Pages

Friday 29 April 2016

KEINDAHAN GUNUNG TAPIS DALAM MEMORI

KEINDAHAN GUNUNG TAPIS DALAM MEMORI

Cuti persekolahan tiba lagi dan selama dua minggu hari yang perlu diisi. Belum lagi terfikir atau termimpi di sanubari ini apa yang akan dilakukan oleh insan kerdil ini selama dua minggu bersamaan 14 hari.Tiada hari yang terlalu panjang bagi mereka  yang suka berfikir. Namun ketentuan adalah daripada Illahi, hambamu ini serahkan segalanya kepadaMu untuk hambamu mengisi waktu-waktu tersebut. Moga kurniaanMu yang terbaik kepada hambamu kerdil ini yang sentiasa pasrah dengan keredhaanMu. Saat yang paling berharga di dalam kehidupan seseorang ialah sewaktu individu tersebut dapat melakukan sesuatu yang sampai bila-bila pun dapat dimanfaatkan di dalam kehidupan sehariannya. Tetapi sebaliknya jika saat itu menusuk kalbu dan merupakan kekecewaan, kegagalan, kerugian dan penderitaan. Pada saat ini, penyesalan sudah tidak berguna lagi. Sebagai individu saya tidak harus leka dengan perkara-perkara negatif lagi merosakkan kerana masa adalah kehidupan. Allah melarang manusia menghina masa yang diciptakan melalui peredaran malam dan siang. Saya hanya mengharapkan nikmat masa dalam kehidupan sebagai satu peluang dan ruang untuk kembali kepada fitrah kejadian manusia iaitu kehidupan yang kekal abadi pada kemudian hari nanti.
Waktu adalah milik manusia yang paling berharga. Oleh itu, pergunakanlah waktu sebaik mungkin, kerana waktu apabila telah berlalu tidak akan dapat kembali lagi. Berbeza dengan sesuatu benda yang telah hilang, masih mungkin dapat ditemukan kembali. Manusia yang berakal, menghadapi waktunya bagaikan orang yang kikir menghadapi harta bendanya yang mahal. Ia tidak akan mensia-siakan sekejap pun terhadap sesuatu yang sedikit, apalagi yang banyak. Ia selalu menghitungkan setiap wang yang keluar harus mendapat imbuhan yang wajar. Ia juga selalu berusaha untuk menempatkan sesuatu pada tempatnya yang layak. Begitulah orang yang mempergunakan wang dan demikian pula seharusnya kita mempergunakan waktu.
Setiap manusia terutamanya muslim dan muslimah mengimpikan kehidupan yang baik, tenang, nyaman dan jauh daripada segala keburukan. Namun untuk beroleh semua kebaikan itu, kita tidak boleh duduk diam sahaja. Sebaliknya harus berusaha memanfaatkan masa dengan perkara yang baik, bercakap benda yang baik dan melakukan yang elok-elok sahaja. Maka ganjarannya tentulah baik juga. Apabila seseorang menyedari dirinya dan ia mahu melepaskan pandangan ke masa lampau, maka akan menjadi jelas baginya, bahawa pada saat ia memulai perjalanan dalam hidup ini, ia melalui perjalanan hari, bulan dan tahun yang terus menerus berjalan sambung menyambung, ia tidak akan berfikir panjang, kerana ia melihatnya hanya sebagai permulaan yang tidak jelas, terasa seolah-olah baginya hari yang sangat panjang penuh dengan pelbagai peristiwa yang berkaitan dengan yang lain hingga pada titik akhir. Orang yang lalai terhadap hari esok, Islam menganggap mereka sebagai orang yang tenggelam dalam hari ini, yang mudah tergoda oleh kesenangan dunia yang fana dan mereka sebagai orang yang bodoh dan rugi.
Selama seminggu cuti persekolahan sebelum ini diisi dengan perkara yang bermanafaat. Pada mulanya 25 hingga 27 Mei 2006 saya menghadiri kursus amali dan teori St. John Ambulans Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu di Kompleks Rakan Muda . Aktiviti ini berlangsung dengan jayanya dengan bantuan daripada pihak Hospital Daerah terutamanya Din bin Tarmizi sebagai penasihat St. John Ambulans Daerah . Pelbagai telatah pelajar yang mencuit hati mengusik kalbu ini sepanjang program ini berlangsung.Terasa amat tenang dan damai berada di sini. Persekitaran yang menghijau mengamit kalbu kepada insan yang dahagakan kedamaian dan ketenangan. Syukur pada Allah yang memberikan nikmat kedamaian ini. Ketenangan tanpa gangguan barulah ada ‘kenikmatannya’. Nilai kedamaian hanya diketahui oleh orang yang pernah ditimpa bencana atau ujian oleh Allah dalam hidupnya. Walaupun masih dalam cuti persekolahan namun saya perlu ikhlas untuk tugasan ini. Ikhlas dalam kerja bermakna dia tidak akan melaksanakan kerja yang diamanahkan itu sekadar melepaskan batuk di tangga atau bukan semata-mata kerana upah yang diterimanya setiap bulan. Bahkan dia menganggap kerjanya itu sebagai salah satu ibadah yang telah diwajibkan ke atasnya dan harus dilaksanakan dengan sempurna dan memuaskan.
Menjelang 29 Mei 2006 saya telah pulang ke kampung halaman di Lang Buana, Dungun bersama anak buah tersayang yang berumur 7 tahun. Anak buah sulung yang tersayang yang telah diberi nama oleh saya iaitu Nurul Irfani bt Mamat. Walaupun dia tidak sebijaksana maksud namanya tapi pekertinya baik seperti abahnya. Semoga suatu hari nanti dia akan membesar dengan sempurna dan mempunyai pekerti mulia untuk berbakti pada masyarakat. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang guru seperti mak saudaranya. Seronok katanya nak pandai macam mak saudaranya dan dapat tolong abahnya yang pemalu serta ibunya yang tegas suatu hari nanti. Setibanya di bandar Dungun kelihatan begitu pantas pembangunan di sekitar bandar Dungun. Adanya pelbagai kedai yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Kedai Mydin, Watson, Pustaka Seri Intan, Pizza Hut, Seven Eleven dan lain-lain lagi. Apalagi bersiap sedialah wahai semua warga penduduk daerah Dungun untuk melabur di kedai-kedai tersebut. Berbelanja tak salah tapi biarlah pada tempat dan perkara yang mendatangkan berfaedah.Selama 2 hari di kampung saya habiskan dengan bermesra dengan anak saudara. Puteh arnab saya yang telah lama tak dibelai manja, saya biarkan ia bebas di atas rumput menghijau di halaman rumah. Seronok Puteh kerana diberi kebebasan dan bagaikan mengerti sudah lama tak dibelai manja oleh saya. Itupun saya terpaksa tinggalkan Puteh di kampung. Kata mak kalau rindukan saya dapat tengok Puteh pun jadilah sebagai gantinya.Walaupun mak sebenarnya sibuk melayan angsanya yang diberi nama Cik Ah ( yang betina ) dan Cik Awang ( yang jantan ).Ayah hanya sibuk melayan perangai Mohd Irfan Aiman yang nakal tetapi pintar orangnya. Cucu sulung lelaki ayah yang amat disayangi. Boleh demam ayah jika lama berpisah dengan cucunya yang soeorang ini. Telatah Aiman mencuit hati kami sekeluarga dan petah berbicara bagaikan mengisi putaran kehidupan seharian kami.
Masa berlalu begitu pantas. 24 jam sehari yang berlalu bagaikan sekejap sahaja. Petang 31 Mei selepas solat Asar, sedar tak sedar saya terpaksa bersiap untuk pulang ke Taman Semaju di Kemaman. Kelihatan air muka ibu dan ayah yang terasa amat berat untuk melepaskan anaknya pergi. Sejak menjadi guru rasanya tumpuan lebih pada kerja dan jarang saya balik kampung tapi dalam seminggu pasti saya tak terlepas menelefon mereka. Jagalah hati kedua ibubapa, jangan sesekali menghampakan harapan mereka. Kesedihan nyata kelihatan, terutama ayah yang jarang menumpahkan air matanya. Tapi jelas kelihatan di kocak mata ayah pilu dan memang memegang erat tangan saya ketika saya mencium kedua tangannya. Beberapa minit ayah memegang erat tangan saya dengan penuh kasih sayang yang tak mampu saya balas dengan wang ringgit .Cuma sekali dulu aku lihat ayah betul-betul menitiskan air matanya kerana anaknya ini dengan mulanya mata merah dan akhirnya menjatuhkan manik-manik dari matanya.Mengapa ? Rasanya ayah pilu dengan nasib anaknya ini yang diuji dengan pelbagai ujian yang Allah kurniakan. Ayah beberapa kali menyoal untuk kepastian adakah saya sentiasa ingat pesanan dan azimatnya setiap kali ingin berpisah. “ Ayah, Ibu, anakmu ini tidak pernah lupa walau sedetik atau sesaat segala pesanan dan nasihatmu”. Mungkin segala ujian yang Allah kurniaan kepada hambamu ini adalah untuk menguji kekuatan dan paling penting ada hikmah yang berganda yang kita tak tahu di mana, bila, mengapa, kenapa dan bagaimana. Hanya Allah yang tahu kita sebagai hamba perlulah sentiasa redha pada takdir.Yang paling penting ujian Illahi sebenarnya menarik kita agar lebih hampir lagi padaNya. Kita sebagai manusia memang sentiasa lalai. Tanpa disedari mungkin kita sudah lari sedikit dari landasan keimanan dan ujian yang Allah beri adalah untuk menarik kembali saya pada landasan keimanan yang mustaqim dan terus kukuh berada di atas landasan yang betul menuju ke alam yang kekal abadi di akhirat nanti .Semoga saya lebih tabah tatkala menerima sebarang bentuk ujian yang telah ditakdirkan ke atas diri ini. Kita bakal kembali kepadaNya dan pastikan kita lulus dengan cemerlang dan diterima baik di sisiNya.
Tenggelam dalam masa lalu membunuh semangat dan motivasi untuk membina masa depan yang cemerlang. Tak perlu menjadi pembunuh kepada kekuatan dan potensi hebat diri sendiri. Semalam adalah kenangan, hari ini adalah kenyataan dan masa depan adalah impian yang sedang dibina. Tanpa hari ini siapalah kita untuk hari esok.Kenangan semalam biarkan berlalu, realiti hari ini mestilah ditempuhi. Semua takdir yang tertulis di Loh Mahfuz itu boleh dihapuskan oleh Allah jika Ia menghendaki ataupun Allah tetapkan saja sesuai dengan kehendakNya. Percayalah yang dapat mengubah takdir yang tertulis dalam loh Mahfuz itu adalah dengan cara berdoa pada Allah dan melakukan perbuatan  baik. “ Tiada yang boleh menolak takdir selain doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur kecuali perbuatan yang baik ” ( Riwayat Tarmizi ). Banyakkan usaha sebagai ikhtiar dan berdoa agar Allah s.w.t memberikan kurnia nikmatNya yang penuh keberkatan bukan nikmat yang akan menyesatkan dan melupakan kita terhadapNya. Jangan berputus asa atas rahmat Allah kerana orang yang berputus asa atas rahmatNya akan menerima kemurkaan Allah dan bakal memperoleh azab yang pedih.Yang penting dalam kehidupan ini adalah keberkatan hidup bukan kemewahan duniawi yang hanya bersifat sementara kemungkinan akan melalaikan dan melupakan kita pada yang Maha Esa.
1 Jun hingga 5 Jun 2006, bermulanya aktiviti riadah secara solo setiap pagi selepas solat Subuh dan Solat Asar di Pantai Teluk Mak Nik, Geliga di belakang INTAN. Berjalan kaki dan sekali sekala berjogging sejauh 6 km  di sepanjang pesisir pantai di gigi air selama 1 jam 15 minit pergi dan balik dari hujung bukit ke hujung bukit. Di sini sepanjang perjalanan di gigi pantai dirasakan melangkah terus dan terus dalam menghadapi kehidupan yang tidak diketahui kesudahannya. Apa yang saya harapkan kesudahan yang baik dalam kehidupan ini suatu hari nanti dan dalam menempuh kesudahan itu agar terus dekat kepada Allah walau di mana dan dengan siapa saya akan meneruskan kehidupan ini.
Seterusnya tanggal malam 2 Jun 2006, menikmati ayam dan ikan panggang di Paman Village Farm bersama teman-teman sambil menikmati keindahan semulajadi dusun buah-buahan yang mengandungi pokok manggis, rambutan, durian, langsat, jambu madu, limau barli dan pelbagai pokok buah-buahan yang lain. Menjelang bulan Ogos nanti musim buah-buahan, bolehlah saya berkunjung lagi dan menikmati buah-buahan tersebut. InsyaAllah akan saya penuhi hajat ini. Indah betul alam semulajadi di sekitar Paman Village Farm. Di belakangnya terdapat ladang getah, sawah padi dan anak sungai yang airnya mengalir tenang, setenang jiwa seorang insan apabila berada di sini. Maklumlah biasanya pada hari persekolahan waktu pagi berada di sekolah dan waktu petang berada di rumah sahaja. Kini cuti seminggu terisi dengan tanpa disedari ia berlalu dengan pantas. Teringat detik-detik bersama datuk tersayang di dusun suatu ketika dahulu. Tiba-tiba timbul pula rasa sayu dah sedih akan kehilangan insan tersayang iaitu datuk pada pagi Syawal yang syahdu tahun 2001. Masih tergambar malam raya kami adik beradik membakar sate sambil mendengar celoteh datuk yang sudah terbaring selama 2 tahun di atas katil. Masih terbayang di pagi raya saya dan adik memandikan arwah datuk dan mencuci lukanya sebelum Allah yang amat menyayanginya dengan nafas terakhir di depan mata jam 10:30 pagi. Pulangnya datuk ke alam baqa adalah dengan ketentuan Illahi yang tak boleh kita halang lagi. Apapun saya doakan moga roh datuk dan segala keturunan zuriat kami semua dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama mereka yang terpilih.
Namun diri ini tersedar dan tersentak seketika bahawa tujuan utama saya berada di Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu adalah untuk mendidik anak bangsa yang jauh terpencil 6 km dari kota metropolitan yang banyak pancaroba. Akan saya lemparkan jauh-jauh perasaan yang sentiasa rindukan kampung halaman. Terasa diri ini begitu kerdil berada di rantau orang yang jauh dari keluarga. Pelbagai persoalan muncul di benak fikiran, adakah selama hampir 4 tahun menjelang tanggal 17 Jun 2006 ini dapatkah saya menyesuaikan diri di Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu ini? Apakah bahasa percakapan saya jelas dan tak menyakiti hati orang lain ? Saya merasa amat gelisah dan khuatir dalam meniti kehidupan yang penuh dengan pancaroba. Ibuku dan ayahku yang sentiasa memahami diri anaknya ini. Walau anaknya diam sahaja seribu bahasa namun mereka tahu apa yang tersirat di fikiran dan sanubari anaknya ini. Akhirnya terlintas di fikiran, pesanan kedua orang tua yang disayangi “ Pandai-pandailah membawa diri di rantau orang, jangan sesekali menyakiti hati orang lain walau ada kala diri sendiri terluka  pedih kerana disakiti oleh orang lain” . InsyaAllah akan saya sematkan kalimah azimat tersebut di hati sanubari ini. Mungkin dalam derita ada bahagia dan dalam gembira mungkin terselit duka. Tak siapa tahu dan tak siapa pinta ujian bertamu. Bibir mudah mengucap sabar tapi hatilah yang remuk menderita. Insan memandang dan mempunyai berbagai tafsiran. Segala takdir haruslah diterimalah dengan hati yang terbuka walaupun terseksa ada hikmahnya.
Teringat diri ini, suatu cerita iaitu membina jambatan kemaafan. Ada dua adik-beradik yang hidup di sebuah desa. Entah kerana apa mereka terjerumus ke dalam suatu pertengkaran serius. Dan ini adalah pertama kali mereka bertengkar sedemikian hebat. Sebenarnya selama 40 tahun, mereka hidup aman damai bersama, saling pinjam meminjam peralatan pertanian dan bahu-membahu dalam usaha perdagangan tanpa sebarang masalah. Namun kerjasama yang akrab itu kini retak. Segala-galanya bermula hanya dengan salah faham kecil yang kemudiannya bertukar menjadi perbezaan pendapat yang besar. Dan akhirnya meledak dalam bentuk kata-mengata dan tuduh menuduh. Beberapa minggu sudah berlalu, mereka saling berdiam diri tidak bertegur sapa. Suatu pagi, seseorang mengetuk rumah si abang. Di depan pintu berdiri seorang lelaki membawa kotak yang berisi perkakasan tukang kayu.” Maaf tuan, sebenarnya saya sedang mencari pekerjaan,” kata lelaki itu dengan ramah. “Mungkin tuan berkenan untuk memberikan beberapa pekerjaan untuk saya selesaikan.” Kemudian si abang berkata, “ Oh, ada! Memang ada. Kau nampak ladang pertanian di seberang sungai sana. Itu adalah saudara aku........ Ah, sebenarnya dia adalah adikku. Minggu lalu, dia mengorek permatang dengan buldozer lalu mengalirkan airnya ke tengah padang rumput itu sehingga menjadi sungai yang memisahkan kami. Mungkin dia ingin mempersendaku, tapi aku akan membalasnya lebih setimpal. Di situ ada longgokan kayu. Aku ingin kau membina pagar setinggi 10 meter untukku sehingga aku tidak perlu lagi melihat rumahnya. Kalau boleh aku ingin dia terus hilang daripada memori ingatan aku. Kemudian lelaki itu menjawab,“Saya faham. Belikan saya paku dan peralatan, akan saya melakukan sesuatu yang akan membuat tuan berasa senang.” Lantas si abang pun pergi ke bandar untuk membeli keperluan tukang kayu tersebut. Setelah menyerahkan barang-barang itu kepada tukang kayu, si abang meninggalkannya bekerja sendirian. Sepanjang hari tukang kayu bekerja keras, mengukur, menggergaji dan memaku. Lewat senja, ketika si abang petani itu pulang, tukang kayu baru saja menyelesaikan pekerjaannya. Terkejut dia melihat hasil pekerjaan tukang kayu itu. Tidak wujud pagar kayu sebagaimana yang dimintanya. Namun wujud sebuah jambatan merentasi sungai yang menghubungkan ladang pertaniannya dengan ladang pertanian adiknya. Jambatan itu begitu indah dengan tangga bertingkat-tingkat yang disusun rapi. Dari seberang sana, terlihat si adik bergegas berjalan menaiki jambatan itu dengan kedua-dua tangannya terbuka lebar. “ Abangku, kau sungguh baik hati mahu membuatkan jambatan ini. Walaupun sikap dan kata-kataku menyakitkan hatimu. Maafkanlah aku, abang,” kata si adik kepada abangnya. Kedua-dua saudara itu pun bertemu di tengah-tengah jambatan, saling berjabat tangan dan berpelukan. Melihat itu, tukang kayu pun mengemaskan peralatan bertukangnya dan bersiap-siap untuk pergi. “ Jangan pergi dulu. Tinggallah beberapa hari lagi. Kami mempunyai banyak pekerjaan untukmu,” pinta si abang. “ Sesungguhnya saya ingin sekali tinggal di sini”, kata tukang kayu. “ Tetapi masih banyak jambatan lain yang harus saya selesaikan.”
Cerita tersebut saya jadikan suatu pengajaran untuk diri sendiri. Jika seseorang menyakiti hati kita walau sejahat manapun hendaklah kita balas dengan amat berhikmah. Tiada guna kita bertengkar tapi yang penting ialah kemaafan dari dalam diri kita pada seseorang. Walau sebenarnya mungkin wujud parut kesakitan di hati yang tidak akan hilang. Parut itu akan hilang apabila kita ikhlas dalam memberi kemaafan pada seseorang walaupun ia mengambil suatu tempoh masa yang panjang. Tidak perlu ambil sama ada kisah kejahatan itu dari saudara atau sahabat kita kerana yang penting ialah kemaafan yang penuh dengan keikhlasan. Sesungguhnya sahabat itu wujud dari satu pertemuan dengan 10 pertanyaan, 100 kenyakinan dan 1000 kali pengorbanan serta berjuta-juta kali perjuangan dengan satu keikhlasan atas keredhaan Allah. Andai seorang sahabat membuat kebaikan, ukirlah di atas batu agar ia tersemat di hati dan kekal sebagai memori terindah dan seandainya seorang sahabat membuat kesalahan tulislah ia di atas pasir agar ia hilang ditiup angin kemaafan satu hari nanti.
Selasa iaitu 6 Jun 2006 bersamaan tanggal 9 Jamadil Awal 1427 Hijrah. Hari ini merupakan hari pertama kami rombongan dari Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu untuk memulakan ekspedisi menziarah puncak Gunung Tapis. Memulakan sesuatu rintangan itu adalah hebat tetapi menyelesaikannya adalah lebih hebat. Tepat jam 10.30 pagi kami telah bertolak dari perkarangan Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu. Setelah diberi sedikit taklimat oleh Cikgu Salim. Pesanannya agar pandai-pandailah membawa diri sepanjang berada di tempat orang kerana tempat yang akan dituju mungkin didiami makhluk Allah yang lain, kita tak nampak tapi ia wujud. Di dunia yang nyata ini kita berkongsi segala yang ada di muka bumi ini dengan makhluk ciptaan Allah yang lain. Itu adalah ketentuan Allah sejak dari azali lagi. Tanpa disiplin yang tinggi seseorang itu terdedah kepada penyimpangan matlamat. Ekspedisi ini akan diketuai oleh tuan pengetua En. Malik bin Karim dan disertai oleh 7 guru lelaki, seorang guru wanita, 3 orang pelajar perempuan, 24 pelajar lelaki. Sepanjang perjalanan saya lena dibuai mimpi mungkin kepenatan lagipun jam 330 pagi dah bangun. Bas sekolah meneruskan perjalanan menuju ke destinasi dengan iringan doa dan restu untuk menziarahi puncak Gunung Tapis.
Ramai antara kita yang tidak mengetahui betapa luasnya bumi ciptaan Allah Yang Maha Kuasa ini. Bukan sahaja luas malahan tersimpan pelbagai ilmu pengetahuan sama ada kita sedar ataupun tidak. Semakin jauh kita berjalan semakin luas dan bertambah pengetahuan kita. Gunakanlah segala kesempatan yang ada untuk menilai diri. Pengembaraan ini bukan sahaja boleh mematangkan fikiran malahan mampu untuk menyedarkan diri betapa beruntungnya diri kita. Perjalanan untuk menuju ke puncak Gunung tapis adalah suatu pengalaman baru yang belum saya ketahui kesudahannya. Mungkinkah kejayaan atau kegagalan yang akan tercipta sepanjang perjalanan itu nanti ? Bagaimanapun saya akan terus berdoa kepada Allah agar memberikan kekuatan dan semangat untuk memasuki hutan belantara yang luas dalam perjalanan ke puncak Gunung Tapis.
Setibanya di Balok, Kuantan saya dikejutkan dari tidur yang penuh bererti dan selesa pemberian Illahi kerana bas berhenti sejenak untuk kami menikmati  makan tengah hari. Saya hanya berselera dengan ayam masak kicap dan sayur lemak taugeh. Mungkin kerana terlalu risau dengan ekspedisi yang akan ditempuhi. Apapun saya memanjatkan kesyukuran tidak terhingga kepada Allah yang mengurniakan nikmat makan dan rezeki halal untuk meneruskan kehidupan ini. Terfikir sejenak di minda ini. Mampukah diri ini untuk menghadapi dan mengharungi rintangan Gunung Tapis setinggi 4960 kaki ( 1512 meter ). Tidak ada yang mustahil bagi yang berani mencuba. Kesusahan dan keperitan hidup mengajar kita erti dewasa , memberi peluang untuk kita dekati pada Tuhan yang sering kita lupa, sesungguhnya nilai kegagalan lebih berharga dari kejayaan.
 Seterusnya bas menyambung perjalanan ke destinasi yang akan dituju. Saya menghabiskan buku yang belum habis dibaca bertajuk “ Mengenal diri anda ” sebuah buku yang diterjemah oleh Adibah Amin. Pelbagai pengajaran yang saya dapat daripada buku ini. Jika kita telah memilih sesuatu kerjaya yang mungkin pada mulanya kita tidak jatuh cinta kita perlu berusaha untuk memupuk kasih, cinta dan sayang kepada kerjaya yang kita hadapi. Saya telah memilih kerjaya perguruan yang mana tidak pernah tersenarai di dalam cita-cita saya sebelum ini. Sebenarnya cita-cita utama saya adalah untuk menjadi seorang doktor sakit puan untuk berbakti pada mereka yang sakit.Namun saya masih kini terfikir ada benar ketentuan daripada Allah, saya juga kini telah menjadi doktor.Merawat para pelajar di dalam pengajaran dan pembelajaran. Bilakah saya mula jatuh cinta dengan kerjaya perguruan? Semuanya bermula di sebuah tempat yang diberi nama Felda Tenggaroh Mersing, Johor. Semasa itu saya sedang menjalani praktikum semasa Kursus Perguruan Lepasan Ijazah ( KPLI ) Maktab Perguruan Batu Rakit Kuala Terengganu selama 4 bulan di Sek. Men. Kebangsaan Tenggaroh B, Johor, pengetuanya bernama Yasiran bin Maskom. Bagaimanakah munculnya naluri seorang guru? Mungkin keindahan alam semulajadi yang wujud di Felda Tenggaroh telah menyebabkan wujudnya naluri keguruan yang muncul secara ikhlas tanpa paksaan. Jiwa saya adalah jiwa yang cintakan persekitaran yang semulajadi. Pernah terdetik di hati saya ini inginkan Allah kurniakan sebuah rumah di persekitaran yang menghijau sehijau pokok-pokok dan dedaun atau membiru sebiru air laut yang berombak tenang, semua keinginan ini telah saya azamkan semasa kecil dahulu. Teringat semasa saya kecil, kalau hati ini pilu atau resah, tempat yang biasa dikunjungi sendirian dengan mengayuh basikal dengan keizinan ibu ayah ialah Pantai Teluk Lipat, Dungun atau Pantai Teluk Gadong, Dungun. Di situlah saya menenangkan jiwa sendirian disebalik kebiruan air laut dan desiran ombak serta kehijauan pokok-pokok di pesisir pantai di samping melihat para nelayan pulang membawa hasil tangkapan.
Muncul semangat keguruan di hati nurani ini juga akibat terusik dengan semangat warga felda yang kukuh semangat rewang ( gotong-royong ) mereka dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Setiap kali aktiviti sekolah yang dijalankan sentiasa diiringi oleh penduduk yang terdiri daripada penjaga para pelajar. Semasa kejohanan olahraga peringkat sekolah, penjaga turut serta hadir memberikan sokongan kepada anak mereka sendiri dan anak jiran jika anak mereka sudah tewas di awal pertandingan. Paling tidak aku lupa seorang pelajar lelaki kelas  4 Tarmizi yang dikatakan amat degil oleh semua guru. Dia selalu tidak menyiapkan kerja sekolah yang diberikan dan kertas jawapan peperiksaan yang ditinggalkan kosong tanpa jawapan. Saya sentiasa cuba untuk  berada di sebelahnya semasa di dalam kelas persis seorang ibu yang mengajar anak. Akhirnya saya tahu yang dia sebenarnya ada masalah keluarga dan memerlukan kasih sayang seseorang. Saya luahkan kasih sayang seorang guru sebagai tempat untuk dirinya mengadu masalah dan kegembiraan. Selepas itu, dia sentiasa menyiapkan kerja sekolah yang diberikan. Hati mana yang tidak gembira apabila benih yang ditanam mula tubuh berbuah. Saya rasa, cukuplah anak didik ini menjadi daun atau rumput di laman jika mereka tidak boleh menjadi bunga yang menghiasi taman. Atau memadai menjadi bintang antara bintang berjuta, jika mereka tidak boleh menjadi rembulan. Memori yang paling seronok di Felda Tenggaroh ialah semasa kami membuat bubur lambuk. Ada 2 jenis bubur lambuk dimasak dengan penuh kasih sayang oleh kami dengan semangat gotong royong antara penduduk kampung dan para guru di perkarangan sekolah, satu edisi Kelantan Terengganu dan satu lagi edisi Johor. Meriah sungguh dari aktiviti mengupas bawang, mengacau kuali dan pengagihan kepada pelajar. Tidak wujud secubit rasa kepenatan kerana kata pepatah “ Ke gunung sama kita daki dan ke lurah sama kita turuni ”.Tanpa disedari,saat perpisahan menjelma, khidmat saya di sini mungkin setakat ini dan jika panjang umur jumpa lagi.Sebak di dada tidak dapat ditahan ketika mengucapkan perpisahan untuk murid yang kian dekat di hati. Air mata membasahi pipi ketika mereka memeluk dan mencium tangan. Lucu dan terharu juga apabila sekolah yang terpinggir di pedalaman itu bergema dengan tangisan murid yang enggan melepaskan saya pergi. Pelbagai kenangan pahit manis tergamit dalam memori sepanjang berada di sana. Jika teringat memori di sana maka album gambarlah yang menjadi penawarnya.
Tiba-tiba bas sekolah berhenti seketika di depan Sek. Kebangsaan Panching untuk mengambil Cikgu Basri. Bas meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dikunjungi. Tepat jam 130 petang kami tiba di bandar Sungai Lembing. Sepanjang ketibaan kami didapati banyak bangunan kedai dan rumah yang ditinggalkan kosong tanpa penghuni. Menurut kata cikgu Malik bin Karim iaitu pengetua yang kami sanjungi , ramai penduduk generasi baru di Sungai Lembing telah berhijrah ke luar dari bandar ini kerana lombong sudah tidak beroperasi lagi. Hanya pekerjaan melombong bijih merupakan pekerjaan utama yang menjadi nadi kehidupan bagi penduduk-penduduk di sini sebelum ini. Kini generasi yang menghuni Sungai Lembing adalah warga emas yang sudah sebati dengan kehidupan semulajadi sini. Generasi baru ramai telah berhijrah ke tempat lain untuk mencari rezeki dan hanya sekali sekala pulang untuk menziarahi ibubapa di sini. Apabila kaki saya ini melangkah turun dari bas sekolah, destinasi yang pertama kaki kami jejaki ialah Muzium Sungai Lembing. Pelbagai alatan melombong dipamerkan di dalam muzium tersebut. Kami solat di surau Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Lembing ( SMKSL ) yang terletak tidak jauh daripada  Muzium Sungai Lembing. Beg-beg kami diturunkan dari bas dan diletakkan di kantin sekolah. Rupa-rupanya di sekolah inilah suatu ketika dahulu pernah Cikgu Malik bin Karim telah mencurahkan bakti selama 16 tahun pada sekitar tahun 80-an. Sepanjang saya, pengetua dan para pelajar perempuan berjalan kaki ke SMKSL kami berjumpa dengan imam dan beberapa penduduk bandar Sungai Lembing yang nampaknya begitu mesra dengan Cikgu Malik bin Karim. Mana taknya jumpa aje terus berpeluk macam tak nak lepas dah. Itulah kemesraan desa. Orang yang menyisihkan diri daripada pergaulan tidak akan mencapai kemajuan, pergaulan itu mencerdaskan dan menajamkan ingatan. Manusia adalah sejenis makhluk yang terdiri dari dua tubuh iaitu jasmani dan rohani. Tubuh jasmani terdiri dari gabungan anggota-anggota badaniah yang wujud secara nyata.Tubuh rohani adalah elemen-elemen dalaman dan kejiwaan yang tidak wujud secara nyata ( elemen ghaib ) yang dipanggil qalbu. Kedua-dua tubuh tersebut ( jasmani dan rohani ) mempunyai rasa atau sensitiviti atau rasi. Kedua-dua tubuh berinteraksi dengan alam dan segala isinya. Apabila seorang manusia berinteraksi dengan manusia lain kesemua elemen tubuh jasmani dan rohani bertindak balas. Hasil tindak balas itulah yang akan memaklumkan kepada otak untuk memutuskan tindakan yang seterusnya. Jika maklumat yang diberikan adalah positif, minda akan memutuskan agar tubuh ( jasmani dan rohani ) menyenangi orang tersebut dan interaksi akan berulang dan berpanjangan lalu membentuk keserasian.
      Sungai Lembing merupakan sebuah bandar yang penuh dengan sejarahnya. Perintis pembukaan lombong bijih di Sungai Lembing mula-mula tercetus pada bulan Februari, 1888 semasa Sir Cecil Smith menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat yang merundingkan hal-hal keselamatan di Negeri Pahang dengan Almarhum Sultan Ahmad Muadzam Shah. Syarikat yang pertama yang ditubuhkan untuk menjalankan perusahaan lombong ini bernama “ The Pahang Corporation ” yang mencatitkan Mesyuarat Tahunan yang pertama pada 30 Jun 1892. Syarikat “The Pahang Consolidated Company Limited” mengambil alih hak melombong pada 6hb Julai 1906 yang diberi konsesi tanah seluas 2500 batu persegi dengan bayaran “ royalti ” sebanyak 10 peratus daripada hasil pengeluaran bijih. Tempoh pajak diberikan selama 80 tahun mulai 1 September 1888.
Sebelum daripada Syarikat kepunyaan British masuk ke Sungai Lembing, perusahaan melombong telah dikerjakan oleh orang-orang Melayu dan Cina selama hampir 100 tahun dengan cara perlombongan terbuka menggunakan pam dan ekspelosif. Peristiwa-peristiwa yang telah menghalang kerja-kerja perlombongan di sini ialah Perang Dunia Yang Pertama pada tahun 1916-1918, kebakaran besar pada tahun 1912 dan banjir besar pada tahun 1926, tahun-tahun 1930-1933 adalah tahun kemelesetan seluruh dunia dan harga bijih turut terjejas. Disember 1941 hingga September, 1945 lombong ditutup kerana Perang Dunia Kedua dan Pendudukan Tentera di Malaya.
 Setelah Jepun menyerah kalah dalam bulan Ogos, 1945 lombong ini mulai diusahakan semula mulai pada awal tahun 1946. Kerja utamanya ialah pemulihan dengan operasi mengeringkan air yang sudah menenggelamkan semua kolon dan terowong melombong. Pam-pam air dengan 450 b.h.p diciptakan untuk mengeluarkan air 750 gelen satu minit dan operasi ini selesai pada 29hb Disember 1949. Sejumlah 7,720,000 tan air telah dikeluarkan. Tahun-tahun 1948-1952 keadaan darurat menyelubungi seluruh Tanah Melayu dan menyebabkan tergendala segala kerja perkembangan dan pembangunan lombong-lombong kecil di dalam kawasan sekitar.
1 Julai 1966 syarat-syarat konsesi lombong diperbaharui dengan tempoh pajak selama 21 tahun dengan pengecualian cukai eksport sehingga 30hb September 1968 dan potongan istimewa sebanyak $20 satu pikul sehingga 30hb September 1973. Inilah sejarah 60 tahun pertama bagi Syarikat Perlombongan “The Pahang Consolidated Company Limited ”. Dalam tahun 1982, pendaftaran syarikat “The Pahang Consolidated Company Limited ” dipindahkan daripada London ke Malaysia dengan namanya ditukarkan kepada “ The Pahang Investment Public Ltd. Company”, Syarikat ini beroperasi sehingga November 1986.
Daripada 1hb September 1881 hingga kini, banyak kejayaan yang tercapai. Yang pertama, lebih 400 batu jauh kawasan kerja lombong di bawah tanah telah diteroka, jalan-jalan raya, jalan keretapi, rumah, hospital jeti dan sekolah-sekolah telah terbina. Yang kedua, sebuah bandar Sungai Lembing telah dilahirkan dengan faedah-faedah yang dapat dinikmati oleh penghuni-penghuninya termasuklah hasil kepada Perbendaharaan Negeri Pahang Darul Makmur. Bagi membuat pandangan yang jauh, dengan keadaan pergolakan dunia masa ini beserta dengan pembangunan sains dan teknologi yang pesat sukarlah hendak meramalkan masa hadapan perusahaan lombong seperti ini. Tetapi dengan diberi peluang dan simpati oleh pihak yang berkenaan, perlombongan Sungai Lembing akan dapat mencapai kejayaan-kejayaan.
250 petang kami mula mengisi segala beg dan khemah ke dalam lori. Saya terkejut melihat rupa lori yang akan kami naiki. Hanya lori biasa tidak seperti yang disangka iaitu landrover. Akhirnya saya akur itulah pengangkutan yang akan membawa kami ke pinggir hutan sebelum kami meneruskan destinasi dengan berjalan kaki. En. Suhaimi selaku pemandu bas sekolah mengusik kami, “Bas tak balik lagi sesiapa nak pulang semula ke Sek. Men. Keb. Salam, Terengganu amat dialu-alukan ”. Sebenarnya ayat itu ditujukan kepada saya kerana mengeluh dengan rupa lori yang akan kami naiki. Jangan mengeluh dengan apa yang kita hadapi kerana ada hikmah yang tersirat. Apapun saya istiqamah untuk menziarahi puncak Gunung Tapis. Istiqamah bermaksud tetap teguh dan terus mempertahankan pendirian yang asal, tidak berganjak dan juga tidak mundur ke belakang biar selangkah jua pun. Walau apa pun yang terjadi dan kemungkinan yang bakal dihadapi, pendirian tetap dipertahankan walaupun nyawa dan jasad akan menjadi bahan pertaruhan.
Yang nyata, iman merupakan penggerak utama dalam kehidupan individu muslim. Jika iman yang bertapak di sudut jiwanya kukuh dan mantap, maka dia adalah seorang yang benar-benar beristiqamah dalam kehidupannya. Sebaliknya, jika imannya nipis, maka dia mudah terpedaya oleh godaan dan pesona dunia yang menghimpit hidupnya. Akhirnya dia tidak memiliki pendirian yang tetap dan akan jatuh tersungkur daripada landasan yang lurus. Beristiqamahlah, agar segala apa yang dicita-citakan akan menemui matlamatnya.Akhirnya, saya beristiqamah agar dapat menemui matlamat menziarahi puncak Gunung Tapis.
Tepat jam 300 petang, 2 buah lori mula bergerak untuk menghantar kami semua ke pinggir hutan berdekatan anak sungai pertama yang akan kami cecahkan kaki di kocak airnya yang arus mengalir deras. Kami akan dipandu arah oleh En. Yusuf iaitu pembantu makmal Sek. Men. Keb. Sungai Lembing. Beliau ialah sahabat En. Malik bin Karim semasa mengajar di sini suatu ketika dahulu. Jam 315 petang, perjalanan kami tergendala kerana dihalang oleh sebuah kereta milik orang asli yang tersangkut di lopak air. Semua turun dari lori dan menikmati sejenak keindahan alam semulajadi dan tak sabar kaki ini untuk menjejak bumi yang berlumpur. Sambil itu, lori pertama kami menarik keluar kereta tersebut dari lopak tersebut. Kami sempat bergambar situasi ketika menolong kereta tersebut keluar daripada lopak air tersebut. Selepas itu, lori kami meneruskan perjalanan ke destinasi yang ingin dituju. Sepanjang perjalanan kami menikmati keindahan semulajadi ciptaan Allah yang indah. Banyak pokok-pokok buluh sepanjang perjalanan. Kawasan ini didiami gajah-gajah kerana pokok buluh adalah makanan ruji baginya. Tiba-tiba cikgu Zaid bin Muda menjerit kesakitan. Jarinya tercucuk duri semasa perjalanan. Cikgu Salim segera mengeluarkan first aid untuk mencuci dan membalut luka tersebut. Kami dinasihatkan berhati-hati agar tidak meletakkan tangan di tepi lori dan menunduk kepala. Malang tidak berbau kita tak tahu siapa mangsa seterusnya.
Tepat jam 415 petang, kami tiba di sungai pertama yang akan kami lalui. Semua turun dari lori dan masing-masing mula menjalankan tanggungjawab masing-masing bersiap sedia menggalas beg. Bermulalah langkah pertama kami berjalan kaki untuk merentasi anak sungai yang deras arusnya dan kami perlu berhati-hati. Kami berjalan merentasi anak sungai dengan jarak yang dekat agar jika tergelincir mudah kami membantu antara satu sama lain. Kami amat berhati-hati kerana sungai itu mengandungi batu-batu yang licin yang boleh mengundang risiko bila-bila masa. Perasaan lega yang tidak terkira apabila kami semua selamat tiba di daratan. Cikgu Malik bin Karim mengagihkan wisel kepada para pelajar dan guru untuk digunakan sebagai semasa kecemasan di dalam hutan yang akan kami masuk. En Yusuf memberikan penerangan serba sedikit sebelum kami mula melangkah masuk ke hutan. Pelbagai nasihat dan teknik untuk meminta pertolongan jika di dalam kecemasan diperjelaskan satu persatu kepada kami.  Kami meneruskan perjalanan menuju ke Base Camp 1 yang terletak di Kuala Kliu. Jam 445 petang kami berehat seketika di Sungai Kliu yang banyak terdapat batu batan. Indah sungguh batu sungai di sini. Terdetik untuk mengambil batu-batu tersebut untuk dibawa pulang. Tak tergamak rasanya untuk mengambil batu yang semulajadi di sini. Biarlah ia kekal di tempatnya dan keindahannya kekal di memori ingatan saya. Kami meneruskan perjalanan yang sudah tidak berapa jauh. “Tak jauh lagi sebatang rokok aje”. Jam 530 petang kami sekali berehat di gigi anak sungai. Sejenak saya terkenang ibu dan ayah di kampung halaman. Terima kasih kepada mereka kerana memberikan saya kebenaran untuk menziarahi puncak Gunung Tapis. Amanah mereka untuk saya menjaga diri  sepanjang perjalanan akan saya sematkan di dalam dada agar perjalanan yang direstui ini akan selamat pergi dan pulang. Suka dan duka dalam perjalanan ini yang akan ditempuhi masih panjang dan perlu kekuatan mental dan fizikal.
Akhirnya jam 6 petang kami tiba di Base Camp 1 yang terletak di Kuala Kliu. Lantas semua bergerak pantas mendirikan khemah sebelum hari gelap menjelang malam. Setelah khemah siap didirikan, setiap kumpulan bergegas menyediakan makan malam. Malam ni kumpulan kami makan nasi berlaukkan tumis telus rebus. Mudah, sedap dan enak di makan. Syukur pada Allah,  ini rezeki kumpulan kami pada malam ini. Sekali sekala kelihatan kunang-kunang terbang mengisi kegelapan malam sambil diiringi cahaya bulan.Sejenak saya terfikir sendirian dalam kesepian malam. Kebahagiaan seseorang boleh dirasai di mana-mana sahaja. Kebahagiaan bukan boleh diukur dengan kemewahan, ia perlu dipupuk dan disemai selalu agar sentiasa subur membara dan stabil. Jadi pendekatan untuk melaksanakan kebahagiaan agar ia tidak kering layu perlu ada dalam diri individu dan pasangan itu dan adalah sungguh malang, jika usia yang singkat ini kita isikan dengan hal-hal yang tidak membahagiakan. Apakah kita yakin kita akan bahagia nanti di akhirat ? Sedangkan kita masih lagi bermain-main dengan sifat-sifat buruk semasa kita hidup di dunia.
Jam 930 malam, semua diarahkan berkumpul untuk sesi taklimat. Kami muhasabah diri perjalanan yang dilalui sepanjang siang hari tadi. Taklimat oleh Cikgu Salim dan tuan pengetua serta nasihat daripada En. Yusuf mengenai hari esok perjalanan yang lebih mencabar akan kami tempuhi.Yang paling mencabar ialah kami bakal mendaki bukit Taubat. Kami semua dinasihat untuk membahagi kumpulan untuk berjaga malam mengikut masa yang telah ditetapkan bermula jam 12 malam hingga jam 530pagi dan berehat secukupnya untuk perjalanan hari esok. Paling penting En. Yusuf telah nasihatkan kami agar jangan buka restoran kerana masih  tinggal 3 hari perjalanan untuk bekalan makanan yang kami bawa. Lupa pula kami dalam hutan ni mana ada kedai untuk membeli belah. Kalau stok makanan habis terpaksalah kami berusaha untuk mencari makanan sendiri. Itupun kalau bernasib baik.
Malam pertama di hutan saya tidur-tidur ayam. Sekali-sekala terasa tenang jiwa mendengar desir arus sungai. Merdu dan indah gemersik bunyi arus sungai tak dapat diluahkan hanya yang mengalaminya sahaja akan memahami. Setenang air di sungai, tenang lagi jiwa yang murni kurniaan Illahi pada insan terpilih yang berada di muka bumi ini. Lupa saya pada segalanya seperti hilang ingatan. Segala kerja yang tertangguh dilupakan. Damai dan tenang betul bila berada di tempat yang jauh dari kebisingan kota metropolitan. Tuhan padamu ada kedamaian, berikan aku kebahagiaan. Sinar kasihMu melambai mengisi kekosongan pengharapan. Ingatlah wahai insan yang bergelar manusia. Jika mahu ketenteraman jiwa hindarilah daripada nafsu. Jika rasa manis dekat dengan Allah maka akan rasa lebih pahit jauh dari Allah. Jika ada sesiapa pinta cintamu, katakanlah ianya hanya pada Allah. Jika ada sesiapa pinta rindumu, katakan ianya hanya untuk Rasulullah. Jika ada sesiapa pinta kasihmu, katakan ianya hanya pada ibubapamu. Jika ada sesiapa pinta keikhlasanmu maka berilah ia kepada yang benar-benar menghargaimu. Malam pertama bermalam di hutan, saya lihat begitu lena para pelajar tidur. Dengkuran mereka diiringi dengan bunyi desiran merdu arus sungai serta bunyi unggas di hutan. Sekali sekala kedengaran suara para pelajar yang berjaga untuk mengawal persekitaran tapak perkhemahan. Hati saya amat tenang dan lapang kekosongan tanpa memikir masalah duniawi bila berada di suasana hutan yang sunyi sepi dari kesibukan kota dan hanya diiringi bunyian unggas hutan. Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selainNya.
Dalam kedinginan malam tersebut saya terfikir sejenak. Sebenarnya banyak lagi tempat yang boleh dikunjungi yang akan memberikan seribu erti. Tapi kenapa puncak Gunung Tapis ? Mungkin di sini akan memberikan gambaran yang sebenar siapakah diri kita di mata masyarakat. Sebagai orang muda, saya perlu menggunakan segala kemudahan dan kesempatan yang ada semaksimum yang mungkin untuk memastikan diri kita terus maju dan menjadi harta berharga di dunia ini. Jangan nanti bila sudah berusia barulah menyesal kerana kurang pengetahuan ataupun pengalaman yang ingin dikongsikan pada anak cucu. Senang ataupun susah bukan alasan, bak kata pepatah. “ Hendak seribu daya, tak nak seribu dalih ”.
Setiap malam sebelum saya merebahkan diri dan melelapkan mata serta sebelum diri diulit mimpi biasanya saya bertafakur sebentar dan cuba menanyakan pada diri sendiri,"Apakah sudah meningkat ketaqwaanku pada hari ini? "Apakah sudah meningkat amalan kesolehanku pada hari ini? Mengimbas kembali setiap gerak langkah pada sepanjang siang tadi. Bandingkan amalan semalam dengan amalan hari ini. Seandainya amalan hari ini semakin baik, itu tandanya sudah ada peningkatan taqwa dalam diri. Tidak kiralah sama ada amalan itu berkaitan dengan urusan hablumminallah (hubungan dengan Allah) atau hablumminannas (hubungan dengan manusia). Bukti ketaqwaan semakin meningkat bukan pada banyaknya kerja yang kita lakukan pada hari itu tetapi kesungguhan kita di dalam melaksanakan setiap tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah swt. Jika taqwa kita sudah meningkat, bererti kesolehan kita juga sudah meningkat kerana gabungan iman dan taqwa melayakkan seorang lelaki atau wanita itu bergelar 'soleh' atau 'solehah'. Namun begitu, sejauh mana kita telah mencapai darjat lelaki soleh atau wanita solehah itu? Sudahkah kita berjaya memilikinya? Oleh itu marilah kita suluh diri sendiri .
Di antara ciri-ciri lelaki soleh atau wanita solehah itu ialah hati mestilah sentiasa terpaut (teringat-ingat) kepada Allah swt. Kita mestilah merasakan segala ketaatan dan amal ibadah kita itu, bukan daripada diri kita. Sebaliknya itulah kurniaan Allah kepada diri kita. Apabila mendapat nikmat dan kesenangan, kita tidak leka dengannya tetapi hati kita terus terkenang kepada Allah yang memberi nikmat. Sehingga dengan itu kita tidak pernah melupakan perintah syukur sebagaimana yang dinyatakan di dalam Al Quran dalam surah Al Baqarah ayat 172 yang bermaksud: " Bersyukurlah kamu kalau betul engkau menyembahnya."
Apabila didatangi dengan berbagai ujian tidak kiralah samada ujian besar mahupun kecil, bagaikan orang yang terkena kejutan elektrik, hati kita mestilah terus terkenang-kenang dosa-dosa yang telah dilakukan. Apakah ujian demi ujian yang datang itu untuk menghapuskan dosaku? Atau untuk mendidik diriku agar lebih soleh atau solehah? "Wahai Tuhanku, kalau beginilah hukumanMu untukku di atas dunia ini, aku rela menerimanya dari diazab oleh api neraka yang amat pedih. Ampunkan dosa hambaMu ini ya Allah." Bila hati telah berkata begitu, tidaklah timbul rasa ingin mengadu ke sana dan ke mari atau mengeluh di atas segala kesusahan. Redha terhadap setiap ujian yang datang. Kita mestilah tidak berani menyanggah atau mengkritik Allah swt. Kita mestilah yakin dengan keadilan dan kebijaksanaan Allah di dalam menentukan setiap hal yang berlaku. Atas dasar itu kita menerima pelbagai rintangan dan halangan itu dengan lapang dada. Malah hati yang sudah cinta dengan Allah itu menjadikan setiap ujian yang datang, tidak dirasakan masalah lagi. InsyaAllah hati kita dapat berhibur dengan ujian yang datang kerana kita tahu itulah kasih sayang dan perhatian Allah swt kepada kita. Semakin berat ujian yang menimpa diri kita maka sekencang itulah juga ibadah kita pula kepada Allah swt. Semoga diri kita semakin dekat dengan Allah, sembahyang bertambah khusyuk dan semakin lazat kita bermunajat kepada Allah swt.
Dalam sepi malam kita bangun bermunajat kepada Allah swt, memohon dibukakan tabir keampunan dan kerahmatan. Pada siang harinya disibukkan diri dengan kerja-kerja yang bermanfaat pada diri dan masyarakat sementara segala masalah yang dihadapi hendaklah cuba dilupa-lupakan. Tidak sedikit pun melayan kejahatan-kejahatan nafsu dan prasangka buruk terhadap sesama manusia. Kerana kita tahu nafsu dan syaitan tidak pernah berputus asa untuk mengajak kepada kemungkaran. Allah swt telah mengingatkan kita di dalam firmanNya: "Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada kemungkaran." Ketika datang bisikan-bisikan nafsu yang meruntun diri kita supaya berbuat jahat seperti hasad dengki dengan jiran tetangga atau orang lain, berburuk sangka terhadap kawan, bermasam muka kepada suami, mengumpat dan sebagainya, cepat-cepat ditepiskan bisikan menipu itu. Kita sudah tahu, sekali diri kita berbuat dosa, akan bertapaklah bintik-bintik hitam di hati, menyebabkan hati kita akan semakin keras bak batu sungai yang sukar dipecahkan. Rasulullah saw bersabda: "Bila seorang hamba membuat dosa terjadilah satu bintik hitam dihatinya dan kalau bertambah dosanya bertambahlah bintik-bintik hitam itu." Sabdanya yang lain: "Orang yang membuat dosa hilanglah sebahagian akalnya untuk tidak kembali lagi selama-lamanya."
Tidak pernah terfikir atau merancang untuk menyakiti hati orang lain lebih-lebih lagi suami, isteri, ibu, ayah sekalipun dirinya disakiti. Contohnya, sekembalinya suami ke rumah, tiba-tiba dirinya dijadikan sasaran untuk melepaskan geram. Walaupun dia tahu itu bukan salahnya, tetapi sebagai seorang isteri yang solehah sedikit pun tidak dikesali perbuatan suaminya itu. Sebaliknya menyesali diri yang masih lagi belum solehah kerana dirasakan dirinya gagal untuk memberi kebahagiaan kepada suaminya itu.
Patuh terhadap arahan suami dan suka menunaikan permintaan daripada sesiapa jua, tanpa banyak soal. Walaupun arahan atau hajat orang lain, itu menyebabkan dirinya terpaksa berkorban dan hidup menderita.
 Bukanlah kehidupan kita untuk mencari pangkat dan nama kerana kita tahu di atas dua tiket ini membawa manusia rakus dengan dunia sehingga sanggup berbuat apa sahaja untuk mencapainya. Sebaliknya, kita menjadikan seluruh kehidupan ini untuk mencari keredhaan Allah swt semata-mata. Masih terlalu banyak peribadi-peribadi lelaki soleh dan wanita solehah yang belum dicungkil tetapi kiranya kesemua sifat yang di atas tadi dapat kita cuba hadapi dengan baik, insyaAllah kita akan memiliki hati yang tenang. Hanya orang yang membawa hati yang tenang dan sejahtera sahaja yang akan selamat menemui Allah di akhirat kelak. Berdoalah selalu semoga kita diberi cahaya keimanan, cahaya bagi segala cahaya yang tiada tolok bandingnya yang bakal memberikan laluan lurus untuk selamat menuju Tuhan yang Maha Agung. Semoga saya lebih tabah tatkala menerima sebarang bentuk ujian yang telah ditakdirkan ke atas diri saya.
Rabu iaitu 7 Jun 2006 bersamaan tanggal 10 Jamadil Awal 1427 Hijrah. Hari ini merupakan hari kedua kami untuk ekspedisi menziarah puncak Gunung Tapis. Tepat jam 530 pagi khemah kami dikejutkan oleh pelajar yang berjaga dari jam 430 pagi hingga 530 pagi. Terasa sejuk dan dingin air sungai apabila kami mencecah kaki untuk mengambil wuduk untuk solat Subuh. Selesai solat kumpulan kami bersiap menyediakan sarapan pagi. Kumpulan kami hanya makan roti cicah tumis ikan bilis dan air milo. Dalam doa selepas solat subuh saya berdoa agar Allah menjaga dan merestui perjalanan kami agar tiada rintangan atau kesukaran yang akan mengganggu perjalanan kami hari ini.
Tepat jam 730 pagi kami menjatuhkan khemah untuk bersiap ke destinasi seterusnya. Semua ahli kumpulan bekerjasama menurunkan khemah dan membersihkan kawasan persekitaran tapak perkhemahan. Kerjasama adalah penting dalam kumpulan agar segala kerja yang dilakukan akan berjalan lancar. Jam 830 pagi semua berkumpul dan doa dibaca oleh seorang pelajar agar perjalanan kami ke destinasi seterusnya diiringi dengan perlindungan Allah dari segala bahaya. Setelah memastikan tapak perkhemahan betul-betul dibersihkan maka kami meneruskan perjalanan kami menuju ke Base Camp 2. Jam 915 pagi kami berehat seketika untuk menghilangkan penat di bawah pokok yang besar. Tepat jam 930 pagi kami meneruskan perjalanan kami yang masih jauh. Tepat jam 1105 pagi kami tiba di Base Camp 2 untuk menikmati makan tengahari. Kami makan nasi berlaukkan gulai daging ayam dalam tin. Selepas makan masing-masing terjun ke sungai untuk mandi. Tiba-tiba kelihatan dari jauh cikgu Azli dan cikgu Salim membawa hasil tangkapan ikan sungai yang ditangkap menggunakan jaring yang di bawa oleh mereka. Kami bakar anak ikan kelah tersebut tanpa rencah dengan menggunakan batang pokok tepus. Ia adalah seperti pokok lengkuas jika ditengok sekali imbas. Sedap dan manis rasanya ikan sungai yang dibakar segar dari sungai. Inilah satu lagi nikmat Allah yang dikurniakan untuk hambaNya agar bersyukur dengan alam semulajadi yang wujud di muka bumi ini. Ianya hanyalah setitis nikmat yang wujud  di sungai yang bersih tanpa pencemaran. Oleh itu, jagalah sungai agar ia terus kekal indah dan bersih dari pencemaran agar dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. Saya menyegarkan diri dengan mandi di dalam sungai yang masih suci dan bersih dari pencemaran.Sekali-sekala saya menyelam  ke dasar sungai yang cetek itu. Rasa getar masih terasa kerana pengalaman hampir mati kerana lemas di Tasik Kenyir. Mujur umurku masih panjang kerana diselamatkan oleh pegawai yang bertugas di Tasik Kenyir. Sedangkan ketika itu ibuku berada di hospital besar Kuala Terengganu, Terengganu kerana sakit yang kritikal. Nampaknya Tuhan masih memberi peluang kepada diri saya untuk menikmati keindahan duniawi. Mungkin akan dapat saya lihat keindahan kurniaan Illahi sepanjang perjalanan ke puncak Gunung Tapis.
Sebelum meneruskan destinasi kami tepat jam 130 petang ke Base Camp 3 untuk perkhemahan malam kedua dan ketiga, En Yusuf memberikan sedikit taklimat ringkas. Kami akan melalui Bukit Taubat yang licin dengan tanah laterit merah dan amat curam. Kami dinasihatkan agar berhati-hati sepanjang perjalanan mendaki Bukit Taubat yang mencabar itu. Bukit Taubat setinggi 2000 kaki adalah satu ujian yang hanya secebis ujian yang kecil tak setanding ujian Illahi untuk hambanya dalam meniti kehidupan menuju ke alam akhirat. Lebih besar kesulitan yang kita alami lebih besarlah kejayaan yang akan kita capai. Sebesar mana masalah, ia akan jadi sejarah juga akhirnya. Setiap masalah ada jalan keluarnya. Hidup ini bukan berenang di lautan madu. Ia sukar dan memang banyak masalah. Ada pepatah menyatakan bahawa angin yang tajam membentuk jurang yang dalam. Sementara peraturan yang tajam membentuk manusia yang hebat. Dalam dunia ini ada dua jenis manusia. Yang pertama orang yang tidak mudah putus asa, mereka jatuh tetapi berani bangun semula. Sementara yang kedua menganggap dirinya bodoh atau lemah kerana keadaan lahiriahnya yang miskin atau tidak pandai.Orang yang pertama akan menganggap dunia penuh dengan cabaran. Nak tak nak kena hadapi tak boleh lari. Sementara orang yang kedua menganggap dunia berhutang dengannya. Masalah mestilah dihadapi dengan berani. Sebab kalau kita lari dia akan mengejar kita macam anjing-anjing liar. Seganas-ganas anjing, ia akan kalah jua dengan tulang. Tulang itu datang dari akal. Akal mesti dapat pimpinan dan bimbingan iman. Barulah ia membawa kita menuju jalan kemenangan yang diredhai Tuhan.
Jam 330 petang kami berehat seketika di atas kayu balak yang tumbang di pertengahan jalan yang kami lalui. Di sini dapat saya lihat wajah-wajah kepenatan di riak wajah masing-masing. Dari jauh jelas kelihatan puncak Gunung Tapis yang akan kami ziarahi. Tinggi juga nampaknya puncak Gunung Tapis jika dilihat dari kejauhan. Mampukah kami untuk mendaki Gunung Tapis.Ya Allah, perkenankan hasrat di hatiku untuk sampai di kemuncak sana. Mencabar juga mengharungi Bukit Taubat yang berisiko ini.Cikgu Basri kata sebelum ini dia pernah mendaki Gunung Tahan tapi tak sesukar mendaki Gunung Tapis. Betul-betul mencabar jiwa dan nurani sesiapa yang menyertai ekspedisi ini. Rupanya dalam berehat kumpulan kami telah terbabas ke jalan lain. Tepat jam 345 petang, setelah dibilang bilangan anggota ekspedisi didapati 4 orang pelajar hilang. Mereka terlalu jauh ke depan kerana terlampau laju berjalan dan meninggalkan kumpulan lain di belakang. Cikgu Azli dan beberapa orang pelajar bergerak pantas mencari mereka. Jam 405 petang kelihatan dari jauh kumpulan pelajar yang hilang muncul tanpa kepenatan. Kuat betul stamina mereka kerana hanya menyandang beg-beg kecil di belakang. En. Yusuf memberi nasihat agar tiada lagi yang sesat. Diingatkan berulang kali mesti bergerak dalam kumpulan sentiasa dan memastikan bahawa tidak berada jauh antara satu sama lain. Sikap mementingkan diri dan lupa pada kawan mungkin akan mengundang bahaya yang mungkin tidak disangka oleh kita. Ini hutan bukan bandar yang ada papan tanda dan telefon untuk mudah dihubungi mendapatkan bantuan. Liputan telefon pun tak ada di sini. Nasihat En. Yusuf lagi jika ternampak papan tanda di pokok besar atau berjumpa jalan yang bercabang dua atau bersimpang berhenti seketika.Tunggu di situ dan tiup wisel untuk meminta bantuan.
Jam 410 petang kami meneruskan destinasi kami menuju ke Base Camp 3. Tepat jam 445 petang kami tiba di Base Camp 3 dan lantas kami segera mendirikan khemah. Setelah khemah siap didirikan kami bersiap untuk solat dan menyediakan makan malam. Malam itu kumpulan kami makan berjemaah dengan kumpulan guru lelaki dan En Yusuf dalam menyediakan makan malam. Aneka lauk sedia terhidang untuk kami nikmati selepas solat Maghrib nanti. Antara lauk yang disediakan ialah kari kepala ikan, ikan sardin, sambal kerang, serunding, sup isi ketam tumis ikan bilis. Syukur pada Allah, inilah rezeki makanan kami yang melimpah ruah pada malam ini. Bumi Allah luas rezeki ada di mana-mana tapi jika kita berkongsi apa yang kita ada tidak rugi malah banyak lagi balasan yang kita tidak sangka akan muncul. Tersirat dan tersurat segala ketentuan Illahi adalah datang darinya. Saya bertanya adakah malam ini kami akan diterangi oleh cahaya bulan seperti malam pertama. En Malik bin Karim menjawab, “Malam ni bulan cuti”. Tepat jam 710 malam terdengar bunyi gauman harimau kumbang di anak bukit bersebelahan perkhemahan kami. Muncul sejenak perasaan takut. Ingat, jadilah kekasih Allah s.w.t dengan mengasihiNya. Apabila kita telah dilindungi oleh Allah s.w.t apapun anasir di atas muka bumi ini tidak akan mampu melakukan apa-apa ancaman ke atas diri kita. Tepat jam 730 malam kami bersama-sama menikmati rezeki kami pada malam kedua. Indah sungguh kami menikmati makan dengan ditemani oleh cahaya bulan. Sinar cahaya bulan menerangi bumi seperti merestui kehadiran kami di sini untuk menziarahi puncak Gunung Tapis. Indah sungguh cahaya bulan di malam hari, semua itu adalah anugerah dari Illahi. Seterang cahaya bulan seperti terangnya hati-hati kami untuk mengingati Allah yang Esa sentiasa. Ya Allah, janganlah kami lupa padaMu. Kekalkan memori kami untuk sentiasa beribadat kepadaMu tanpa jemu, bosan serta ragu.
Tepat jam 900 malam ada antara kami dibuai mimpi di dalam khemah masing-masing kerana kepenatan yang amat dalam mendaki Bukit Taubat. Letih terasa tidak terkira setelah mengharungi hari kedua pendakian Gunung Tapis. Masih ada yang belum tidur dan mengisi kekosongan pada malam itu dengan berbual antara satu sama lain berkongsi pengalaman. Jam 1130 malam hujan turun dengan lebat. Kebasahan jelas terasa kerana khemah kami berada di laluan air. Tidur atas aliran air seronok juga. Satu pengalaman baru yang sukar diperolehi. Akibat betul-betul kepenatan semua tidur lena malam kedua kerana terlampau penat walaupun hujan turun dengan lebat. Doa saya panjatkan agar tidur kami adalah tidur yang umpama mati untuk hidup semula dalam mengharungi pendakian hari esok. Keredhaan dari Allah merantai jiwa kami untuk mencapai matlamat kami dalam melihat perhiasan duniawi di puncak Gunung Tapis. Malam ini tiada kumpulan yang berjaga untuk mengawal persekitaran kerana hujan turun dengan amat lebat.
Khamis iaitu 8 Jun 2006 bersamaan tanggal 11 Jamadil Awal 1427 Hijrah. Hari ini merupakan hari ketiga kami untuk ekspedisi menziarah puncak Gunung Tapis. Tepat jam 600 pagi saya bangkit dari tidur dan mendapati sunyi sepi di persekitaran luar khemah. Semua masih tidur akibat keletihan yang nyata dalam menempuh perjalanan hari semalam. Saya cuba kejutkan khemah para pelajar. Liat betul mereka nak bangkit dari tidur. Kain selimut ditarik kembali dan ada juga pelajar yang menjadi ulat gonggok. Sama seperti di Base Camp 1, terasa sejuk dan dingin air sungai apabila kami mencecah kaki untuk mengambil wuduk untuk solat Subuh. Selesai solat kumpulan kami bersiap menyediakan sarapan pagi. Kumpulan kami hanya makan maggi kari, roti dan air nestum. Saya cuba untuk makan maggi tetapi tak berupaya kerana apa yang masuk ke mulut terpaksa diluahkan kembali. Saya hanya makan 2 keping roti dan segelas air nestum. Kami telah dinasihatkan oleh En Yusuf agar mengisi perut agar mempunyai tenaga dalam menempuh pendakian.
 830 pagi semua berkumpul dan doa dibaca oleh seorang pelajar agar perjalanan kami ke destinasi menziarahi puncak Gunung Tapis diiringi dengan perlindungan Allah dari segala bahaya dan mendapat keberkatan. Kami melintas anak sungai yang kami gunakan untuk keperluan seharian. Apabila melintas satu anak bukit terdapat sebuah jeram yang indah. InsyaAllah dalam perjalanan balik jika berkesempatan kami akan singgah untuk bersiram di sini. Di sini kami mengisi botol-botol kosong dengan air sungai sebagai bekalan minuman dalam perjalanan nanti. Kami mungkin tidak akan bertemu dengan punca air. Kalau bernasib baik punca air akan ada di lereng-lereng bukit. Apapun doa kami panjatkan agar wujud punca air sebelum tiba di puncak. Kata En Yusuf kalau ada punca air hanya seorang sahaja yang akan turun untuk mengambil air dan perlu berhati-hati kerana lereng yang sempit dan curam untuk turun mendapatkan air tersebut. Malam tadi hujan turun dengan lebat. Semoga wujud limpahan air rahmat untuk kami dalam perjalanan ke puncak nanti. Kami meneruskan pendakian dengan menaiki satu lagi anak bukit yang agak curam. Sepanjang perjalanan kami dinasihatkan melihat tanda yang ada di pokok-pokok agar tidak tersesat dalam perjalanan turun dari puncak.Kami semua terkial-kial meneruskan pendakian. Hujan lebat yang turun malam tadi menyukarkan perjalanan. Laluan menjadi licin dan tidak terurus. Banir kayu dan pokok-pokok renek menjadi tempat berpaut. Di sini kami banyak berpaut pada akar dan dahan pokok untuk pendakian kerana kecuraman bukit yang menyukarkan kami untuk mendaki. Tali yang disediakan turut licin kerana terlalu ramai yang telah berpaut menyebabkannya diselaputi tanah liat.
Hidup ini penuh dengan ranjau berduri tersilap langkah kita akan terluka. Berhati-hati apabila melaluinya agar selamat ke penghujungnya. Perjalanan yang jauh banyak rintangannya dan bersabarlah dalam menempuhinya agar diberi petunjuk dari yang Esa. Dunia yang penuh pencaroba banyak dugaan yang mendatang  dan jika sekali gagal menempuhinya bukan gagal untuk selamanya. Ada kekuatan dalam diri adalah semangat untuk menempuhinya walau pelbagai ujian yang melanda bukan itu penghalangnya. Kuatkan iman di dalam diri semoga tidak tergoda dengan keindahan alam yang penuh dengan kepuraan. Percayalah keupayaan sendiri dan yakin diri dalam melangkah semoga dapat meneruskan perjalanan dengan sejahtera dan tenang.
 Jam 1000 pagi kami berhenti sejenak untuk berehat di Check Point 8. Kami mengambil peluang ini untuk bergambar beramai-ramai. Kedengaran bunyi seperti air yang mengalir dari kejauhan. Bila cuping telinga di asah untuk mendengar dengan jelas apa bunyi yang sebenarnya, tertipu rupanya saya. Bunyi yang kedengaran adalah bunyi desiran angin yang berlalu sepoi-sepoi bahasa. Nyaman tiupan angin di sini bagaikan gembira dan merestui kedatangan kami. Pipi ini terasa tamparan lembut bayu angin yang sungguh dingin dan nyaman. Ciptaan Illahi yang amat tulus dan suci mengisi pendakian kami. Selepas ini kami dinasihatkan agar lebih berhati-hati kerana akan menempuh hutan pokok mengkuang yang tajam sepanjang menuju ke puncak sebelum bertemu dengan Check Point 10 yang merupakan Taman Bonsai 1. Sepanjang perjalanan saya dapat mengenali beberapa pokok herba yang dijumpai sepanjang pendakian. Contohnya pokok rempah ratus hutan, pulih dara, kacip fatimah dan lain-lain lagi.
Pelbagai ilmu rimba yang saya pelajari daripada En Yusuf di sepanjang perjalanan. Kongsilah ilmu yang baik dengan orang lain. Sememangnya orang yang berilmu akan dihormati dan diperlukan dalam masyarakat. Dengan ilmu, masyarakat dapat dibangunkan dan sebuah negara dapat ditegakkan. Tamadun yang hebat bermula dengan orang yang berilmu. Disebabkan itu, Islam sangat menghargai ilmu dan golongan ilmuwan seperti firman Allah : “ .... nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman antaramu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat ....” Surah al-Mujadalah : 58 . Disebabkan tingginya kedudukan ilmu, maka Islam mewajibkan umatnya untuk belajar. Berjihad dalam ilmu bermaksud bersungguh-sungguh membentuk masyarakat dari segi ilmu pengetahuan dan peradaban yang berguna supaya dapat memberikan gambaran yang betul mengenai sesuatu perkara, tanpa iri hati atau tamak. Rasulullah juga pernah berpesan supaya umatnya tidak lokek menyebarkan ilmu. Pesan baginda, si kedekut ilmu yang jika ditanya mengenai sesuatu (ilmu), dia menyembunyikannya, maka pada hari kiamat nanti akan diikat mulutnya seperti kekangan di mulut kuda dengan kekangan daripada api neraka. Justeru itu, kongsilah ilmu yang berguna kerana semakin ramai orang yang berilmu, makin kuatlah sebuah masyarakat. Masyarakat yang kuat akan membentuk negara yang gagah. Dan negara yang gagah akan menjadi sebuah tamadun yang boleh dibanggakan generasi demi generasi.
 Pendakian semakin sukar kerana laluan hanya muat untuk seorang sahaja. Kedengaran bunyi aliran air di celah lereng bukit. Cikgu Basri turun untuk melihat adakah benar apa yang kami dengar itu. Syukur saya panjatkan pada Illahi bila kedengaran “ Cepat hulurkan botol kosong untuk diisi air ”. Rupanya hujan lebat malam tadi adalah rahmat dari Allah yang tidak kita sangka. Jangan kau sangka semua yang baik itu baik belaka dan juga jangan kamu sangka semua yang tidak baik itu buruk belaka. Kita kadangkala tidak sedar Allah sentiasa mengurniakan sesuatu rahmat kepada hambaNya tanpa dipinta. Pemurah dan Pengasih pada hambaNya yang kadang kala kita lalai, lupa dan leka dengan sifat ini. Laluan semakin sempit dan licin amat mencabar perjalanan kami. Kedinginan makin terasa mengigit di jasad kami apabila langkah demi langkah yang makin lama menuju ke ketinggian yang hampir menuju ke puncak. Saya terbersin beberapa kali kerana kesejukkan walaupun sudah memakai baju sejuk. Kadangkala kami berhenti sejenak untuk melihat pemandangan ke bawah. Kelihatan menghijau pokok-pokok di atas bukit yang lebih rendah dan tanah pamah. Awan jelas kelihatan sama paras dengan paras mata kami. Keindahan melihat awan di depan mata yang bagaikan boleh dicapai oleh tapak tangan tak tergambar. Tidak sama dengan awan putih yang saya lihat ketika berada di dalam kapal terbang semasa ke Kota Kinabalu pada tahun 2000. Bezanya kedinginan semulajadi terasa bagaikan penyaman udara. Tapi kedinginan asli di sini lebih bermakna. Hanya yang merasainya sahaja boleh meluahkannya dalam sanubari kenikmatan angin asli yang teruji.
Jam 1230 saya tiba di Check Point 10 yang merupakan Taman Bonsai 1 yang indah. Kami cuba mengabadikan keindahan Taman Bonsai dengan bergambar beramai-ramai berlatar belakangkan pokok bonsai. Menurut En Yusuf umur pokok bonsai yang tinggi di sini adalah seusia dengan kewujudan gunung. Jika umur gunung sebaya umur Bumi maka umur pokok bonsai mencecah jutaan tahun. Hanya Allah yang tahu hakikat kejadian ciptaanNya di sini. Kami bergambar beramai-ramai sebagai kenangan keindahan dan keunikan pokok bonsai. Indahnya pemandangan dari pinggir puncak Gunung Tapis. Kelihatan kehijauan hutan semulajadi yang asih asli dan suci tanpa penerokaan manusia yang rakus dengan kemewahan duniawi. Kami menerusnya perjalanan yang tidak berapa jauh lagi. Saya dapat merasakan perut sudah diminta diiisi. Saya mengeluarkan biskut Tiger untuk mengalas perut. Nanti kalau lambat makan susah pula bila gastrik datang menyerang. Saya hanya makan sekeping sahaja dan yang selebihnya dikongsi bersama ahli ekspedisi yang lain. “ Hati nyamuk sama dicecah, hati gajah sama dilapah ”. Kadangkala kami memakan umbut pokok yang terdapat di sepanjang perjalanan.
Dalam keadaan lapar, tiba-tiba bila saya keluar dari semak samun kedengaran tepukan gemuruh dan ucapan tahniah daripada para pelajar dan guru yang terlebih dahulu tiba di puncak. Jam 100 petang kami tiba di puncak Gunung Tapis yang berada pada paras 4960 kaki dari aras laut. Alhamdullillah, syukur dan puji-pujian yang tidak terhingga kami panjatkan ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan izin dan inayahNya kami dapat menziarahi puncak Gunung Tapis dan tiba di puncak dengan selamat. Segala usaha dan susah payah  yang telah dilalui amat kami hargai dan sanjung tinggi malah tidak dapat kami nilaikan dengan wang ringgit. Hanya kami dapat pohonkan doa semoga segala usaha kami dinilai Allah sebagai amal ibadah serta ganjaran sebagai amalan orang-orang soleh. Amin! Semoga perjalanan yang dilalui ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh seluruh warga ekspedisi menziarah Gunung Tapis sebagai penyuluh untuk merintis jalan menuju cahaya Illahi. Kami berdoa dan memohon agar seluruh warga ekspedisi Gunung Tapis ini sentiasa mendapat hidayah dan taufik serta keberkatan daripada Allah s.w.t.
Kelihatan di puncak Gunung Tapis papan tanda menunjukkan ayat “Program gunung angkat Puncak Everest  1997 ”. Ia adalah dari Rakan Muda Gunung Tapis. Perut yang berkeroncong perlu diisi. Kumpulan kami hanya makan bekalan makanan yang dibawa iaitu cekodok bilis, biskut jagung dan wafer. Ada kumpulan yang memasak mee segera di puncak Gunung Tapis. Pelbagai ragam dan perangai yang dapat dilihat. Apa yang pasti semua ahli ekspedisi kelihatan amat gembira yang tidak terkira dan tak dapat digambarkan. Pembuka tin kelihatan muncul dari dalam beg ketika saya hendak mengeluarkan wafer dari dalam beg. Dalam fikiran saya terfikir mengapa pembuka tin dibawa bersama ke puncak, bukannya nak guna ? Tiba-tiba En. Yusuf menanyakan jika ada sesiapa yang membawa pembuka tin kerana dia ingin membuka tin kacang hijau yang dibawanya. Sejenak saya tersentak kerana tadi saya telah mengeluh di sebalik kejadian yang telah Allah tentukan. Ada hikmah sebenarnya jika kita mempunyai sesuatu yang kita rasakan tidak memerlukannya. Ada orang lain yang memerlukan barang yang kita punya tapi kita tak memerlukannya. Barulah saya sedar bahawa memang cantik dan indah ketentuan Allah dan ada kalanya kita tidak sedar ia berlaku. Oh, Tuhan padamu hambamu berserah ketentuan yang terbaik di dalam kehidupan hambamu ini. Menurut En. Yusuf kacang hijau yang dibawa olehnya itu adalah salah satu makanan pemberi tenaga untuk turun dari puncak nanti. Kami berkongsi dengan nikmat Allah yang sedikit dan merasa puas dengan nikmat memakan kacang hijau dalam tin. Di samping itu, saya diperkenalkan dengan pokok renek Payung Ali dan Payung Fatimah yang sentiasa duduk bersebelahan. Pokok tersebut seperti pokok paku pakis. Di puncak itu juga dapat saya perhatikan banyak pokok mas secotek di merata-rata atas puncak.
Keindahan pemandangan dari puncak Gunung Tapis amat indah. Jika benar apa yang dirasai dan dinikmati di puncak adalah hanya setitis nikmat syurgamu Ya Allah, akan hambamu terus beribadat dan taat kepadamu untuk menikmati janjimu syurga hakiki di akhirat sana. Berilah hambamu ini peluang untuk menjadi salah seorang hambamu yang terpilih untuk menikmati syurga yang hakiki dan kekal. Hambamu ini adalah lemah dan tidak layak untuk syurgamu. Namun tak upaya untuk menanggung azab api nerakamu. Di puncak Gunung Tapis walaupun amat tinggi namun saya hanyalah perantau sepi. Katanya sepi itu indah tapi kenyataannya amat menyakitkan. Sepi itu sebuah peyeksaan namun saya bersyukur pada Tuhan kerana masih diberi ihsan harga sebuah kehidupan. Doa dan munajat saya di sini agar datanglah seorang teman mendampingi diri ini. Seperti bahagianya Adam tatkala Hawa diciptakan untuknya. Hening adalah bunga kesabaran menanti dalam segar hijau warna daun teratai yang masih terus setia di sini. Semoga suatu ketika berkembanglah kelopak bungaku agar menyeri warnanya di dingin bayu pipisan angin puncak Gunung Tapis dan saya pasti terus menanti di sini tanpa jemu.
Semasa berehat di puncak En.Yusuf menunjukkan batu mengandungi emas yang dijumpainya sepanjang perjalanan. Mahu kaya tidak salah, tapi mahu diapakan dengan kekayaan itulah yang penting. Kekayaan itu sendiri adalah satu makhluk Allah, yang tunduk kepada Allah azzawajalla yang Maha kaya. Kamu mahu jadi hamba kekayaan atau hamba Allah. Cari Allah SWT terlebih dahulu. Pencipta dan pemilik kekayaan. Bukan terus mencari kekayaan yang dimiliki Allah. Kerana Allah yang Maha Kaya yang memiliki segala sesuatu yang ada di alam semesta ini. Kekayaan yang kamu cari hanyalah sebutir zarah dari alam ini. Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi salih adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan ( Al Kahfi : 46 ). Kenapa kita tidak kaya ? Jawabnya kerana kita tidak memperkayakan diri kita sendiri. Setiap hari kita berusaha dan bekerja untuk memperkayakan orang lain. Anak isteri kita bahkan seluruh keluarga kita tidak membantu kita menjadi kaya. Sebaliknya mereka turut membantu memperkayakan orang lain. Kekayaan adalah hasil pekerjaan kita sendiri dan hasil dari sesuatu yang praktis. Ia bukan hasil menungan atau imaginasi. Ia bukan jatuh dari langit. Ia bukan durian yang runtuh di hadapan kita. Ia bukan bulan jatuh ke riba. Kekayaan adalah hasil satu usaha yang praktis. Bukan mistik. Tiada jalan pintas menuju kekayaan. Ia harus diamalkan dengan sabar dan istiqamah. Dalam perjalanan menuju kekayaan ada banyak rintangan, kesilapan, dugaan bahkan kegagalan sementara. Kekayaan tidak akan menjadi milik orang yang gelojoh dan tidak sabar.
Lazimnya manusia mencari kekayaan dan harta benda. Malah kadangkala kerana kerana gila mengejar harta dan dunia kita sering teralpa akan tanggungjawab terhadap sesama manusia dan Tuhan. Kita bekerja dari pagi sehingga malam sehingga terlupa tanggungjawab pada keluarga. Harta ada tiga jenis, pertama apa yang dimakan akan habis, kedua apa yang dipakai akan lusuh dan ketiga apa yang disedekah akan tersimpan untuk akhirat. Kecuali yang ketiga, semua akan lenyap atau ditinggalkan kepada orang lain.
Bergambar di puncak adalah satu sesi yang menarik di sini kerana pelbagai aksi menarik yang akan kami rakamkan untuk kenangan. Entah bila lagi kami akan menziarahi puncak Gunung Tapis yang keindahannya tak mampu dinyatakan dan hanya mereka yang berada di sana sahaja dapat merasakan keindahan tersebut. Di puncak Gunung Tapis kami mengabadikan memori kami yang indah agar ia akan menjadi bukti dan saksi kejayaan kami menawan puncak Gunung Tapis. Hanya Allah sahaja yang menjadi saksi bahawa kami telah dapat menempuh ujian yang berliku dan sukar dalam mangharungi perjalanan kami ke puncak.Tidak semua yang kita mampu kita perolehi dan tidak semua kita perolehi adalah yang kita inginkan.
Tiba-tiba datang segumpal awan menuju ke puncak. Terasa kedinginan yang nyata mengigit tubuh saya. Terbersin saya beberapa kali kerana kesejukan. Kecoh masing-masing bergambar untuk merakam memori yang indah bersama gumpalan awan tersebut. Ingin rasanya meramas gumpalan awan tersebut.Teringat seketika bahawa gumpalan awan tersebut hanyalah hantaran dari Allah untuk nikmat seketika yang diuji untuk dinikmati oleh hambanya. Pinjaman sementara semata-mata dan ia milik yang Esa bukan boleh dimiliki oleh manusia, cuma boleh dirasai sahaja.Terasa puas walaupun berada hanya selama satu jam lebih di puncak Gunung Tapis. Kepuasan yang Allah kurniakan amat berharga dan tidak boleh dibayar dengan apa-apa sekalipun intan, permata atau wang ringgit. En. Yusuf menanyakan kami adakah ingin ke taman bonsai 2 di kaki puncak. Rasanya dah syukur dengan keindahan di puncak. Cukuplah keindahan puncak dan saya rasakan apa yang ada di taman bonsai sama sahaja.Tapi kesungguhan En. Malik bin Karim untuk ke taman bonsai 2 telah memberi kami peluang ke tempat tersebut.
Saya merasa amat pilu untuk bangkit dan meninggalkan puncak Gunung Tapis. Saya melihat pemandangan dari atas puncak Gunung Tapis untuk kali terakhir. Yang kelihatan hanyalah gumpalan awan  sahaja dan tidak jelas kelihatan pemandangan tanah pamah di bawah. Terima kasih dan jika panjang umur akan saya datang lagi ke sini wahai puncak Gunung Tapis yang sudi menerima kehadiran saya. Alam yang indah Rahmat dari-Nya sungguh mempersona perlulah kita bersyukur pada-Nya. Merasai nikmatNya dan terus berzikir padaNya agar kita menjadi hamba yang setia. Dapat kita melihat di kaki gunung ada suria pagi yang menampakkan diri untuk menerangi alam. Setelah terbenam mentari untuk berehat dan menanti terbit rembulan nan berseri untuk menerangi kegelapan malam. Segala yang diberikan adalah rahmat dariNya. Janganlah kita kufur kepadaNya dan jadilah hamba yang bersyukur pada setiap nikmat pemberianNya yang kadangkala tidak pernah kita pinta tapi diberi agar kita gembira sentiasa.
Saya berada pada kumpulan kedua yang turun dari puncak. Sebenarnya saya ingin menitiskan air mata tapi cuba saya sembunyikan di dalam sanubari. Biarlah Allah sahaja yang tahu betapa saya bersyukur yang tidak terhingga kerana berjaya berada di puncak Gunung Tapis. Saya tidak pernah bermimpi untuk mendaki gunung dan berada di puncak gunung. Tetapi saya sedar bahawa semua ini yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah. Kita tidak sedar nikmat yang Allah berikan kepada kita walaupun kita tidak pernah pinta.Terima kasih kepada semua teman seperjuangan yang sama-sama mendaki dan memberikan saya peluang ini. Kini, diri saya sedar sebenarnya kepayahan hidup yang dirasa sulit dan gentir ada hikmahnya. Inilah balada seorang gadis dara. Amat payah dan sulit sekali menjadi seorang gadis dara sebab pada tiap saat ,dia sering terkepung serta diintip oleh ribuan lelaki dahaga yang mahu mencintainya yang mahu menodainya lalu hari itu, dia pun mengambil keputusan untuk melindungi rambutnya yang harum bak sutera menutup dadanya yang mekar dan berombak dengan mini telekung yang bersih dan santun. Maka dalam kesegaran wuduk pada setiap subuh yang bening dan damai dia pun memanjatkan doa, “ Ya Allah, peliharakanlah dan selamatkanlah aku dari tipu daya cinta zaman ini yang kebanyakkannya penuh dengan kemungkaran seribu satu muslihat serta tipu daya yang licin. Jika umurku panjang, isikan ia dengan barakah dan hidayahmu untuk terus beribadat dan bertakwa kepadamu. Ya Allah, padamu ku mohon jodohkan aku dengan insan yang telah engkau tetapkan untuk mengisi kebahagiaan  hakiki di dunia dan di akhirat  yang akan menemani daku abadi selamanya.
Dalam perjalanan turun dari puncak kami diserang oleh hujan gunung. Amat kasar titisan air yang turun. Sempat juga saya menikmati air tersebut dengan membuka mulut seketika walaupun dalam keadaan kelam kabut. Saya dan beberapa orang yang lain tersasar ke laluan jalan yang salah.Ini adalah disebabkan oleh hujan yang lebat dan kabus yang tebal. Nasib baik ada wisel di dalam poket seluar. Saya meniup wisel dan setelah mendengar balasan wisel dari teman, kami menuju ke laluan yang betul.
Jam 200 petang, setelah keluar dari celah-celah pokok bonsai yang lebih tinggi dari saya kelihatan semua sedang bergembira. Mereka seronok kerana di taman bonsai 2, keindahan yang wujud tak boleh digambarkan. Amat indah, cantik, bersih, tersusun dan ia umpama taman yang dijaga oleh seseorang. Indah sungguh. Adakah keindahan ini hanyalah secalit keindahan di kayangan. Saya terpinga-pinga kerana melihat keindahan tempat ini. Di dalam hati terdetik, “ Jika boleh ingin ku bina rumah di sini dan kekal tinggal di sini ”. Tetapi mana mungkin saya boleh berbuat demikian. Saya amat diperlukan dalam keluarga, sekolah dan masyarakat. Paling tidak saya lupa kedua ibubapa yang belum lagi terlaksana satu janji manis  dalam hati saya ini kepada mereka. Itulah  saya jika ingin menghadiahkan sesuatu pada mereka akan terus beri dan memang biasanya saya akan lihat mereka tersenyum puas. Masih lagi hangat terasa, setiap malam mak akan meniup ubun-ubun kepala kami sebelum dia tidur. Ayah dengan sikap pendiamnya dan penuh rahsia tapi saya tahu dia mahu yang terbaik untuk kami adik beradik dengan mencari rezeki untuk kami. Saya banyak mengikut perangai ayah tapi wajah lebih mirip mak saudara yang merupakan adik kepada mak.
Keindahan taman bonsai amat luas dan tidak terdetik sedikit pun untuk mengambil pokok-pokok tersebut. Biarlah ia berada di tempatnya dan yang penting memori keindahannya akan kekal dalam ingatan saya. Kelihatan beberapa orang ahli ekspedisi yang cuba menggorek keluar pokok bonsai bersama akarnya untuk di bawa pulang. Biarlah minat masing-masing yang berbeza.Mujur ada teman yang mengingatkan agar tidak terlalu asyik di sini. Tempat di muka bumi ini adalah tempat makhluk Allah yang kita kongsi bersama. Kami beramai-ramai mengabadikan memori keindahan taman bonsai 2 di dalam lensa kamera masing-masing.
Kami memulakan langkah untuk turun dari puncak sebelum lewat petang. Kami berkali-kali diingatkan agar berhati-hati turun. Risiko turun dari bukit adalah lebih besar dari naik bukit. Lagipun pada tahun 2004 seorang juru tunjuk arah warga Singapura berumur 54 tahun telah meninggal dunia akibat sakit jantung dalam perjalanan turun. Tidak ada daya untuk mengelakkan sesuatu dan tidak ada kekuatan untuk melaksanakan sesuatu kecuali dengan pertolongan Allah. Semasa perjalanan turun kami sekali lagi mengambil air dari lereng bukit. Kesegaran air tersebut adalah seperti air dari peti sejuk. Rahsia nikmat air yang tak terkira dan tergambar telah dapat kami nikmati sepanjang perjalanan naik dan turun puncak. Akhirnya 530 petang kami tiba di jeram yang terletak satu anak bukit dari tapak perkhemahan kami. Kami menyegarkan tubuh kami dengan berendam di dalam anak sungai.Lega yang tak terkira kerana dapat membasahkan tubuh seketika. Kami tidak boleh lama berada di sini kerana belum solat lagi. 630 petang kami tiba di base camp 3 bersiap untuk solat dan menyediakan makan malam.
Sebelum solat sempat saya memasak nasi. Dalam doa selepas solat, saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Illahi kerana selamat turun dari puncak Gunung Tapis yang mencabar dan berliku. Selesai solat kami memasak lauk untuk makan malam. Malam ini merupakan malam terakhir kami akan bermalam di dalam hutan. Pelbagai lauk dihidangkan untuk dinikmati oleh kami. Antaranya sardin, kari kepala ikan, serunding daging, sup isi ketam dan pelbagai lagi.Semua makan dengan berselera kerana lapar lagipun kami makan secara berjemaah. Syukur walau apa yang dimasak nampak sedikit tapi kami semua dapat makan dengan kenyang. Semua ini adalah rezeki yang kami terima pada malam terakhir kami di dalam hutan.
Tepat jam 930 malam, semua dipanggil berkumpul di pinggir khemah En. Yusuf. Kami muhasabah perjalanan kami siang tadi yang telah kami tempuhi. Pelbagai nasihat dan dorongan diberikan agar kami masih lagi bertenaga untuk perjalanan pulang esok menuruni Bukit Taubat dan kembali ke bandar Sungai Lembing. Malam ini semua kumpulan diingatkan agar membuat kawalan di persekitaran tapak perkhemahan. Walaupun penat  masih terasa mencengkam kaki kami namun semua akur dengan tanggungjawab yang telah diberikan.Malam ketiga saya tidak dapat tidur kerana apabila memejamkan mata tergambar ular di sekeliling saya. Malam itu saya hanya berbaring sambil kepenatan terasa yang mencengkam betis dan peha. Mata tidak dapat dipejamkan sehinggalah akhirnya hampir jam 330 pagi terlelap seketika.
Jumaat iaitu 9 Jun 2006 bersamaan tanggal 12 Jamadil Awal 1427 Hijrah. Hari ini merupakan hari keempat kami untuk ekspedisi menziarah puncak Gunung Tapis. Tepat jam 515 pagi saya bangkit dari tidur apabila dikejutkan oleh pelajar yang berjaga untuk sesi 430 pagi sehingga 530 pagi. Semua masih tidur akibat keletihan yang nyata dalam menempuh perjalanan ke puncak Gunung Tapis hari semalam. Hari masih belum terjaga sepenuhnya. Burung-burung pun tidak galak berterbangan mencari ulat untuk sarapan. Dalam kesepian pagi saya dan Sofia turun ke anak sungai. Pagi yang sepi itu menjadi sebuah pagi penuh bererti. Masih banyak perkara yang harus diteliti apabila kita bersedia membuka mata. Sedar tak sedar, hari ini kami akan pulang ke destinasi asal kami.
Kedinginan air sungai dan tiupan angin pagi yang lembut bagaikan mengucapkan pagi terakhir kami di dalam hutan. Hanya saya dan Sofia sahaja yang bangun ke sungai untuk mengambil wuduk. Yang lain masih lena dibuai mimpi kerana kepenatan menziarahi puncak Gunung Tapis seharian semalam. Kami berdua menggosok gigi dan mengambil wuduk di dalam kegelapan pagi dengan hanya bercahayakan lampu suluh. Segar rasanya menghirup udara pagi yang segar tanpa pencemaran di sini. Inilah nikmat yang dapat dinikmati di sini dan ia tidak boleh dijual beli dengan apa-apa. Lantas kami bersiap untuk menaiki tebing sungai secara bergilir-gilir. Sofia mencadangkan saya naik dulu dengan dia menyuluh cahaya lampu suluh ke arah laluan saya menaiki tebing. Untuk menaiki tebing saya perlu memijak satu batang pokok yang telah tumbang. Semasa memijak batang pokok itu terasa tidak stabil dan saya hampir jatuh. Sofia menjerit, “ Cepat, cepat cikgu naik ke atas ”. Tanpa melengahkan masa saya cuba dengan kudrat yang ada untuk pantas naik ke tebing. Hampir-hampir tergelincir jatuh. “ Cikgu, saya tak nak naik ikut sini. Saya nak naik ikut sana kerana ada sesuatu di sini ” .Sofia menaiki tebing yang hampir dengan khemah pelajar lelaki. Apabila hampir dengan saya lantas Sofia berbisik, “ Cikgu, ada ular hitam sedang bergerak di bawah batang kayu semasa cikgu memijaknya ”. Di sini terasa seperti telur di hujung tanduk. Tindakan Sofia adalah bijaksana. Jika tidak saya akan panik dan bergerak maka ular pun panik. Mungkin saya akan dipatuk oleh ular hitam tersebut. Terima kasih Sofia kerana selamatkan nyawa cikgu. Jasa itu tak dapat cikgu balas dengan apa-apa kerana ia amat bernilai. Apapun cikgu doakan Sofia akan berjaya dengan kehidupan di dunia dan di di akhirat. Saya terus mengejutkan En. Yusuf dan memaklumkan apa yang terjadi. Dia terus mengambil batang kayu dan menghalau ular tersebut. En. Malik bin Karim berkata., “ Ular itu datang mencari sisa makanan yang ada di atas batu ”.
            Kejadian hampir di patuk ular tersebut adalah satu ujian dari Allah. Semasa pagi Rabu, 31 Mei 2006 saya sedang berehat di anjung dapur rumah di kampung saya di Dungun. Kelihatan dekat pokok pisang seekor ular hitam yang sedang menuju ke pintu dapur tempat saya berada. Nampaknya ular tersebut hendak masuk ke ruang dapur. Pantas saya memanggil adik lelaki saya yang sedang berehat di ruang tamu rumah.Adik dan abang berusaha mencari ular tersebut setelah mereka sampai. Bijak ular itu menyembunyikan diri dicelah batang pisang. Abang dapat mencengkam tubuh ular tersebut dengan batang besi. Ular itu menangkat kepalanya dan adik saya cuba untuk mencengkam kepalanya. Namun ular tersebur mengembangkan kepalanya dan menyembur bisa racunnya. Racunnya terkena batang lengan adik saya dan dia terus membasuh lengannya dengan air paip yang berdekatan. Semasa ular tersebut mengangkat kepalanya dapatlah kami lihat bahawa ular tersebut ialah ular senduk. Akhirnya adik saya berjaya mencengkam kepala ular tersebut setelah penat bergelut.Abang cepat bertindak membunuh ular tersebut dan memotong tubuh ular kepada beberapa bahagian yang akan di tanam. Malam hari Rabu yang sama semasa adik lelaki hendak ke dapur dia melihat ular hitam berhampiran dengan mesin kelapa. Setelah dihalau ular tersebut menyorok di belakang peti sejuk. Ayah dan adik akhirnya dapat membunuh ular hitam tersebut. Mungkin pasangan ular waktu siang tadi. Cuma bezanya ular siang tadi di tengkuknya ada warna putih.
Khamis malam 1 Jun 2006, biasanya 330 pagi dah bangun tapi malam ni tak terkejut. Lena tidurku pada malam itu. Tepat jam 500 pagi saya tesentak dari mimpi. Ya Allah syukur hambamu ini selamat. Saya bermimpi berada di suatu kawasan yang berumput hijau subur terbentang luas. Tiba-tiba terasa ada sesuatu yang mencengkam kaki ini. Rupanya seekor ular hitam membelit kaki kanan saya. Memang kuat dan bagaikan tak mahu melepaskan kaki saya hendaknya.Ular senduk itu mengangkat kepalanya bagaikan mahu mematuk saya. Muncul abang saya dan dia seolah memberi arahan kepada saya untuk memijak kepala ular itu dan dia akan bertindak membunuhnya. Akhirnya ular itu tewas dan dibunuh oleh abang saya. Seminggu sebelum itu, pada suatu pagi telah aku bermimpi berada betul-betul di depan Kaabah di Tanah Suci seorang diri. Berdiri di depan Kaabah dan hanya terus memandang dengan diam seribu bahasa tanpa bergerak. Lantas diri ini terkejut dari tidur  jam 5 pagi dan bersiap untuk menunaikan solat sujud sejadah di pagi Subuh Jumaat yang penuh berkat. Apakah tandanya ? Itu semua adalah ketentuan Tuhan. Mungkin akan datang suatu fadilat atau kebaikan yang dikurniakanNya. Walau apa pun hambamu ini hanya berserah padaMu. Harus ada rasa bersyukur di setiap kali ujian menjelma. Itu jelasnya membuktikan Allah mengasihimu setiap masa. Diuji tahap keimanan, sedangkan ramai terbiar dilalaikan. Hanya yang terpilih sahaja antara berjuta mendapat rahmatNya. Allah amat rindu mendengarkan rintihanmu berpanjangan. Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi segala ujian diberiNya. Maka hendaklah kamu bersyukur selalu dan berdoa sentiasa.
Entahlah mungkin semuanya ujian Allah untuk  menguji saya. Pasti datang saat itu janji Tuhan pasti berlaku. Ingatlah bahawa ujian selalu seiring dengan perjuangan. Oleh itu, ia tetap memerlukan bekalan iman, sabar dan istiqamah. Ujian dijadikan Tuhan untuk mengukur tahap keimanan seseorang itu kepada Allah dan seluruh ajaranNya adalah benar dan diikuti oleh perlakuan dan tindakan atau hanya terhenti setakat di mulut sahaja. Umat Islam akan diuji dengan lima perkara iaitu saudara seagama yang sentiasa dengki terhadapnya, orang munafik yang sentiasa membencinya, orang kafir yang sentiasa memeranginya, syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkannya dan bisikan hawa nafsu yang sentiasa menggoncang keimanannya. Semuanya ini menuntut kesabaran dan di dalamnya terdapat ganjaran pahala yang besar daripada Allah. Lawan bagi sabar adalah mengeluh dan merupakan perbuatan yang amat dilarang oleh agama kerana mengeluh akan melemahkan semangat dan menerbitkan kecewa serta putus asa sedangkan Allah berfirman yang bermaksud, “ Sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan ”. ( Al-Insyirah : 6 ). Yang penting, sering sematkan dalam hati, tanpa masalah atau ujian, tidak akan lahir kematangan kerana pengalaman dalam menyelesaikan masalah adalah guru terbaik dalam menjamin kejayaan kehidupan.
Selesai solat Subuh kumpulan kami bersiap menyediakan sarapan pagi. Pagi itu kami makan nasi putih berlaukkan sardin. Kami telah dinasihatkan oleh En Yusuf agar mengisi perut agar mempunyai tenaga dalam perjalanan pulang. 830 pagi semua berkumpul dan doa dibaca oleh seorang pelajar agar perjalanan pulang kami dari destinasi menziarahi puncak Gunung Tapis diiringi dengan perlindungan Allah segala bahaya dan mendapat keberkatan. 855 pagi kami berehat dan berkumpul sejenak. Jam 900 pagi kami meneruskan perjalanan. Tepat jam 1000 pagi kami tiba di Base Camp 2. Itupun setelah terbabas melakui trek perjalanan lama yang berlumpur. Habis kasut kami terbenam di dalam tanah jerlus. 1030 pagi kami meneruskan lagi perjalanan. 1140 pagi kami berehat sejenak di bawah rimbunan pokok buluh. Matahari terik memancarkan sinarnya di atas kepala kami. Kehausan amat terasa  di anak tekak kami. Setelah dikira jumlah ahli ekspedisi didapati 4 orang pelajar hilang. Mereka berada jauh di hadapan kerana tiupan wisel kami tiada balasan. Terlampau pantas mereka berjalan meninggalkan kumpulan di belakang. Semasa berehat dapat kami berpaling ke belakang dan melihat puncak Gunung Tapis yang telah kami naiki semalam. Bagaikan mimpi melihat ketinggian dari jauh puncak Gunung Tapis. Itukah gunung yang telah kami naiki ? Apapun itu semua adalah kuasa Allah. Jam 1150 pagi kami meneruskan perjalanan kerana bimbang 4 orang pelajar yang berada di hadapan. Bahaya yang muncul kita tak tahu bila ia akan datang. Perlu sentiasa berwaspada lagipun 4 orang pelajar tersebut masih mentah. Jam 1230 tengah hari kami berhenti rehat sejenak setelah berjumpa dengan 4 orang pelajar tersebut yang berhenti rehat. Setelah diberi nasihat kepada mereka dan didenda membawa beg kawan mereka yang berat serta bertukar beg mereka yang ringan kami meneruskan perjalanan.
Kami melintas anak sungai. Jam 130 petang kami berhenti rehat di Sungai Besar dan menikmati juadah tengah hari. Beberapa orang pelajar menangkap anak ikan kelah untuk dipanggang dan dinikmati oleh kami. Manis rasa isi ikan tersebut kerana masih segar ditangkap hidup dari sungai. Masing-masing sibuk untuk menyediakan juadah tengah hari. Kami perlu pantas kerana lori sudah tersedia menunggu  kami.
Jam 230 petang kami meneruskan destinasi kami.Kelihatan lebihan makanan yang ditinggalkan di dalam beg plastik. Saya kutip makanan yang masih dalam tin  yang belum dibuka dan agihkan kepada para pelajar agar membawanya pulang  untuk dinikmati setibanya di asrama nanti. Jika di lihat program realiti TV3 “ Rancangan bersamamu ” mempunyai mesej kewangan yang sangat kuat kepada kita terutamanya yang suka membazir sama ada disedari atau tidak. Jangan katakan orang tua, di zaman ini anak-anak kecil secara halus dipupuk sikap membazir ini. Pembaziran juga boleh mengakibatkan pembalasan semasa di dunia atau akhirat seperti kisah ahli sufi dan seorang hartawan.
Tersebut kisah seorang hartawan yang cuma memakan nasi yang ditanak dari sejenis beras wangi yang amat mahal. Nasi atau beras basuhan yang tidak habis dibuang begitu sahaja, tidak langsung diberikan kepada fakir miskin. Saluran pembuangan ialah melalui longkang yang mengalir melalui pondok seorang ahli sufi. Setiap kali bila ada peluang ahli sufi ini akan mengaut beras terbuang tadi, membasuh lalu mengeringkannya. Kemudian dia akan memasak beras tadi menjadi kuih nasi kering lalu disimpannya. Kuih tadi disimpan tidak dimakannya langsung, entah untuk apa tidak diketahuinya jua.
Sudah 18 purnama berlalu, si hartawan mengalami masalah kewangan perniagaan sehingga muflis. Segala kekayaannya terkikis perlahan-lahan dan kawan-kawan rapat dahulu pula segan menunjukkan muka. Terpaksalah dia meminta sedekah untuk menyara hidup. Akibat terkejut dengan perubahan nasibnya, semangat untuk bekerja turut layu. Suatu hari ketika meratapi nasibnya tanpa disedari dia lalu di hadapan pondok kecil kediaman ahli sufi bekas jirannya. Oleh kerana terlalu lapar dia pun menyeru meminta sesuap nasi. Ahli sufi masih mengenali jirannya yang dahulu kaya-raya. Dia agak terkejut melihat keadaan hartawan yang miskin tetapi cepat-cepat menyembunyikan perasaannya. Lantas dia masuk mengambil beberapa ketul kuih nasi kering lalu menghulurkannya kepada si hartawan yang sedang kelaparan. Dia memerhatikan sahaja hartawan tadi melahap kuih tersebut. “ Wangi ! Sedapnya ! Dari mana tuan hamba dapat kuih ni ? ” tanya hartawan dengan mulutnya masih penuh makanan. Sambil menghulurkan secawan air, si sufi menjawab “ Dari rumah tuan juga ”.
Si hartawan terlopong sebentar, terhenti terus kunyahannya. Ahli sufi tadi tersenyum mengisyaratkan supaya minum air lalu bersuara, “ Bukan curi tetapi saya ambil yang tuang buangkan dahulu ”. Kemudian dia menerangkan lebih lanjut tentang asal-usul kuih nasi wangi yang ditadah, dimasak dan disimpannya dengan cermat. Berlinang air mata si hartawan mendengar penjelasan ahli sufi sehingga terpaksa duduk di atas tanah mengenangkan sikap angkuh dan borosnya dulu. Si sufi pun duduk memegang bahu si hartawan lalu memberi nasihat. “ Sekiranya tuan membuang sesuatu yang berharga, Tuhan akan mengambil kembali sumber barang tersebut kerana ia sudah tidak berguna kepada tuan. Sekarang memandangkan tuan telah menyesal, ambillah kembali bahan buangan tuan dahulu dan binalah semula kekayaan tuan”.  Rupa-rupanya atas firasat anugerah Tuhan, ahli sufi tadi setia menyimpan kuih-kuih yang berjaya diselamatkannya dalam sebuah bilik kecil sehingga penuh sampai ke bumbung.
Akhir kisah, si hartawan tadi berjaya menjual kuih beras wangi tadi dan hasil jualan dijadikan modal untuk menghidupkan perniagaannya. Semangat lamanya cergas semula dan tidak lama kemudian semua kekayaannya dulu berjaya di himpun kembali. Cuma kali ini beliau cuma memakan beras biasa, memberi nasi beras wangi kepada fakir miskin dan giat mendalami ilmu akhirat. Tentang ahli sufi tadi, entah ke mana perginya tiada siapa yang tahu. Memang kebiasaannya menghilang diri mengabdi kepada Tuhan, bebas dari keriuhan manusia yang mengejar pangkat dan wang. Masyarakat sekeliling sudah lali dengan perangainya yang pergi dan datang tanpa isyarat dan tanda. Tetapi kali ini mungkin dia tidak akan kembali, mungkin tugasnya di tempat ini telah selesai. Mungkin ada masyarakat lain di kampung lain memerlukan kehadirannya.
Setiba di selekoh Base Camp 1 kami singgah untuk mengambil barang yang ditinggalkan. Sepanjang perjalanan kami terpaksa berhujan. Hujan lebat yang turun bagaikan menangisi kepulangan kami. Jika ada rezeki akan kami berkunjung lagi ke sini. Kalau hujan macam ni maka pacat pun banyaklah. Kelihatan pacat bagaikan bermaharalela di atas lumpur. Kadang-kadang ada antara kami yang tergelincir jatuh kerana tanah lumpur yang licin. Kami pantas berjalan dan tanpa henti kerana jika berhenti kami akan terasa penat dan malas untuk meneruskan perjalanan. Tambahan pula hujan turun amat lebat. Sepanjang perjalanan kami menyusuri sungai yang deras mengalir berliku.
Jam 415 petang kami tiba di sungai Kliu yang akan kami rentasi sebelum menaiki lori. Kelihatan mereka yang tiba awal membasahkan diri di dalam sungai. Saya tidak melepaskan peluang ini untuk turut sama berendam di dalam sungai .2 buah lori sudah sedia menanti kami tapi kami mengambil kesempatan kali terakhir untuk menikmati air sungai sementara menunggu ketibaan En.Yusuf dan tuan pengetua En. Malik bin karim. Jam 445 petang kelihatan dari kejauhan En.Yusuf dan tuan pengetua En. Malik bin Karim tiba di pinggir sungai. Semua naik ke darat dan membersihkan diri serta mengangkat semua beg masing-masing ke dalam lori yang sedia menanti.
450 petang kami menaiki 2 buah lori yang telah setia menunggu dari jam 3 petang lagi.Sekali lagi terasa seperti pendatang Indonesia yang akan di hantar menuju ke ladang kelapa sawit untuk melakukan kerja memetik buah. Pengalaman yang indah yang tak boleh diceritakan. Cuma mereka yang mengalami sahaja yang dapat merasainya.Gelak ketawa dan saling ingat mengingat antara kami agar berhati-hati dengan dahan pokok yang akan kami harungi sepanjang perjalanan menaiki lori.Cikgu Shahril menyanyi dengan riang, Cikgu Azli dan Cikgu Salim dengan lagak orang asli yang mencuit hati. Kegembiraan adalah milik sesiapa sahaja dan boleh diraih di mana-mana sahaja ! Ada anak raja yang hidup di dalam istana tetapi berduka cita dan ada anak desa yang hidup di dalam teratak usang tetapi hidup mereka gembira dan boleh berkawan serta bergembira bersama.
Tiba-tiba, ku sangka panas akan berpanjangan rupanya hujan di dalam perjalanan. Awan hitam pekat di kejauhan jelas kelihatan.Hujan dah turun dan akhirnya semua basah kuyup kecuali kedua-dua pemandu,pengetua, guide yang di sayangi En Yusuf serta Cikgu Azli dan Cikgu Salim.Bernas dan beruntung juga Cikgu Azli dan Cikgu salimkerana berada di dalam Pocong askar milik Cikgu Salim di belakang lori.Sekali sekali cikgu Hashim, Cikgu Syawal dan Cikgu Zaid bin Muda cuba membongkar pocong tapi dapat diselamatkan oleh mereka berdua. Yang amat nyata cemburu yang membengkak di jiwa ialah cikgu Azhar kerana basah kuyup tetapi member 2 orang di belakang iaitu cikgu Azli dan cikgu Salim kering tanpa setitis air hujan. Lucu betul telatah mereka . Muncul idea pelajar untuk mengeluarkan tikar untuk dijadikan atap. Berebut masing-masing menarik tikar tersebut tapi sudah terlambat kerana sudah basah kuyup.Tidak dapat diselamatkan lagi. Jam 510 petang kami melalui chalet yang indah di seberang sungai. Satu hari kalau panjang umur akan kami berkunjung ke sini.520 petang kami melihat muara Jeram Pelangi yang dikatakan indah oleh tuan pengetua. Hati ini memberontak satu hari akan tiba masa dengan izin Illahi akan saya jejaki walau sesaat jeram tersebut. 535 petang kami tiba di persimpangan yang menuju ke Ladang Rusa Sungai Jin yang mana di situ  juga wujud perkampungan orang asli.Oh, di sini baru terasa sudah kembali ke pinggir bandar. Kenapa ? “ Dah nampak tiang letrik, lega dah nak sampai rupanya ”, kata cikgu Basri. Maklumlah 4 hari tak tengok lampu. Selama dalam hutan asyik tengok kunang-kunang aje.
Sepanjang menaiki bas perjalanan pulang dari Sek.Men.Keb.Sungai Lembing ( SMKSL ) kami diringi dengan lambaian pulang oleh para penduduk bandar Sungai Lembing. Keramahan, keikhlasan dan kemesraan penduduk di sini akan kami semat di sanubari hati kami agar jika panjang umur akan kami berkunjung lagi ke bandar Sungai Lembing satu ketika nanti. Keindahan semulajadi yang wujud di Sg. Lembing akan meninggalkan memori indah yang mengusik kalbu hati untuk kami tinggalkan.Sepanjang di dalam bas walaupun kepenatan yang mengiringi kepulangan tapi mata ini tidak mahu tertutup.Entah bila lagi akan saya nikmati keindahan Illahi yang masih asli dan tulus suci di Gunung Tapis. Masih terbayang Taman Bonsai 2 yang amat indah di puncak Gunung Tapis. Selama ini hanya terdengar di halwa telinga ini “ Indah seperti berada di kayangan”. Benarlah kata-kata itu, keindahan Taman Bonsai 2 membuktikan bahawa indahnya berada di kayangan. Tapi keindahan syurga yang hakiki adalah lebih dari itu.Apa yang saya lihat di dunia ini mungkin hanya secebis sahaja keindahan syurga.Ya Allah, berikanlah hambamu ini kekuatan untuk menuju ke syurgamu yang hakiki dengan semangat yang engkau kurniakan untuk diriku terus tabah dalam menghadapi pancaroba kehidupan ini duniamu yang amat merintih lesu dan banyak cabaran.
Benar kata orang-orang yang terlebih dulu makan garam. Apabila kita dekat dan bergaul dengan mereka yang lebih dewasa banyak ilmu baru yang dipelajari. Ilmu yang amat bermakna dan akan kekal di memori ingatan serta sanubari saya dikutip di sini. Apa yang penting ialah destinasi yang dilalui oleh saya dalam perjalanan menuju ke matlamat yang utama iaitu puncak Gunung Tapis. Begitulah kehidupan kita destinasi yang kita lalui dalam mengharungi perjalanan hidup adalah pengajaran yang amat bermakna dan bernilai serta tidak terhitung dan tak boleh dijual beli dalam menuju pengakhiran kehidupan kita yang sebenar. Pengalaman silam mengajar kita erti hidup. Perjalanan waktu sering menghambat kita. Semalam dan kelmarin telah berlalu meninggalkan sejarah dalam kehidupan. Esok, lusa dan akan datang merupakan impian dan wawasan. Tetapi kehidupan adalah dari saat ke saat, bukan hari semalam dan  bukan hari esok.
Peringatan buat diriku yang sering lupa. Adakah kita seorang Islam ?Pernahkah kita terfikir... Hidup kita ini hanyalah sementara. Sampai masanya kita akan pergi menemui Allah. Apakah bekalan dan persediaan kita menempuh hari kematian. Dalam kita mengejar kejayaan dunia, kita sering lupa bahawa tujuan hidup kita yang sebenar.. apakah pilihan kita? Beruntunglah orang-orang yang berebut-rebut menagih ihsan dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya keredhaan Allah yang kita cari. Dunia yang semakin tua ini sering dilanda masalah, bermula daripada jerebu, kegawatan ekonomi, timbul pula gejala murtad, Fitnah, gempa bumi, peperangan dan bermacam-macam lagi. Ini sebenarnya adalah ujian Allah kepada kita. Adakah kita benar-benar menginsafinya. Semua ini juga adalah bala dan tanda kemurkaan Allah. Adakah kita benar-benar seorang Islam? Maka, adakah kita fikir bahawa kejayaan kita di Universiti dapat membawa kita ke Syurga? Adakah kita fikir bahawa kejayaan kita adalah kerana usaha dan ikhtiar sendiri. Tidak malukah kita mengaku diri kita hebat, bijak, rajin .Sebenarnya semua adalah kurnia Allah. Segala kelebihan yang ada pada kita adalah datangnya dari Allah. Apakah kita fikir Allah itu akan menyukai hambaNya yang tidak bersyukur.Adakah kita yakin kita seorang Islam? Sedangkan Rabiatul Adawiyah tidak mahu melupakan Allah walau sedetik sekalipun. Hassan Al-Basri pula menangis sampai berjujuran airmata kerana menyesal melupai Allah dalam beberapa minit. Tetapi, mengapa kita masih leka di buai perasaan. Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berzikir kepada Allah. Tidakkah kita berasa rugi kerana kurang berselawat kepada Rasulullah. Siapa diri kita sebenarnya, Firaun? Tentu tidak. Jadi, siapa kita sebenarnya, wahai manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina, apakah kita yakin kita bertuhankan Allah? Maka, mengapa kita tidak mahu mengejar Dia. Mengapa kita masih mendedahkan aurat? Mengapa kita masih tidak mahu menuntut ilmu Syariat, Tariqat, Hakikat, dan Makrifat, Feqah dan Tasauf. Dapatkah kita menghuraikan cabang-cabang ilmu tersebut. Tidak malukah kita kerana gagal menghuraikannya, jauh dari mengamalkannya. Adakah kita harus mempersalahkan puak-puak kristian yang berjaya memurtadkan ribuan umat Islam jika kita sendiri gagal memperhebatkan pertahanan diri. Ketahuilah, sesungguhnya Iblis itu amat suka kepada mereka yang tidak berilmu. Sedarilah bahawa, kejahilan boleh menyebabkan dosa. Dosa,kita tidak takut dosa.
Berapa banyak amalan kita yang boleh menghapuskan dosa seharian? Apakah kita begitu yakin untuk menempuh akhirat ? Siapakah kita menjelang hari kematian ? Adakah kita seorang Islam. Bersediakah kita berhadapan dengan malaikat maut. Apakah kita merasakan diri kita terlalu mulia sehingga tidak ada daya untuk menjauhkan diri dari perbuatan mungkar.Kita pergi kuliah, pergi kerja. Kita yakin kita telah menutup aurat? Kita solat. Kita yakin solat kita tidak tercela? Kita makan. Kita yakin rezeki yang kita jamah diredhai Allah? Kita minum. Kita yakin di akhirat kelak kita akan dapat minum seperti yang kita minum sekarang? Kita berpuasa. Kita tidak malu pada Allah kerana menarik balik nikmat kesihatan? Siapa Kita ? Kita adalah manusia yang berasal dari sekepal tanah yang hina dina. Betapa hinanya kita tapi, kita masih mampu tersenyum dan tertawa. Bersedialah menempuh hari selepas kematian, bersedialah untuk menempuh sakaratul maut. Burulah cinta Allah, sebelum Allah menutup pintu rahmatnya. Sesungguhnya kematian itu adalah sesuatu yang pasti. Siapa kita.
Kehidupan dan pengalaman semasa berada di belantara yang menghijau pepohon merimbun dan membiru seindah awan adalah satu pengalaman sukar diceritakan. Merdu dan gemersiknya bunyi arus sungai dan kicauan unggas hutan menggamit jiwa dan nurani insan yang berada di dalam belantara yang indah nian. Setenang mengalir air sungai akan membentuk jiwa insan yang tenang dan damai dalam menghadapi komuniti era globalisasi. Jiwa murni yang akan terdetik dan tercipta di dalam menghayati  keindahan Illahi akan membentuk insan yang murni pengorbanan dalam mengharungi perit getir dan susah payah membina kehidupan di dalam komuniti yang bercabang dan bersimpang siur arah tujunya. Kedamaian yang wujud di belantara akan dirasai dan dinikmati hanya oleh mereka yang kenal erti cinta Illahi yang hakiki.
Semasa berada di belantara seseorang insan akan diuji dengan pelbagai masalah untuk menguji ketahanan fizikal dan mental mereka. Ujian tersebut hanyalah secebis ujian yang kecil tak setanding ujian Illahi untuk hambanya dalam meniti kehidupan.Lebih besar kesulitan yang akan dialami maka lebih besarlah kejayaan yan akan dicapai. Sebesar mana masalah, ia akan menjadi sejarah juga akhirnya dan dijadikan iktibar. Setiap masalah ada jalan keluarnya. Hidup ini bukan berenang di lautan madu. Ia sukar dan memang banyak masalah. Ada pepatah menyatakan bahawa angin yang tajam membentuk jurang yang dalam. Sementara peraturan yang tajam membentuk manusia yang hebat. Dalam dunia ini ada dua jenis manusia. Yang pertama orang yang tidak mudah putus asa, mereka jatuh tetapi berani bangun semula. Sementara yang kedua menganggap dirinya bodoh atau lemah kerana lahiriahnya yang miskin atau tidak pandai. Orang yang pertama akan menganggap dunia penuh dengan cabaran. Nak tak nak kena hadapi tak boleh lari. Sementara yang kedua menganggap dunia berhutang dengannya. Masalah mestilah dihadapi dengan berani.Barulah kita akan menuju kepada kejayaan yang diredhai Allah.
Kita semua ingin melakar kejayaan, maka semua pihak mestilah bersungguh-sungguh, tidak mudah berputus asa, sanggup menerima apa jua cabaran dan pendirian tiada halangan hanyalah peluang. Bak kata pepatah, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Selepas puas berusaha, semua pihak mestilah memohon doa agar Allah S.W.T memperkenankan impian kita supaya menjadi realiti. Ingatlah bahawa tiada daya dan upaya bagi diri kita melainkan dengan pertolongan Allah S.W.T jua yang maha kuasa.
Akhirnya kami menawan puncak Gunung Tapis
Akhirnya kata, sebagai pengikat bicara dalam meniti era globalisasi yang penuh pancaroba ini. Daripada Suhaib ibni Sinan r.a. katanya : Keadaan seorang mukmin adalah mengagumkan, sekalian pekerjaannya adalah merupakan kebaikan untuknya. Kelebihan tersebut hanya untuk mereka bukan orang lain. Sekiranya dia memperoleh kesenangan, dia bersyukur, maka yang demikian itu adalah kebaikan untuknya dan sekiranya dia ditimpa kesusahan atau bala bencana, dia tetap bersabar, maka yang demikian itu juga adalah kebaikan ( dapat pahala ) untuknya.Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w menegaskan rasa kagum ( hairannya ) terhadap setiap mukmin. Segala urusannya adalah menguntungkannya. Sekiranya dia dikurniakan nikmat kesenangan, dia bersyukur dan tidak menderhakai Tuhannya dengan nikmat pengurniaan tersebut, malah digunakan nikmat itu kepada jalan yang diredhai. Dan sekiranya ditimpa bala bencana atau kesusahan hidup, dia tetap menerimanya dengan sabar, maka untuknya juga pahala ganjaran yang berlipat ganda. Demikian keadaan mereka yang faham dalam agama dan arif dengan Tuhannya.
Bergambar di puncak gunung Tapis Sungai Lembing Pahang