya setitis nikmat syurgamu Ya Allah, akan
hambamu terus beribadat dan taat kepadamu untuk menikmati janjimu syurga hakiki
di akhirat sana. Berilah hambamu ini peluang untuk menjadi salah seorang
hambamu yang terpilih untuk menikmati syurga yang hakiki dan kekal. Hambamu ini
adalah lemah dan tidak layak untuk syurgamu. Namun tak upaya untuk menanggung
azab api nerakamu. Di puncak Gunung Tapis walaupun amat tinggi namun saya
hanyalah perantau sepi. Katanya sepi itu indah tapi kenyataannya amat
menyakitkan. Sepi itu sebuah peyeksaan namun saya bersyukur pada Tuhan kerana
masih diberi ihsan harga sebuah kehidupan. Doa dan munajat saya di sini agar
datanglah seorang teman mendampingi diri ini. Seperti bahagianya Adam tatkala
Hawa diciptakan untuknya. Hening adalah bunga kesabaran menanti dalam segar
hijau warna daun teratai yang masih terus setia di sini. Semoga suatu ketika
berkembanglah kelopak bungaku agar menyeri warnanya di dingin bayu pipisan
angin puncak Gunung Tapis dan saya pasti terus menanti di sini tanpa jemu.
Semasa berehat
di puncak En.Yusuf menunjukkan batu mengandungi emas yang dijumpainya sepanjang
perjalanan. Mahu kaya tidak salah, tapi mahu diapakan dengan kekayaan itulah
yang penting. Kekayaan itu sendiri adalah satu makhluk Allah, yang tunduk
kepada Allah azzawajalla yang Maha kaya. Kamu mahu jadi hamba kekayaan atau
hamba Allah. Cari Allah SWT terlebih dahulu. Pencipta dan pemilik kekayaan.
Bukan terus mencari kekayaan yang dimiliki Allah. Kerana Allah yang Maha Kaya
yang memiliki segala sesuatu yang ada di alam semesta ini. Kekayaan yang kamu
cari hanyalah sebutir zarah dari alam ini. Harta dan anak-anak adalah perhiasan
kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi salih adalah lebih baik
pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan ( Al Kahfi :
46 ). Kenapa kita tidak kaya ? Jawabnya kerana kita tidak memperkayakan diri
kita sendiri. Setiap hari kita berusaha dan bekerja untuk memperkayakan orang
lain. Anak isteri kita bahkan seluruh keluarga kita tidak membantu kita menjadi
kaya. Sebaliknya mereka turut membantu memperkayakan orang lain. Kekayaan
adalah hasil pekerjaan kita sendiri dan hasil dari sesuatu yang praktis. Ia
bukan hasil menungan atau imaginasi. Ia bukan jatuh dari langit. Ia bukan
durian yang runtuh di hadapan kita. Ia bukan bulan jatuh ke riba. Kekayaan
adalah hasil satu usaha yang praktis. Bukan mistik. Tiada jalan pintas menuju
kekayaan. Ia harus diamalkan dengan sabar dan istiqamah. Dalam perjalanan
menuju kekayaan ada banyak rintangan, kesilapan, dugaan bahkan kegagalan
sementara. Kekayaan tidak akan menjadi milik orang yang gelojoh dan tidak
sabar.
Lazimnya manusia
mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana kerana gila mengejar
harta dan dunia kita sering teralpa akan tanggungjawab terhadap sesama manusia
dan Tuhan. Kita bekerja dari pagi sehingga malam sehingga terlupa tanggungjawab
pada keluarga. Harta ada tiga jenis, pertama apa yang dimakan akan habis, kedua
apa yang dipakai akan lusuh dan ketiga apa yang disedekah akan tersimpan untuk
akhirat. Kecuali yang ketiga, semua akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang
lain.
Bergambar di
puncak adalah satu sesi yang menarik di sini kerana pelbagai aksi menarik yang
akan kami rakamkan untuk kenangan. Entah bila lagi kami akan menziarahi puncak
Gunung Tapis yang keindahannya tak mampu dinyatakan dan hanya mereka yang
berada di sana sahaja dapat merasakan keindahan tersebut. Di puncak Gunung
Tapis kami mengabadikan memori kami yang indah agar ia akan menjadi bukti dan
saksi kejayaan kami menawan puncak Gunung Tapis. Hanya Allah sahaja yang
menjadi saksi bahawa kami telah dapat menempuh ujian yang berliku dan sukar
dalam mangharungi perjalanan kami ke puncak.Tidak semua yang kita mampu kita
perolehi dan tidak semua kita perolehi adalah yang kita inginkan.
Tiba-tiba datang
segumpal awan menuju ke puncak. Terasa kedinginan yang nyata mengigit tubuh
saya. Terbersin saya beberapa kali kerana kesejukan. Kecoh masing-masing
bergambar untuk merakam memori yang indah bersama gumpalan awan tersebut. Ingin
rasanya meramas gumpalan awan tersebut.Teringat seketika bahawa gumpalan awan
tersebut hanyalah hantaran dari Allah untuk nikmat seketika yang diuji untuk dinikmati
oleh hambanya. Pinjaman sementara semata-mata dan ia milik yang Esa bukan boleh
dimiliki oleh manusia, cuma boleh dirasai sahaja.Terasa puas walaupun berada
hanya selama satu jam lebih di puncak Gunung Tapis. Kepuasan yang Allah
kurniakan amat berharga dan tidak boleh dibayar dengan apa-apa sekalipun intan,
permata atau wang ringgit. En. Yusuf menanyakan kami adakah ingin ke taman
bonsai 2 di kaki puncak. Rasanya dah syukur dengan keindahan di puncak.
Cukuplah keindahan puncak dan saya rasakan apa yang ada di taman bonsai sama
sahaja.Tapi kesungguhan En. Malik bin Karim untuk ke taman bonsai 2 telah
memberi kami peluang ke tempat tersebut.
Saya merasa amat pilu untuk bangkit dan meninggalkan puncak Gunung Tapis.
Saya melihat pemandangan dari atas puncak Gunung Tapis untuk kali terakhir.
Yang kelihatan hanyalah gumpalan awan
sahaja dan tidak jelas kelihatan pemandangan tanah pamah di bawah. Terima
kasih dan jika panjang umur akan saya datang lagi ke sini wahai puncak Gunung
Tapis yang sudi menerima kehadiran saya. Alam yang indah Rahmat dari-Nya sungguh mempersona perlulah kita bersyukur
pada-Nya. Merasai nikmatNya dan terus berzikir padaNya agar kita menjadi hamba
yang setia. Dapat kita melihat di kaki gunung ada suria pagi yang menampakkan
diri untuk menerangi alam. Setelah terbenam mentari untuk berehat dan menanti
terbit rembulan nan berseri untuk menerangi kegelapan malam. Segala yang
diberikan adalah rahmat dariNya. Janganlah kita kufur kepadaNya dan jadilah
hamba yang bersyukur pada setiap nikmat pemberianNya yang kadangkala tidak
pernah kita pinta tapi diberi agar kita gembira sentiasa.
Saya berada pada
kumpulan kedua yang turun dari puncak. Sebenarnya saya ingin menitiskan air
mata tapi cuba saya sembunyikan di dalam sanubari. Biarlah Allah sahaja yang
tahu betapa saya bersyukur yang tidak terhingga kerana berjaya berada di puncak
Gunung Tapis. Saya tidak pernah bermimpi untuk mendaki gunung dan berada di
puncak gunung. Tetapi saya sedar bahawa semua ini yang berlaku adalah ketentuan
daripada Allah. Kita tidak sedar nikmat yang Allah berikan kepada kita walaupun
kita tidak pernah pinta.Terima kasih kepada semua teman seperjuangan yang
sama-sama mendaki dan memberikan saya peluang ini. Kini, diri saya sedar
sebenarnya kepayahan hidup yang dirasa sulit dan gentir ada hikmahnya. Inilah
balada seorang gadis dara. Amat payah dan sulit sekali menjadi seorang gadis
dara sebab pada tiap saat ,dia sering terkepung serta diintip oleh ribuan
lelaki dahaga yang mahu mencintainya yang mahu menodainya lalu hari itu, dia
pun mengambil keputusan untuk melindungi rambutnya yang harum bak sutera
menutup dadanya yang mekar dan berombak dengan mini telekung yang bersih dan
santun. Maka dalam kesegaran wuduk pada setiap subuh yang bening dan damai dia
pun memanjatkan doa, “ Ya Allah, peliharakanlah dan selamatkanlah aku dari tipu
daya cinta zaman ini yang kebanyakkannya penuh dengan kemungkaran seribu satu
muslihat serta tipu daya yang licin. Jika umurku panjang, isikan ia dengan barakah
dan hidayahmu untuk terus beribadat dan bertakwa kepadamu. Ya Allah, padamu ku
mohon jodohkan aku dengan insan yang telah engkau tetapkan untuk mengisi
kebahagiaan hakiki di dunia dan di akhirat
yang akan menemani daku abadi selamanya.
Dalam perjalanan
turun dari puncak kami diserang oleh hujan gunung. Amat kasar titisan air yang
turun. Sempat juga saya menikmati air tersebut dengan membuka mulut seketika
walaupun dalam keadaan kelam kabut. Saya dan beberapa orang yang lain tersasar
ke laluan jalan yang salah.Ini adalah disebabkan oleh hujan yang lebat dan
kabus yang tebal. Nasib baik ada wisel di dalam poket seluar. Saya meniup wisel
dan setelah mendengar balasan wisel dari teman, kami menuju ke laluan yang
betul.
Jam 200 petang,
setelah keluar dari celah-celah pokok bonsai yang lebih tinggi dari saya
kelihatan semua sedang bergembira. Mereka seronok kerana di taman bonsai 2,
keindahan yang wujud tak boleh digambarkan. Amat indah, cantik, bersih,
tersusun dan ia umpama taman yang dijaga oleh seseorang. Indah sungguh. Adakah
keindahan ini hanyalah secalit keindahan di kayangan. Saya terpinga-pinga
kerana melihat keindahan tempat ini. Di dalam hati terdetik, “ Jika boleh
ingin ku bina rumah di sini dan kekal tinggal di sini ”. Tetapi mana
mungkin saya boleh berbuat demikian. Saya amat diperlukan dalam keluarga,
sekolah dan masyarakat. Paling tidak saya lupa kedua ibubapa yang belum lagi
terlaksana satu janji manis dalam hati
saya ini kepada mereka. Itulah saya jika
ingin menghadiahkan sesuatu pada mereka akan terus beri dan memang biasanya saya
akan lihat mereka tersenyum puas. Masih lagi hangat terasa, setiap malam mak
akan meniup ubun-ubun kepala kami sebelum dia tidur. Ayah dengan sikap
pendiamnya dan penuh rahsia tapi saya tahu dia mahu yang terbaik untuk kami
adik beradik dengan mencari rezeki untuk kami. Saya banyak mengikut perangai
ayah tapi wajah lebih mirip mak saudara yang merupakan adik kepada mak.
Keindahan taman
bonsai amat luas dan tidak terdetik sedikit pun untuk mengambil pokok-pokok
tersebut. Biarlah ia berada di tempatnya dan yang penting memori keindahannya
akan kekal dalam ingatan saya. Kelihatan beberapa orang ahli ekspedisi yang
cuba menggorek keluar pokok bonsai bersama akarnya untuk di bawa pulang.
Biarlah minat masing-masing yang berbeza.Mujur ada teman yang mengingatkan agar
tidak terlalu asyik di sini. Tempat di muka bumi ini adalah tempat makhluk
Allah yang kita kongsi bersama. Kami beramai-ramai mengabadikan memori
keindahan taman bonsai 2 di dalam lensa kamera masing-masing.
Kami memulakan
langkah untuk turun dari puncak sebelum lewat petang. Kami berkali-kali
diingatkan agar berhati-hati turun. Risiko turun dari bukit adalah lebih besar
dari naik bukit. Lagipun pada tahun 2004 seorang juru tunjuk arah warga
Singapura berumur 54 tahun telah meninggal dunia akibat sakit jantung dalam
perjalanan turun. Tidak ada daya untuk mengelakkan sesuatu dan tidak ada
kekuatan untuk melaksanakan sesuatu kecuali dengan pertolongan Allah. Semasa
perjalanan turun kami sekali lagi mengambil air dari lereng bukit. Kesegaran
air tersebut adalah seperti air dari peti sejuk. Rahsia nikmat air yang tak
terkira dan tergambar telah dapat kami nikmati sepanjang perjalanan naik dan
turun puncak. Akhirnya 530 petang kami tiba di jeram yang terletak satu anak
bukit dari tapak perkhemahan kami. Kami menyegarkan tubuh kami dengan berendam
di dalam anak sungai.Lega yang tak terkira kerana dapat membasahkan tubuh
seketika. Kami tidak boleh lama berada di sini kerana belum solat lagi. 630
petang kami tiba di base camp 3 bersiap untuk solat dan menyediakan makan
malam.
Sebelum solat
sempat saya memasak nasi. Dalam doa selepas solat, saya panjatkan kesyukuran
yang tidak terhingga kepada Illahi kerana selamat turun dari puncak Gunung
Tapis yang mencabar dan berliku. Selesai solat kami memasak lauk untuk makan
malam. Malam ini merupakan malam terakhir kami akan bermalam di dalam hutan. Pelbagai
lauk dihidangkan untuk dinikmati oleh kami. Antaranya sardin, kari kepala ikan,
serunding daging, sup isi ketam dan pelbagai lagi.Semua makan dengan berselera
kerana lapar lagipun kami makan secara berjemaah. Syukur walau apa yang dimasak
nampak sedikit tapi kami semua dapat makan dengan kenyang. Semua ini adalah
rezeki yang kami terima pada malam terakhir kami di dalam hutan.
Tepat jam 930
malam, semua dipanggil berkumpul di pinggir khemah En. Yusuf. Kami muhasabah
perjalanan kami siang tadi yang telah kami tempuhi. Pelbagai nasihat dan
dorongan diberikan agar kami masih lagi bertenaga untuk perjalanan pulang esok
menuruni Bukit Taubat dan kembali ke bandar Sungai Lembing. Malam ini semua
kumpulan diingatkan agar membuat kawalan di persekitaran tapak perkhemahan.
Walaupun penat masih terasa mencengkam
kaki kami namun semua akur dengan tanggungjawab yang telah diberikan.Malam
ketiga saya tidak dapat tidur kerana apabila memejamkan mata tergambar ular di
sekeliling saya. Malam itu saya hanya berbaring sambil kepenatan terasa yang
mencengkam betis dan peha. Mata tidak dapat dipejamkan sehinggalah akhirnya
hampir jam 330 pagi terlelap seketika.
Jumaat iaitu 9 Jun 2006 bersamaan tanggal 12
Jamadil Awal 1427 Hijrah. Hari
ini merupakan hari keempat kami untuk ekspedisi menziarah puncak Gunung Tapis. Tepat jam 515 pagi saya bangkit dari tidur
apabila dikejutkan oleh pelajar yang berjaga untuk sesi 430 pagi sehingga 530
pagi. Semua masih tidur akibat keletihan yang nyata dalam menempuh perjalanan
ke puncak Gunung Tapis hari semalam. Hari masih belum terjaga sepenuhnya.
Burung-burung pun tidak galak berterbangan mencari ulat untuk sarapan. Dalam
kesepian pagi saya dan Sofia turun ke anak sungai. Pagi yang sepi itu menjadi
sebuah pagi penuh bererti. Masih banyak perkara yang harus diteliti apabila
kita bersedia membuka mata. Sedar tak sedar, hari ini kami akan pulang ke
destinasi asal kami.
Kedinginan air
sungai dan tiupan angin pagi yang lembut bagaikan mengucapkan pagi terakhir
kami di dalam hutan. Hanya saya dan Sofia sahaja yang bangun ke sungai untuk
mengambil wuduk. Yang lain masih lena dibuai mimpi kerana kepenatan menziarahi
puncak Gunung Tapis seharian semalam. Kami berdua menggosok gigi dan mengambil
wuduk di dalam kegelapan pagi dengan hanya bercahayakan lampu suluh. Segar
rasanya menghirup udara pagi yang segar tanpa pencemaran di sini. Inilah nikmat
yang dapat dinikmati di sini dan ia tidak boleh dijual beli dengan apa-apa.
Lantas kami bersiap untuk menaiki tebing sungai secara bergilir-gilir. Sofia
mencadangkan saya naik dulu dengan dia menyuluh cahaya lampu suluh ke arah
laluan saya menaiki tebing. Untuk menaiki tebing saya perlu memijak satu batang
pokok yang telah tumbang. Semasa memijak batang pokok itu terasa tidak stabil
dan saya hampir jatuh. Sofia menjerit, “ Cepat, cepat cikgu naik ke atas ”.
Tanpa melengahkan masa saya cuba dengan kudrat yang ada untuk pantas naik ke
tebing. Hampir-hampir tergelincir jatuh. “ Cikgu, saya tak nak naik ikut sini.
Saya nak naik ikut sana kerana ada sesuatu di sini ” .Sofia menaiki tebing yang
hampir dengan khemah pelajar lelaki. Apabila hampir dengan saya lantas Sofia
berbisik, “ Cikgu, ada ular hitam sedang bergerak di bawah batang kayu semasa
cikgu memijaknya ”. Di sini terasa seperti telur di hujung tanduk. Tindakan
Sofia adalah bijaksana. Jika tidak saya akan panik dan bergerak maka ular pun
panik. Mungkin saya akan dipatuk oleh ular hitam tersebut. Terima kasih Sofia
kerana selamatkan nyawa cikgu. Jasa itu tak dapat cikgu balas dengan apa-apa
kerana ia amat bernilai. Apapun cikgu doakan Sofia akan berjaya dengan
kehidupan di dunia dan di di akhirat. Saya terus mengejutkan En. Yusuf dan
memaklumkan apa yang terjadi. Dia terus mengambil batang kayu dan menghalau
ular tersebut. En. Malik bin Karim berkata., “ Ular itu datang mencari sisa
makanan yang ada di atas batu ”.
Kejadian
hampir di patuk ular tersebut adalah satu ujian dari Allah. Semasa pagi Rabu,
31 Mei 2006 saya sedang berehat di anjung dapur rumah di kampung saya di
Dungun. Kelihatan dekat pokok pisang seekor ular hitam yang sedang menuju ke
pintu dapur tempat saya berada. Nampaknya ular tersebut hendak masuk ke ruang
dapur. Pantas saya memanggil adik lelaki saya yang sedang berehat di ruang tamu
rumah.Adik dan abang berusaha mencari ular tersebut setelah mereka sampai.
Bijak ular itu menyembunyikan diri dicelah batang pisang. Abang dapat
mencengkam tubuh ular tersebut dengan batang besi. Ular itu menangkat kepalanya
dan adik saya cuba untuk mencengkam kepalanya. Namun ular tersebur
mengembangkan kepalanya dan menyembur bisa racunnya. Racunnya terkena batang
lengan adik saya dan dia terus membasuh lengannya dengan air paip yang
berdekatan. Semasa ular tersebut mengangkat kepalanya dapatlah kami lihat
bahawa ular tersebut ialah ular senduk. Akhirnya adik saya berjaya mencengkam
kepala ular tersebut setelah penat bergelut.Abang cepat bertindak membunuh ular
tersebut dan memotong tubuh ular kepada beberapa bahagian yang akan di tanam.
Malam hari Rabu yang sama semasa adik lelaki hendak ke dapur dia melihat ular
hitam berhampiran dengan mesin kelapa. Setelah dihalau ular tersebut menyorok
di belakang peti sejuk. Ayah dan adik akhirnya dapat membunuh ular hitam
tersebut. Mungkin pasangan ular waktu siang tadi. Cuma bezanya ular siang tadi
di tengkuknya ada warna putih.
Khamis malam 1
Jun 2006, biasanya 330 pagi dah bangun tapi malam ni tak terkejut. Lena tidurku
pada malam itu. Tepat jam 500 pagi saya tesentak dari mimpi. Ya Allah syukur
hambamu ini selamat. Saya bermimpi berada di suatu kawasan yang berumput hijau
subur terbentang luas. Tiba-tiba terasa ada sesuatu yang mencengkam kaki ini.
Rupanya seekor ular hitam membelit kaki kanan saya. Memang kuat dan bagaikan
tak mahu melepaskan kaki saya hendaknya.Ular senduk itu mengangkat kepalanya
bagaikan mahu mematuk saya. Muncul abang saya dan dia seolah memberi arahan
kepada saya untuk memijak kepala ular itu dan dia akan bertindak membunuhnya.
Akhirnya ular itu tewas dan dibunuh oleh abang saya. Seminggu sebelum itu, pada
suatu pagi telah aku bermimpi berada betul-betul di depan Kaabah di Tanah Suci
seorang diri. Berdiri di depan Kaabah dan hanya terus memandang dengan diam
seribu bahasa tanpa bergerak. Lantas diri ini terkejut dari tidur jam 5 pagi dan bersiap untuk menunaikan solat
sujud sejadah di pagi Subuh Jumaat yang penuh berkat. Apakah tandanya ? Itu
semua adalah ketentuan Tuhan. Mungkin akan datang suatu fadilat atau kebaikan
yang dikurniakanNya. Walau apa pun hambamu ini hanya berserah padaMu. Harus ada
rasa bersyukur di setiap kali ujian menjelma. Itu jelasnya membuktikan Allah
mengasihimu setiap masa. Diuji tahap keimanan, sedangkan ramai terbiar
dilalaikan. Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmatNya. Allah
amat rindu mendengarkan rintihanmu berpanjangan. Bersyukurlah dan tabahlah
menghadapi segala ujian diberiNya. Maka hendaklah kamu bersyukur selalu dan
berdoa sentiasa.
Entahlah mungkin
semuanya ujian Allah untuk menguji saya.
Pasti datang saat itu janji Tuhan pasti berlaku. Ingatlah bahawa ujian selalu
seiring dengan perjuangan. Oleh itu, ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar
dan istiqamah. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur tahap keimanan seseorang
itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan
dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja. Umat Islam akan diuji
dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya,
orang munafik yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya,
syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang
sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di
dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah. Lawan bagi sabar
adalah mengeluh dan merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana
mengeluh akan melemahkan semangat dan menerbitkan kecewa serta putus asa
sedangkan Allah berfirman yang bermaksud, “ Sesungguhnya tiap-tiap
kesukaran disertai kemudahan ”. ( Al-Insyirah : 6 ). Yang penting,
sering sematkan dalam hati, tanpa masalah atau ujian, tidak akan lahir
kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik
dalam menjamin kejayaan kehidupan.
Selesai solat Subuh
kumpulan kami bersiap menyediakan sarapan pagi. Pagi itu kami makan nasi putih
berlaukkan sardin. Kami telah dinasihatkan oleh En Yusuf agar mengisi perut
agar mempunyai tenaga dalam perjalanan pulang. 830 pagi semua berkumpul dan doa
dibaca oleh seorang pelajar agar perjalanan pulang kami dari destinasi
menziarahi puncak Gunung Tapis diiringi dengan perlindungan Allah segala bahaya
dan mendapat keberkatan. 855 pagi kami berehat dan berkumpul sejenak. Jam 900
pagi kami meneruskan perjalanan. Tepat jam 1000 pagi kami tiba di Base Camp 2.
Itupun setelah terbabas melakui trek perjalanan lama yang berlumpur. Habis
kasut kami terbenam di dalam tanah jerlus. 1030 pagi kami meneruskan lagi
perjalanan. 1140 pagi kami berehat sejenak di bawah rimbunan pokok buluh.
Matahari terik memancarkan sinarnya di atas kepala kami. Kehausan amat
terasa di anak tekak kami. Setelah
dikira jumlah ahli ekspedisi didapati 4 orang pelajar hilang. Mereka berada
jauh di hadapan kerana tiupan wisel kami tiada balasan. Terlampau pantas mereka
berjalan meninggalkan kumpulan di belakang. Semasa berehat dapat kami berpaling
ke belakang dan melihat puncak Gunung Tapis yang telah kami naiki semalam.
Bagaikan mimpi melihat ketinggian dari jauh puncak Gunung Tapis. Itukah gunung
yang telah kami naiki ? Apapun itu semua adalah kuasa Allah. Jam 1150 pagi kami
meneruskan perjalanan kerana bimbang 4 orang pelajar yang berada di hadapan.
Bahaya yang muncul kita tak tahu bila ia akan datang. Perlu sentiasa berwaspada
lagipun 4 orang pelajar tersebut masih mentah. Jam 1230 tengah hari kami
berhenti rehat sejenak setelah berjumpa dengan 4 orang pelajar tersebut yang
berhenti rehat. Setelah diberi nasihat kepada mereka dan didenda membawa beg
kawan mereka yang berat serta bertukar beg mereka yang ringan kami meneruskan
perjalanan.
Kami melintas
anak sungai. Jam 130 petang kami berhenti rehat di Sungai Besar dan menikmati
juadah tengah hari. Beberapa orang pelajar menangkap anak ikan kelah untuk
dipanggang dan dinikmati oleh kami. Manis rasa isi ikan tersebut kerana masih
segar ditangkap hidup dari sungai. Masing-masing sibuk untuk menyediakan juadah
tengah hari. Kami perlu pantas kerana lori sudah tersedia menunggu kami.
Jam 230 petang
kami meneruskan destinasi kami.Kelihatan lebihan makanan yang ditinggalkan di
dalam beg plastik. Saya kutip makanan yang masih dalam tin yang belum dibuka dan agihkan kepada para
pelajar agar membawanya pulang untuk
dinikmati setibanya di asrama nanti. Jika di lihat program realiti TV3 “ Rancangan
bersamamu ” mempunyai mesej kewangan yang sangat kuat kepada kita terutamanya
yang suka membazir sama ada disedari atau tidak. Jangan katakan orang tua, di
zaman ini anak-anak kecil secara halus dipupuk sikap membazir ini. Pembaziran
juga boleh mengakibatkan pembalasan semasa di dunia atau akhirat seperti kisah
ahli sufi dan seorang hartawan.
Tersebut kisah
seorang hartawan yang cuma memakan nasi yang ditanak dari sejenis beras wangi
yang amat mahal. Nasi atau beras basuhan yang tidak habis dibuang begitu
sahaja, tidak langsung diberikan kepada fakir miskin. Saluran pembuangan ialah
melalui longkang yang mengalir melalui pondok seorang ahli sufi. Setiap kali
bila ada peluang ahli sufi ini akan mengaut beras terbuang tadi, membasuh lalu
mengeringkannya. Kemudian dia akan memasak beras tadi menjadi kuih nasi kering
lalu disimpannya. Kuih tadi disimpan tidak dimakannya langsung, entah untuk apa
tidak diketahuinya jua.
Sudah 18 purnama
berlalu, si hartawan mengalami masalah kewangan perniagaan sehingga muflis.
Segala kekayaannya terkikis perlahan-lahan dan kawan-kawan rapat dahulu pula
segan menunjukkan muka. Terpaksalah dia meminta sedekah untuk menyara hidup.
Akibat terkejut dengan perubahan nasibnya, semangat untuk bekerja turut layu.
Suatu hari ketika meratapi nasibnya tanpa disedari dia lalu di hadapan pondok
kecil kediaman ahli sufi bekas jirannya. Oleh kerana terlalu lapar dia pun
menyeru meminta sesuap nasi. Ahli sufi masih mengenali jirannya yang dahulu
kaya-raya. Dia agak terkejut melihat keadaan hartawan yang miskin tetapi
cepat-cepat menyembunyikan perasaannya. Lantas dia masuk mengambil beberapa
ketul kuih nasi kering lalu menghulurkannya kepada si hartawan yang sedang
kelaparan. Dia memerhatikan sahaja hartawan tadi melahap kuih tersebut. “ Wangi
! Sedapnya ! Dari mana tuan hamba dapat kuih ni ? ” tanya hartawan dengan mulutnya
masih penuh makanan. Sambil menghulurkan secawan air, si sufi menjawab “ Dari
rumah tuan juga ”.
Si hartawan
terlopong sebentar, terhenti terus kunyahannya. Ahli sufi tadi tersenyum
mengisyaratkan supaya minum air lalu bersuara, “ Bukan curi tetapi saya ambil
yang tuang buangkan dahulu ”. Kemudian dia menerangkan lebih lanjut tentang
asal-usul kuih nasi wangi yang ditadah, dimasak dan disimpannya dengan cermat.
Berlinang air mata si hartawan mendengar penjelasan ahli sufi sehingga terpaksa
duduk di atas tanah mengenangkan sikap angkuh dan borosnya dulu. Si sufi pun
duduk memegang bahu si hartawan lalu memberi nasihat. “ Sekiranya tuan membuang
sesuatu yang berharga, Tuhan akan mengambil kembali sumber barang tersebut
kerana ia sudah tidak berguna kepada tuan. Sekarang memandangkan tuan telah
menyesal, ambillah kembali bahan buangan tuan dahulu dan binalah semula
kekayaan tuan”. Rupa-rupanya atas
firasat anugerah Tuhan, ahli sufi tadi setia menyimpan kuih-kuih yang berjaya
diselamatkannya dalam sebuah bilik kecil sehingga penuh sampai ke bumbung.
Akhir kisah, si
hartawan tadi berjaya menjual kuih beras wangi tadi dan hasil jualan dijadikan
modal untuk menghidupkan perniagaannya. Semangat lamanya cergas semula dan
tidak lama kemudian semua kekayaannya dulu berjaya di himpun kembali. Cuma kali
ini beliau cuma memakan beras biasa, memberi nasi beras wangi kepada fakir
miskin dan giat mendalami ilmu akhirat. Tentang ahli sufi tadi, entah ke mana
perginya tiada siapa yang tahu. Memang kebiasaannya menghilang diri mengabdi
kepada Tuhan, bebas dari keriuhan manusia yang mengejar pangkat dan wang.
Masyarakat sekeliling sudah lali dengan perangainya yang pergi dan datang tanpa
isyarat dan tanda. Tetapi kali ini mungkin dia tidak akan kembali, mungkin
tugasnya di tempat ini telah selesai. Mungkin ada masyarakat lain di kampung
lain memerlukan kehadirannya.
Setiba di
selekoh Base Camp 1 kami singgah untuk mengambil barang yang ditinggalkan.
Sepanjang perjalanan kami terpaksa berhujan. Hujan lebat yang turun bagaikan menangisi
kepulangan kami. Jika ada rezeki akan kami berkunjung lagi ke sini. Kalau hujan
macam ni maka pacat pun banyaklah. Kelihatan pacat bagaikan bermaharalela di
atas lumpur. Kadang-kadang ada antara kami yang tergelincir jatuh kerana tanah
lumpur yang licin. Kami pantas berjalan dan tanpa henti kerana jika berhenti
kami akan terasa penat dan malas untuk meneruskan perjalanan. Tambahan pula
hujan turun amat lebat. Sepanjang perjalanan kami menyusuri sungai yang deras
mengalir berliku.
Jam 415 petang
kami tiba di sungai Kliu yang akan kami rentasi sebelum menaiki lori. Kelihatan
mereka yang tiba awal membasahkan diri di dalam sungai. Saya tidak melepaskan
peluang ini untuk turut sama berendam di dalam sungai .2 buah lori sudah sedia
menanti kami tapi kami mengambil kesempatan kali terakhir untuk menikmati air
sungai sementara menunggu ketibaan En.Yusuf dan tuan pengetua En. Malik bin
karim. Jam 445 petang kelihatan dari kejauhan En.Yusuf dan tuan pengetua En. Malik
bin Karim tiba di pinggir sungai. Semua naik ke darat dan membersihkan diri
serta mengangkat semua beg masing-masing ke dalam lori yang sedia menanti.
450 petang kami
menaiki 2 buah lori yang telah setia menunggu dari jam 3 petang lagi.Sekali
lagi terasa seperti pendatang Indonesia yang akan di hantar menuju ke ladang kelapa
sawit untuk melakukan kerja memetik buah. Pengalaman yang indah yang tak boleh
diceritakan. Cuma mereka yang mengalami sahaja yang dapat merasainya.Gelak
ketawa dan saling ingat mengingat antara kami agar berhati-hati dengan dahan
pokok yang akan kami harungi sepanjang perjalanan menaiki lori.Cikgu Shahril
menyanyi dengan riang, Cikgu Azli dan Cikgu Salim dengan lagak orang asli yang
mencuit hati. Kegembiraan
adalah milik sesiapa sahaja dan boleh diraih di mana-mana sahaja ! Ada anak
raja yang hidup di dalam istana tetapi berduka cita dan ada anak desa yang
hidup di dalam teratak usang tetapi hidup mereka gembira dan boleh berkawan
serta bergembira bersama.
Tiba-tiba, ku
sangka panas akan berpanjangan rupanya hujan di dalam perjalanan. Awan hitam
pekat di kejauhan jelas kelihatan.Hujan dah turun dan akhirnya semua basah
kuyup kecuali kedua-dua pemandu,pengetua, guide yang di sayangi En Yusuf serta
Cikgu Azli dan Cikgu Salim.Bernas dan beruntung juga Cikgu Azli dan Cikgu salimkerana
berada di dalam Pocong askar milik Cikgu Salim di belakang lori.Sekali sekali
cikgu Hashim, Cikgu Syawal dan Cikgu Zaid bin Muda cuba membongkar pocong tapi
dapat diselamatkan oleh mereka berdua. Yang amat nyata cemburu yang membengkak
di jiwa ialah cikgu Azhar kerana basah kuyup tetapi member 2 orang di belakang
iaitu cikgu Azli dan cikgu Salim kering tanpa setitis air hujan. Lucu betul
telatah mereka . Muncul idea pelajar untuk mengeluarkan tikar untuk dijadikan
atap. Berebut masing-masing menarik tikar tersebut tapi sudah terlambat kerana
sudah basah kuyup.Tidak dapat diselamatkan lagi. Jam 510 petang kami melalui
chalet yang indah di seberang sungai. Satu hari kalau panjang umur akan kami
berkunjung ke sini.520 petang kami melihat muara Jeram Pelangi yang dikatakan
indah oleh tuan pengetua. Hati ini memberontak satu hari akan tiba masa dengan
izin Illahi akan saya jejaki walau sesaat jeram tersebut. 535 petang kami tiba
di persimpangan yang menuju ke Ladang Rusa Sungai Jin yang mana di situ juga wujud perkampungan orang asli.Oh, di sini
baru terasa sudah kembali ke pinggir bandar. Kenapa ? “ Dah nampak tiang
letrik, lega dah nak sampai rupanya ”, kata cikgu Basri. Maklumlah 4 hari tak
tengok lampu. Selama dalam hutan asyik tengok kunang-kunang aje.
Sepanjang
menaiki bas perjalanan pulang dari Sek.Men.Keb.Sungai Lembing ( SMKSL ) kami
diringi dengan lambaian pulang oleh para penduduk bandar Sungai Lembing.
Keramahan, keikhlasan dan kemesraan penduduk di sini akan kami semat di
sanubari hati kami agar jika panjang umur akan kami berkunjung lagi ke bandar
Sungai Lembing satu ketika nanti. Keindahan semulajadi yang wujud di Sg.
Lembing akan meninggalkan memori indah yang mengusik kalbu hati untuk kami
tinggalkan.Sepanjang di dalam bas walaupun kepenatan yang mengiringi kepulangan
tapi mata ini tidak mahu tertutup.Entah bila lagi akan saya nikmati keindahan
Illahi yang masih asli dan tulus suci di Gunung Tapis. Masih terbayang Taman
Bonsai 2 yang amat indah di puncak Gunung Tapis. Selama ini hanya terdengar di
halwa telinga ini “ Indah seperti berada di kayangan”. Benarlah
kata-kata itu, keindahan Taman Bonsai 2 membuktikan bahawa indahnya berada di
kayangan. Tapi keindahan syurga yang hakiki adalah lebih dari itu.Apa yang saya
lihat di dunia ini mungkin hanya secebis sahaja keindahan syurga.Ya Allah,
berikanlah hambamu ini kekuatan untuk menuju ke syurgamu yang hakiki dengan semangat
yang engkau kurniakan untuk diriku terus tabah dalam menghadapi pancaroba
kehidupan ini duniamu yang amat merintih lesu dan banyak cabaran.
Benar kata
orang-orang yang terlebih dulu makan garam. Apabila kita dekat dan bergaul
dengan mereka yang lebih dewasa banyak ilmu baru yang dipelajari. Ilmu yang
amat bermakna dan akan kekal di memori ingatan serta sanubari saya dikutip di
sini. Apa yang penting ialah destinasi yang dilalui oleh saya dalam
perjalanan menuju ke matlamat yang utama iaitu puncak Gunung Tapis.
Begitulah kehidupan kita destinasi yang kita lalui dalam mengharungi perjalanan
hidup adalah pengajaran yang amat bermakna dan bernilai serta tidak terhitung
dan tak boleh dijual beli dalam menuju pengakhiran kehidupan kita yang sebenar.
Pengalaman silam mengajar kita erti hidup. Perjalanan waktu sering menghambat
kita. Semalam dan kelmarin telah berlalu meninggalkan sejarah dalam kehidupan.
Esok, lusa dan akan datang merupakan impian dan wawasan. Tetapi kehidupan
adalah dari saat ke saat, bukan hari semalam dan bukan hari esok.
Peringatan buat
diriku yang sering lupa. Adakah kita seorang Islam ?Pernahkah kita terfikir...
Hidup kita ini hanyalah sementara. Sampai masanya kita akan pergi menemui
Allah. Apakah bekalan dan persediaan kita menempuh hari kematian. Dalam kita
mengejar kejayaan dunia, kita sering lupa bahawa tujuan hidup kita yang
sebenar.. apakah pilihan kita? Beruntunglah orang-orang yang berebut-rebut
menagih ihsan dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya keredhaan Allah yang kita
cari. Dunia yang semakin tua ini sering dilanda masalah, bermula daripada
jerebu, kegawatan ekonomi, timbul pula gejala murtad, Fitnah, gempa bumi,
peperangan dan bermacam-macam lagi. Ini sebenarnya adalah ujian Allah kepada
kita. Adakah kita benar-benar menginsafinya. Semua ini juga adalah bala dan tanda
kemurkaan Allah. Adakah kita benar-benar seorang Islam? Maka, adakah kita fikir
bahawa kejayaan kita di Universiti dapat membawa kita ke Syurga? Adakah kita
fikir bahawa kejayaan kita adalah kerana usaha dan ikhtiar sendiri. Tidak
malukah kita mengaku diri kita hebat, bijak, rajin .Sebenarnya semua adalah
kurnia Allah. Segala kelebihan yang ada pada kita adalah datangnya dari Allah.
Apakah kita fikir Allah itu akan menyukai hambaNya yang tidak bersyukur.Adakah
kita yakin kita seorang Islam? Sedangkan Rabiatul Adawiyah tidak mahu melupakan
Allah walau sedetik sekalipun. Hassan Al-Basri pula menangis sampai berjujuran
airmata kerana menyesal melupai Allah dalam beberapa minit. Tetapi, mengapa
kita masih leka di buai perasaan. Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang
berzikir kepada Allah. Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berselawat
kepada Rasulullah. Siapa diri kita sebenarnya, Firaun? Tentu tidak. Jadi, siapa
kita sebenarnya, wahai manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina, apakah
kita yakin kita bertuhankan Allah? Maka, mengapa kita tidak mahu mengejar Dia. Mengapa
kita masih mendedahkan aurat? Mengapa kita masih tidak mahu menuntut ilmu
Syariat, Tariqat, Hakikat, dan Makrifat, Feqah dan Tasauf. Dapatkah kita
menghuraikan cabang-cabang ilmu tersebut. Tidak malukah kita kerana gagal
menghuraikannya, jauh dari mengamalkannya. Adakah kita harus mempersalahkan
puak-puak kristian yang berjaya memurtadkan ribuan umat Islam jika kita sendiri
gagal memperhebatkan pertahanan diri. Ketahuilah, sesungguhnya Iblis itu amat
suka kepada mereka yang tidak berilmu. Sedarilah bahawa, kejahilan boleh menyebabkan
dosa. Dosa,kita tidak takut dosa.
Berapa banyak
amalan kita yang boleh menghapuskan dosa seharian? Apakah kita begitu yakin
untuk menempuh akhirat ? Siapakah kita menjelang hari kematian ? Adakah kita
seorang Islam. Bersediakah kita berhadapan dengan malaikat maut. Apakah kita
merasakan diri kita terlalu mulia sehingga tidak ada daya untuk menjauhkan diri
dari perbuatan mungkar.Kita pergi kuliah, pergi kerja. Kita yakin kita telah
menutup aurat? Kita solat. Kita yakin solat kita tidak tercela? Kita makan.
Kita yakin rezeki yang kita jamah diredhai Allah? Kita minum. Kita yakin di
akhirat kelak kita akan dapat minum seperti yang kita minum sekarang? Kita
berpuasa. Kita tidak malu pada Allah kerana menarik balik nikmat kesihatan?
Siapa Kita ? Kita adalah manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina
dina. Betapa hinanya kita tapi, kita masih mampu tersenyum dan tertawa.
Bersedialah menempuh hari selepas kematian, bersedialah untuk menempuh
sakaratul maut. Burulah cinta Allah, sebelum Allah menutup pintu rahmatnya.
Sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang pasti. Siapa kita.
Kehidupan dan
pengalaman semasa berada di belantara yang menghijau pepohon merimbun dan
membiru seindah awan adalah satu pengalaman sukar diceritakan. Merdu dan
gemersiknya bunyi arus sungai dan kicauan unggas hutan menggamit jiwa dan
nurani insan yang berada di dalam belantara yang indah nian. Setenang mengalir
air sungai akan membentuk jiwa insan yang tenang dan damai dalam menghadapi
komuniti era globalisasi. Jiwa murni yang akan terdetik dan tercipta di dalam
menghayati keindahan Illahi akan
membentuk insan yang murni pengorbanan dalam mengharungi perit getir dan susah
payah membina kehidupan di dalam komuniti yang bercabang dan bersimpang siur
arah tujunya. Kedamaian yang wujud di belantara akan dirasai dan dinikmati
hanya oleh mereka yang kenal erti cinta Illahi yang hakiki.
Semasa berada di
belantara seseorang insan akan diuji dengan pelbagai masalah untuk menguji
ketahanan fizikal dan mental mereka. Ujian tersebut hanyalah secebis ujian yang
kecil tak setanding ujian Illahi untuk hambanya dalam meniti kehidupan.Lebih
besar kesulitan yang akan dialami maka lebih besarlah kejayaan yan akan
dicapai. Sebesar mana masalah, ia akan menjadi sejarah juga akhirnya dan
dijadikan iktibar. Setiap masalah ada jalan keluarnya. Hidup ini bukan berenang
di lautan madu. Ia sukar dan memang banyak masalah. Ada pepatah menyatakan
bahawa angin yang tajam membentuk jurang yang dalam. Sementara peraturan yang
tajam membentuk manusia yang hebat. Dalam dunia ini ada dua jenis manusia. Yang
pertama orang yang tidak mudah putus asa, mereka jatuh tetapi berani bangun
semula. Sementara yang kedua menganggap dirinya bodoh atau lemah kerana
lahiriahnya yang miskin atau tidak pandai. Orang yang pertama akan menganggap
dunia penuh dengan cabaran. Nak tak nak kena hadapi tak boleh lari. Sementara
yang kedua menganggap dunia berhutang dengannya. Masalah mestilah dihadapi
dengan berani.Barulah kita akan menuju kepada kejayaan yang diredhai Allah.
Kita semua ingin
melakar kejayaan, maka semua pihak mestilah bersungguh-sungguh, tidak mudah
berputus asa, sanggup menerima apa jua cabaran dan pendirian tiada halangan
hanyalah peluang. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan
dapat sagunya. Selepas puas berusaha, semua pihak mestilah memohon doa agar
Allah S.W.T memperkenankan impian kita supaya menjadi realiti. Ingatlah bahawa
tiada daya dan upaya bagi diri kita melainkan dengan pertolongan Allah S.W.T
jua yang maha kuasa.
|
Akhirnya kami menawan puncak Gunung Tapis |
Akhirnya kata,
sebagai pengikat bicara dalam meniti era globalisasi yang penuh pancaroba ini.
Daripada Suhaib ibni Sinan r.a. katanya : Keadaan seorang mukmin adalah
mengagumkan, sekalian pekerjaannya adalah merupakan kebaikan untuknya.
Kelebihan tersebut hanya untuk mereka bukan orang lain. Sekiranya dia
memperoleh kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu adalah kebaikan
untuknya dan sekiranya dia ditimpa kesusahan atau bala bencana, dia tetap
bersabar, maka yang demikian itu juga adalah kebaikan ( dapat pahala ) untuknya.Dalam
hadis ini, Rasulullah s.a.w menegaskan rasa kagum ( hairannya ) terhadap setiap
mukmin. Segala urusannya adalah menguntungkannya. Sekiranya dia dikurniakan
nikmat kesenangan, dia bersyukur dan tidak menderhakai Tuhannya dengan nikmat
pengurniaan tersebut, malah digunakan nikmat itu kepada jalan yang diredhai.
Dan sekiranya ditimpa bala bencana atau kesusahan hidup, dia tetap menerimanya
dengan sabar, maka untuknya juga pahala ganjaran yang berlipat ganda. Demikian
keadaan mereka yang faham dalam agama dan arif dengan Tuhannya.
|
Bergambar di puncak gunung Tapis Sungai Lembing Pahang |