Pages

Monday 24 August 2015

MOUSE SCANNER LG LSM 150

https://www.youtube.com/watch?v=olEybJ-9Ok4

HUKUM SAPU ATAS STOKIN DALAM WUDHU'

Cara sapu

Hukum usap Khuuf

https://www.youtube.com/watch?v=EgjOxB6dhHQ

Soalan

Harap tuan dapat memberi penjelasan berhubung menyapu khuf mengikut sunnah dan syarat-syaratnya. Adakah stokin tebal dianggap khuf ataupun terhad kepada kasut kulit sahaja.

Jawapan

Dengan nama Allah yang maha pemurah dan maha penyayang, Segala puji baginya dan selawat dan salam atas junjungan besar s.a.w. wa ba'du;

Salah satu rukun wudhu' ialah membasuh kaki. Ini berdasarkan firman Allah dalam surah (al Maidah) ayat(6).

Ayat ini memberi erti bahawa orang yang mengambil wudhu' hendaklah membasuh kaki" mereka dengan air dan ia adalah hukum asal dalam masalah berwudhu'.

Menyapu khuf seperti yang bincangkan oleh ulama' adalah satu bentuk kelonggaran yang dibolehkan oleh syarak berdasarkan athar atau hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan bahawa baginda menyapu khuf menggantikan fardhu membasuh kaki.

Jumhor ulama' mengharuskan "sapu khuf" sebagai ganti kepada basuh kaki dalam wudhu', sesetengah pula mensyaratkan keadaan musafir dan ada golongan yang mengetatkan sehingga tidak mengharuskannya langsung.

Adakah Harus Sapu Atas Stokin?

Ulama' yang mengharuskan sapu pada khuf beselisih pendapat mengenai stokin. Mereka yang mengharuskan antaranya Mohd, Abu Yusuf(kedua-duanya merupakan murid kepada Abu Hanifah) dan Sufwan at Tahuri, bersandarkan kepada hadis yang di sahihkan oleh Termizi yang menyebut bahawa Nabi s.a.w menyapu atas stokin. Mereka juga menyamakan stokin dengan khuf dan mengkias hukum stokin dengan hukum khuf.

Mereka yang tidak mengharuskannya antaranya Syafe'i, Malik dan Abu Hanifah, menganggap hadis itu tidak sahih atau ia tidak sampai kepada mereka. Dan mereka juga menganggap bahawa isu sapu khuf adalah persoalan ibadah yang tidak boleh dikiaskan.

Al Qardhawi mentarjih pendapat pertama yang mengharuskan sapu pada stokin. Abu Hanifah dikatakan telah merujuk kepada pendapat muridnya dan mengharuskan sapu pada stokin dengan syarat tebal. Begitulah yang difatwakan dalam mazhab Hanafi.

Kata al Qardhawi;

" apabila sesaorang mengambil wudhu' dan memakai stokin dalam keadaan suci, kemudian terbatal wudhu'nya dan ia ingin memperbaharui wudhu'nya, ia boleh menyapu atas stokin selama 24 jam bagi muqim dan 3 hari tiga malam bagi musafir".

Cara, Tempoh Dan Syarat Menyapu Khuf

Jumhor mengatakan khuf wajib disapu dibahagian atas dengan sekurang-kurangnya tiga jari ditarik dari bawah keatas pergelangan kaki. Ulama' berselisih mengenai sapu dibahagian bawah, ada yang mengatakannya wajib dan ada yang sunat.

Malik tidak menghadkan tempoh bagi menyapu khuf. Selama sesaorang tidak memecatnya atau berjanabah ia boleh menyapu khuf. Abu Hanifah dan Syafe'i menetapkan tempoh tiga hari bagi musafir dan satu hari bagi muqim bersandarkan hadis Ali dan Hadis Safwan.

Tentang syarat menyapu khuf ulama' bersepakat bahawa kaki sebelum memakai khuf hendaklah dalam keadaan suci berwudhu'.

Saturday 22 August 2015

SUSU IBU vs SUSU LEMBU

SYUKUR SELALU

Alhamdulillah a’la kulli haal. Saya bersyukur kepada Allah Azza wajalla kerana berada di kalangan rakyat Malaysia yang peka dan sentiasa berusaha  memartabatkan fakta dan kebaikan. Indahnya apabila kita tetap mencintai kesatuan meskipun diterjah pelbagai pemikiran. Syukuri persamaan. Raikan perbezaan.

SEDIAKAN HATI

Berbeza pendapat itu biasa. Berpecah itu binasa. Firman Allah SWT bermaksud: “ Kalau Allah mengkehendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (sahaja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap kurnia yang diberikan-Nya kepadamu. Maka, berlumba-lumbalah membuat kebajikan. Hanya kepada Allah kamu semua kembali. Lalu, diberitahukan-Nya kepadamu terhadap apa yang dahulu kamu perselisihkan.” (Surah al-Maidah: 48).
Berbincang dan bertukar-tukar pandangan dengan penuh hormat adalah satu episod hidup yang indah. Tanpanya, hidup akan hambar. Pesan Nabi yang penuh akhlak bersaudara, “Barangsiapa mengkafirkan seorang atau ia panggil, “Hai, musuh Allah.” Padahal tidak ia begitu, melainkan kembalilah (panggilannya) itu kepadanya sendiri. (Hadis Riwayat Muslim). Moga Allah jauhkan kita daripada akhlak cepat melabel . Moga Allah mengurniakan rahmat-Nya untuk kita melangkah ke syurga Firdaus tertinggi bersama-sama. Aamiiin.

PENJELASAN  
              
Biasa terjadi dalam ayat sesempurna al-Quran sendiri, bila mana ayat yang sama, tapi difahami dengan maksud berbeza oleh oran g yang berbeza dengan pemikirannya yang berbeza. Apatah lagi ayat-ayat yang datang daripada manusia yang tidak sempurna seperti saya, kadangkala ia difahami dengan maksud yang tidak seperti yang saya maksudkan. Moga taaruf dan baik sangka akan menjernihkan suasana.
Berikut saya perjelaskan pendapat saya yang boleh diterima atau ditolak. Saya sedar, saya tidak maksum. Berpotensi untuk betul atau salah. Saling bermaafan, satu kesembuhan.

1     Jelas Isunya Dahulu

Susu lembu baik untuk keperluan harian kita. Kita memang sangat memerlukan susu lembu dan menghargainya. Tiada siapa nafikan ia memang ‘baik’ untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Islam memang anjurkan memilih makanan yang baik-baik seperti ini. Itu bukan isunya.
Isunya sekarang ialah susu lembu atau susu formula pada bayi. Menurut kajian yang diakui merata dunia, susu lembu bukanlah makanan yang ‘terbaik’ untuk bayi terutamanya yang berusia bawah 6 bulan dan diteruskan hingga usianya 2 tahun.

2     Susu Ibu dengan Susu Lembu, Samakah?

Ramai yang menganggap semua susu adalah sama. Menurut Rita Rahayu Omar, dalam bukunya Hebatnya Susu Ibu, (sebuah buku yang dihadiahkan oleh seorang doktor pakar, penganjur Sambutan Hari Susu Ibu Sedunia peringkat sebuah negeri), semua haiwan mamalia menghasilkan susu dan semua anak mamalia menyusu. Manusia tergolong dalam kumpulan mamalia.

Setiap haiwan menghasilkan susu unik sesuai keperluan anaknya. Contohnya, ikan paus menghasilkan susu berlemak tinggi kerana anak ikan paus memerlukannya di air sejuk.

Anak manusia perlukan nutrien untuk membantu perkembangan otak. Susu ibu mampu menyediakan keperluan ini.

Susu lembu pula, ia mengandungi kandungan asas nutrisi seperti lemak, protein, karbohidrat, vitamin dan mineral. Namun, ia terlalu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan keajaiban khasiat susu ibu untuk bayi manusia. Hanya susu ibu yang lebih dekat dengan keperluan bayi manusia.

Beza yang Terlalu Ketara Bagai Bumi dengan Musytari.

Sejauh manakah perbezaan susu ibu dengan susu lembu untuk bayi ini? Allahu akbar, jauh bandingannya. Nilailah sendiri dengan jadual[1] ini. (Tolong jangan langkau membaca  jadual ini kerana ada banyak bukti kebesaran Allah di dalamnya. Jom, baca setiap poinnya sambil bertasbih, Subhanallah).

NUTRIEN
SUSU IBU
SUSU FORMULA
Lemak
  • Kaya dengan pembina otak 3 iaitu DHA dan AA.
  • Susu ini boleh automatik menyesuaikan diri dengan keperluan bayi. (Bagaimana? Lihat di bawah)
  • Dalam cuaca panas, susu ibu mengandungi banyak air. Dalam cuaca sejuk, susu ibu mengandungi lebih banyak lemak. (Subhanallah).
  • Kandungan lemak berkurangan apabila bayi meningkat usia.
  • Kaya kolestrol.
  • Hampir mudah diserap.
  • Mengandungi enzim lemak-pencernaan, lipase.

  • Mengandungi DHA yang bukan semula jadi.
  • Tidak sesuai dengan keperluan bayi.
  • Tiada kolestrol.
  • Sukar diserap.
  • Tiada lipase.
Protein
  • Lembut. Dadih susunya mudah dihadam.
  • Kandungannya lebih tinggi di kalangan ibu yang melahirkan bayi pramatang.
  • Lactoferrin untuk kesihatan usus.
  • Lysozyme, antimicrobial.
  • Kaya dengan komponen protein pembina otak dan tubuh.
  • Kaya dengan faktor pertumbuhan.
  • Mengandungi protein pencetus tidur.
  • Dadih kasien yang sukar dihadam.
  • Tidak sepenuhnya diserap. Menyebabkan pembaziran.
  • Tiada atau hanya sedikit lactoferrin.
  • Tiada lysozyme.
  • Kurang protein pembina otak dan tubuh.
  • Kurang faktor pertumbuhan.
  • Tidak mengandungi banyak protein pencetus tidur.
Karbohidrat
  • Kaya laktosa.
  • Kaya inoligosaccharides yang menggalakkan kesihatan usus.
  • Tiada laktosa di dalam sesetengah jenis susu formula.
  • Kurang oligosaccharide.
Penggalak sistem imun
  • Setitis susu ibu mengandungi lebih satu juta sel darah putih. Ia berfungsi memakan kuman.
  • Kaya dengan immunoglobulin.
  • Tiada sel darah putih atau jenis sel yang lain. Makanan ‘mati’ mempunyai kurang kebaikan immunological.
  • Sedikit immunoglobulin.
Vitamin dan Mineral
  • Lebih mudah diserap terutamanya zat besi, zink dan kalsium.
  • Zat besi mampu diserap antara 50-75%.
  • Mengandungi lebih selenium (sejenis antioksidan).
  • Tidak boleh diserap dengan mudah.
  • Zat besi diserap 5-10%.
  • Kurang selenium.
Enzim, hormon dan modulator pertumbuhan
  • Kaya dengan enzim penghadaman seperti lipase dan amylase.
  • Kaya dengan banyak hormon: tiroid, prolaktin, oksitosin dan lebih daripada 15 jenis.
  • Berbeza mengikut diet ibu.
  • Membantu pelbagai sel berkembang.
  • Rasa susu bergantung kepada apa yang ibu makan.
  • Pemprosesan susu formula membunuh enzim pencernaan.
  • Pemproesan membunuh hormon.
  • Rasanya sama.
Gula
  • Jenis gula yang mewujudkan keasidan dalam salur usus bayi agar bakteria jahat tidak membiak.
  • Separuh daripada susu ibu.
Kos
  • Sekitar RM600 setahun untuk makanan tambahan ibu.
  • Kira-kira RM50 sebulan.

  • RM1980 setahun.
  • Dianggarkan bayi memerlukan 22kg susu formula untuk enam bulan pertama.
  • RM2640 setahun untuk susu formula hypoallergenic.
  • Kos untuk botol susu dan seumpamanya.



  •  (Banyak lagi...)


  •  

Jelas, susu ibu adalah pilihan yang terbaik untuk bayi. Islam memang menggalakkan kita memilih makanan yang baik-baik. Susu lembu, kambing, unta dan seumpamanya baik untuk kita yang dewasa ni, maka minumlah. 

Susu formula 'kurang baik' untuk bayi, usahlah dipilih. Antara hikmahnya, ia akan membentuk satu keperibadian yang suka pada perkara baik-baik. Bahkan Nabi kita Muhammad SAW menyediakan minda kita dalam satu hadis sahih, jika kamu minta syurga mintalah syurga Firdaus. Nabi mahukan umatnya yang moderat ini sentiasa jadi 'the best ummah'. Sentiasa pilih yang terbaik!

Susu formula yang diberikan kepada bayi, yang unsurnya tidak sama dengan susu ibu, mungkinkah natijahnya sama atau berbeza kepada si bayi? Wujudkah kesannya  pada kesihatan? Yes, wujud! Kesannya pada karakter? Tiada kesan langsung? Benarkah? 

Apapun pandangan, kasihanilah si bayi. Dia perlukan makanan yang baik. Dia tidak mampu menyuarakan sendiri keperluannya itu. Siapakah yang sudi mewakili suara hatinya?

Prof. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut dalam bukunya Fiqh al-Siyam, “Manusia, sebagaimana sering dipersepsi banyak orang, memiliki tabiat ganda. Ada unsur tanah. Ada pula unsur ruh Ilahi yang ditiupkan Allah padanya. Satu unsur menyeret manusia ke bawah. Unsur yang lain mengangkatnya ke atas. Jika unsur tanah dominan, ia akan turun ke darjat binatang atau bahkan lebih rendah daripadanya. Sebaliknya, apabila ruh Ilahi yang menguasai, ia akan melambung tinggi ke darjat malaikat.” (Fiqh al-Siyam, Dr. Yusuf al-Qaradhawi. Terjemahan: Ma’ruf Abdul Jalil, Wahid Ahmadi, Jasimin. Penerbit: Era Intermedia).  

Moga unsur tanah atau binatang tidak dominan dalam diri kita apabila kita sentiasa memilih apa yang ‘baik’ di sisi Syariat bahkan yang 'terbaik'. Memilih amalan baik. Makan benda baik. Berkata-kata yang baik. Berakhlak baik. Memilih susu ibu, susu terbaik untuk anak kita. Sesuatu yang ‘baik’ di sisi Syariat selalunya tidak bercanggah dengan akal sihat. Akal atau Sains juga akan tunduk mengakui kebaikannya.

4    Apa yang dimakan ada kesan pada karakter seseorang?

Itulah yang disampaikan oleh murabbi ummah Dato’ Abu Hassan Din al-Hafiz berkenaan susu lembu ada pengaruhnya pada karakter anak. Beliau menyampaikan ilmu itu dalam satu rancangan Tafsir al-Quran bersama kanak-kanak di kaca TV. 

Begitu juga apa yang disampaikan oleh guru yang saya segani, Ustazah Asni Mansor kepada saya sendiri sebelum penggambaran Fiqh Wanita episod Susu Yang Berkat itu dijalankan. Beliau juga menyampaikan mesej ini melalui skrip peserta Adik-Adikku dalam satu rancangan terbitan JAKIM untuk RTM. 

Lalu saya membuat bacaan lanjut.  Saya mendapati, pekanya Islam untuk menjadikan kita umat terbaik, Islam selalu menganjurkan kita memilih yang baik-baik. Makanan yang baik. Hati yang baik. Akhlak yang baik. 

Firman Allah SWT, “Mereka bertanya kepadamu (Muhammad), “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah, “Yang dihalalkan bagimu (adalah makanan) yang baik-baik.” (Surah al-Maidah: 4).

Saya menyetujui pandangan guru-guru masyarakat bertauliah itu kerana antara hikmah yang saya percaya, tatkala kita memilih makanan yang baik ia memberi kesan kepada kesihatan dan keperibadian yang baik. Tidak  dinafikan, guru-guru kita mungkin betul atau salah. Kembalilah kita memohon petunjuk kepada Allah al-Alim al-Hakim.

Antara tujuan Syariah menjaga akal dan nyawa manusia. Lihat firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 91. “Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) arak…..” Ayat ini jelas menunjukkan minum perkara haram seperti arak memberi kesan kepada karekter. Ya, susu formula bukan haram layaknya arak. Ia halal lagi bermanfaat. Namun, jika ia boleh mendatangkan kesan kurang baik pada kesihatan bayi berbanding susu ibu, tidak kah ia ada kesan juga pada karakter?

Di Eropah, kita boleh luaskan bacaan pada buku seperti ‘You are What You Eat,’ karya Dr. Gillian McKeith. Ada pengaruhnya kepada depresi dan 'sleeping disoder.' Moga ada pandangan-pandangan membuka minda yang boleh kita sama-sama fikirkan agar sentiasa memilih makanan yang terbaik. 

Jika ada pihak menolak bahawa makanan yang baik ada kesannya kepada keperibadian yang baik, itu hak mereka. Jika ada pihak sukar menerima pendapat bahawa makanan yang kurang baik, ada kesannya kepada keperibadian, itu juga hak mereka. Saya hormati. Buat masa ini, pendapat saya berkenaan hal itu belum berubah sehinggalah saya dibentangkan hujah yang lebih meyakinkan.

Pentingnya Sokongan Suami

Isteri yang mendapat sokongan suami, proses penyusuan menjadi lebih efektif. Tanpa beban emosi dengan karenah suami, dia tentu akan lebih gembira. Lalu, lebih sihat untuk menyusui anaknya.  Pengaruh kegembiraan terhadap kesihatan ini dinyatakan oleh Norman Vincent Peale, (Arnold Fox, M.D. dan Barry Fox, Ph. D) dalam bukunya The Miracle of Positive Thinking, “The human mind and body are one and the same, different aspects of the same whole-you. Unhappy thoughts are invariably reflected as diseases of the body. But happy thoughts encourage a healthy body. That is basic law.”
Disebabkan ‘basic law’ ini, saya mengambil kesempatan mengingatkan insan yang paling dekat dalam kehidupan isteri agar memberi sokongan bukan mencari yang lain.

Salah Satu Kebarangkalian Bukan Satu-satunya

Pakar-pakar laktasi yang saya hormati ti mengakui susu ibu memberikan antiobodi dan imunisasi tambahan kepada bayi dan menyebabkan bayi tersebut kurang mendapat penyakit berjangkit, alahan dan sebagainya. Tiada fakta yang bercanggah di sini.
Saya pula tidak menyatakan ‘satu-satunya’ faktor bayi menjadi lumpuh ialah kerana tidak mendapat susu ibu. Ia cuma salah satu bukan ‘satu satunya’ kemungkinan. Kemungkinan itu meskipun kecil, kebarangkaliannya tetap ada. Ada yang bercanggah?

Saya juga tidak menafikan wujudnya pelbagai faktor lain seperti penyakit berjangkit seperti polio akibat tidak mendapatkan suntikan vaksinasi polio dan sebagainya. (Belum lagi sebut isu vaksin. Saya penyokong vaksin dan mengenali ramai ibu-ibu anti vaksin. Insya Allah, ini perbincangan di sesi lain).

Jika difahami dengan fikiran positif, saya tidak nampak ada percanggahan saya dengan pakar laktasi dalam isu nombor 6 ini. Cuma kekangan masa program yang cuma berdurasi setengah jam mengekang saya daripada memberikan maklumat terperinci. Saya terpaksa memberikan satu atau dua contoh mudah sahaja.

Lagipun, saya difahamkan program ini mesti santai, perbincangan tidak terlalu berat dan target sasaran utama adalah menarik remaja dan orang muda. Maafkan saya jika ada di kalangan pihak tertentu mahukan ia mesti diterangkan secara terperinci. Saya tidak mampu menjadikan ‘input’ dalam program setengah jam ini setanding dengan kursus laktasi yang memerlukan masa sehari suntuk.

Analogi Nasi dan Air

Saya menyebut kedua-dua belah susu ‘macam’ nasi dan air secara ‘analogi’ bukan merujuk kandungannya. Tapi telah difahami secara ‘hakikat’. Saya sedia maklum bahawa kedua dua belah payudara ibu menghasilkan kandungan air, lemak, laktosa, protein dan mineral yang mencukupi untuk keperluan bayi mengikut usia. Bukannya menghasilkan nasi. (Lucu pula).

Apa yang saya maksudkan daripada ‘analogi’ itu bahawa kedua-duanya saling melengkapi bagi memenuhi keperluan bayi. Iaitu ibu digalakkan menggunakan ‘kedua-dua’ belah payudara agar bayi mendapat keperluan secukupnya. Gunakan bukan salah satu sahaja. ‘Bagaikan’ nasi yang tidak lengkap tanpa air, mesti cuba kedua duanya dahulu. Bagi ibu yang hanya memiliki sebelah payudara sahaja, (mungkin kerana kanser dan sebagainya), jangan risau kerana khasiat kedua-dua belah payu dara sama sahaja.
           
Ada percanggahan fakta?

Bila Bayi Menggigit

Jika ibu menyusukan merasa sakit, ada banyak kemungkinan. Saya memaksudkan memerhati faktor dalaman dulu. Iaitu diri ibu itu sendiri. Seimbangkah pemakanan dan airnya? Tiada sedikitpun pernyataan yang menafikan adanya faktor luaran yang lain. 

Bayi menggigit juga banyak kemungkinan termasuk mungkin ingin meluahkan kekecewaan. Dengan masa yang singkat dan tema program yang ingin santai santai, saya menyebutkan beberapa kemungkinan sahaja. Iaitu berkenaan pemakanan ibu yang tidak teratur.

Adakah kemungkinan-kemungkinan ini bercanggag dengan fakta dan langsung tidak mempengaruhi kelancaran susu ibu? Realitinya, masalah ini biasa dialami ibu-ibu termasuk yang pernah dialami oleh Halimah as Saadiyah. Bagaimana perjalanan sukar Halimah ke Makkah yang ditemani tangisan bayinya yang kehausan susu? (Rujuk Qasasul Anbiya’, Ibnu Katsir).
      
Saya tidak sesekali menafikan ada beberapa faktor dan sebab yang lain seperti pelekapan mulut bayi tidak betul, tongu tie, jangkitan kulat candidiasis dan ia mungkin merebak ke payudara ibu dan lain lain. Ia memerlukan perbincangan yang panjang  sedangkan tetamu saya adalah pelajar belum berkahwin.
   

Penyusuan Anak Angkat

Saya sangat menyarankan mereka yang ingin menyusukan anak angkat supaya bersedia lebih awal, mengikuti program berkala, mendapatkan kumpulan sokongan, mengambil semua alat bantu seperti hormon dan ubatan. Rangsangan bayi sangat diperlukan yang boleh didapati melalui sentuhan dan hisapan payudara daripada anak itu. 

Apa yang sempat saya ceritakan ada kes istimewa melalui pengalaman kawan saya seorang pelajar Ph.D berkaitan penyusuan anak angkat. Beliau bercerita,  ada ibu angkat yang berjauhan dengan bayi angkatnya (dengan rangsangan jauh, tanpa rangsangan dekat), juga mampu memerah titisan susu untuk bayinya. Saya memaksudkan betapa berkuasanya rangsangan ibu anak, meskipun berjauhan. Saya tidak memaksudkan ibu anak tidak perlukan rangsangan dekat. Saya juga tidak pernah sesekali memaksudkan semua alat bantu itu sebagai tidak perlu.

Susu formula bukan Pengganti Susu Ibu.

Saya menganggap susu formula seperti ‘rukhsah’. Susu ibu adalah ‘azimah’. ‘Rukhsah’ tidak diambil kecuali dalam keadaan memerlukan atau terdesak.  Bila saya menyebut dengan istilah ‘rukhsah’, itu menunjukkan saya tidak memaksudkan ia menjadi pengganti kepada susu ibu.

Saya bersetuju dengan World Health Organization (WHO) (17 Julai 2013) yang mengatakan pemberian susu formula sebagai follow up formula adalah TIDAK perlu dan tidak sesuai dijadikan pengganti kepada susu ibu setelah bayi berusia 6 bulan ke atas.

Saya mengatakan selepas bayi berusia 6 bulan, ‘rukhsah’ susu formula ini mungkin boleh diambil kerana pernah mengalami dan melihat sendiri realiti ibu-ibu berkerjaya yang kadangkala sakit dan stress hingga tidak sempat memerah susunya.

Saya mengingatkan, sekali kita membeli susu formula, motivasi untuk menyusu dengan susu ibu, akan menurun. Sekali lagi, ia bukan ‘pengganti’, cuma rukhsah. Apapun, saya yakin, pilihan yang paling baik sebenarnya ialah tetap meneruskan penyusuan susu ibu, bukan susu formula, sehingga bayi berusia 2 tahun. Seterusnya pilihan yang ada ialah susu perahan, susu ibu susuan dan di tangga terakhir barulah susu formula. Pandangan saya berkenaan susu formula boleh dijadikan makanan tambahan untuk kalsium (bukan pengganti susu ibu), mungkin boleh diterima dan ditolak.


Bila ditanya, jika terpaksa juga memilih susu formula, maka saran saya pilihlah susu formula yang mengandungi DHA dan AA yang tinggi, sebagai pembina otak. Hakikatnya, DHA dan AA hanya kaya dalam susu ibu. Susu formula itu, meskipun harganya mahal, khasiatnya tetap tidak dapat menandingi susu ibu. Tiada satupun saran saya agar selepas bayi berusia 6 bulan, jadikanlah susu formula sebagai ‘pengganti’ susu ibu. Saya memaksudkannya dalam kondisi ‘rukhsah’ atau terpaksa, misalnya ketika si ibu tidak sempat menyusu (mungkin kerana berkerjaya), kehabisan stok susu perahan, tiada kenalan ibu susuan dan yang ada dalam pilihannya cumalah susu formula.

Dengan ‘rukhsah’ ini, walaupun ibu tidak dapat memberikan susu ibu sepenuhnya dan terpaksa mencampurinya dengan susu formula, ia tetap satu usaha yang patut dipuji. Sebab dia sudah berjuang awalnya.

Susu Ibu, Cecair Berharga

Islam tidak mengambil berat tentang sesuatu selain pasti mengandung hikmah. Kerana akal kita terbatas, ada hikmah yang diketahui. Ada pula yang tidak. Kita yakin, Allah tidak pernah mensyariatkan suatu hukum yang sia-sia. Susu ibu disebut dalam al-Quran sudah tentu ada hikmahnya.

Saya selalu terpegun tatkala membaca kisah hari-hari kecil Nabi Muhammad SAW. Ibu baginda berusaha mencarikan ibu susuan terbaik. Demi cecair emas itu, ibu-ibu Makkah sanggup berpisah sementara dengan si jantung hati. Allah!

Harum nama Halimah Saadiah yang rela menyusui si yatim tak berharta. Bukan senang dia menempuh perjalanan ke Makkah. Bayinya sendiri sering menangis kelaparan kerana si ibu kekurangan susu. Apabila mendapat makanan dan minuman di Makkah, susunya bengkak semula. Ditambah lagi mendapat seorang bayi barakah. Makinlah susunya bak hujan mencurah.

Kisah ini diangkat dalam lipatan sejarah. Nabi SAW bahkan berbangga pernah disusui di perkampungan Bani Saad. Dari situlah, baginda terlatih dengan kefasihan lidah dan kemahiran komunikasi berkesan. Ibu yang rasa kekurangan susu, jangan risau. Belajar daripada Halimah. Kembali kepada pemakanan sihat dan minum air banyak-banyak. Insya Allah, susu akan lancar semula. (Saya ulang, golongan majoriti inilah target sasaran saya).

Bukan itu sahaja, Islam banyak mengangkat kisah-kisah penyusuan insan-insan VIP. Kisah Hajar menyusui Ismail. Kisah Nabi Musa tidak mahu disusui oleh wanita-wanita lain kecuali ibunya. Kisah Maryam menyusui Isa. Apa yang kita boleh belajar?  Islam mempersiapkan insan-insan yang hebat ini dengan permulaan yang hebat. Susu ibu!

Saya mengangkat kisah-kisah ini supaya kita sentiasa meningkatkan motivasi untuk memberikan yang terbaik buat generasi kita.

BUAT DIRIKU DAN PARA IBU SEANGKATAN

Saya percaya ibu-ibu yang saya muliakan semuanya mahu memberikan yang terbaik untuk anak mereka dengan penyusuan eksklusif selama 6 bulan pertama, seterusnya sehingga anak berusia 2 tahun. Kita juga perlu menghormati kalangan 2-6% wanita di dunia yang tidak dapat menghasilkan susu ibu secara total atau mencukupi. 

Namun, realitinya prosesnya tidak semudah yang disangkakan. Sebagai anggota masyarakat kita perlu memahami. Sebagai ibu yang mengalami, Allah menilai setiap perjuangan kita yang tidak terlihat di mata manusia. Bukan penghargaan manusia yang kita damba tapi pandangan Dia yang Maha Mengetahui yang zahir dan tersembunyi.

Majoriti ibu-ibu yang memang diciptakan ‘berpotensi’ menyusukan bayinya, perlu dibangunkan motivasi dan kesedarannya untuk terus memilih ‘susu ibu’ bukan ‘susu formula’. (Bagusnya kalau saya ada kajian tentang sejauh mana larisnya susu formula untuk bayi berusia 6 bulan ke bawah di Malaysia untuk melihat sejauh mana kesedaran susu ibu ini sudah tersebar). 

Buat para ibu yang disayangi, usah cepat mengalah dan usah cepat menghukum diri sebagai tidak mampu menyusukan bayi kerana hanya sejumlah kecil sahaja wanita yang diuji Allah benar-benar tidak mampu. 2-6% sahaja. Saya penyokong susu ibu dan mengenali ramai di lapangan ibu-ibu muda yang tidak bermotivasi untuk menyusukan bayinya dan golongan inilah yang menjadi target sasaran dalam rancangan setengah jam ini. Saya sangat menyarankan mereka mengikuti kursus-kursus laktasi bahkan saya antara peminat kursus laktasi.

PENUTUP

Dengan penjelasan ini, apa kata kita menonton episod Susu yang Berkat sekali lagi dengan fikiran positif? Fikiran yang tidak menghukum dan merendahkan sesiapa. Saling menyokong dan mendoakan sentiasa. 

Dengan masa yang terbatas, dan jadual ‘shooting’ Fiqh Wanita yang padat (sehari, ada 3 episod, melibatkan komitmen awal pagi hingga lewat petang), saya akui saya tidak mampu menjelaskan semuanya secara terperinci. Ringan dan santai sahaja. Saya pernah suarakan kepada pihak penerbit ketika penggambaran supaya banyakkan lagi menjemput bukan sekadar pelajar, tapi yang pakar. Namun, saya berusaha memahami target mereka, ringan dan santai. Apakan daya saya?

Cuba duduk di tempat saya dan bayangkan anda perlu menerangkan segala maklumat panjang lebar ini dalam suasana santai berdurasi 30 minit tidak campur iklan, sms dan sebagainya. Inipun, ada banyak soalan lagi yang tidak dilampirkan di sini. Boleh dapatkan jawapan terperinci dalam buku Ustazah, Nak Tanya Sikit.

Saya juga selamanya tidak akan mampu memenuhi kepuasan semua orang. Langkah dakwah yang saya pilih ini sememangnya tidak maju dipuji, tidak mundur dek keji, tapi kan tetap melangkah memburu janji Ilahi. Mana-mana nasihat yang baik, saya terima dan hargai. Everyday is upgrading day. 

Saya mohon maaf zahir batin andai masih ada yang salah di mata sesiapa. Saya akui, saya cuma manusia biasa. Berpotensi untuk betul atau salah bila-bila masa sahaja. Ambillah mana yang baik. Ia datang dari Allah. Mana yang buruk, tapislah dan timbanglah baru dibuang. Yang buruk itu datang dari kelemahan diri saya sendiri. Hakikat kedua-duanya berlaku, semuanya dengan izin Allah jua. Saya juga seperti kalian, mencintai kefahaman yang betul. Moga Allah akan serlahkannya tidak kira di pihak manapun ia berada. 

Akhir kata, izinkan saya menemui bayi saya. Dia perlukan susuan. Dia rindukan pelukan. Saya ingin damai di sampingnya sambil menghiburkan diri dengan sabda Nabi SAW, “Seorang mukmin yang bergaul dengan masyarakat dan sabar dengan kepedihan dan kepayahan yang ditimbulkan oleh masyarakatnya, adalah lebih besar ganjarannya daripada mukmin yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak sabar atas kepedihan, kepayahan, dan kejahatan masyarakatnya.” (Direkod oleh al-Bukhari, al-Tirmizi dan Ahmad, hadis sahih). (Jangan salah faham pula sabda Nabi ni ye. Tak perlu ada sesiapa yang tiba tiba terasa dilabel jika kita yakin kita tidak begitu. Allah berada dalam sangkaan hamba-Nya. Fikir positif dan senyum selalu).

Apa yang penting, semoga para ibu berjuang habis-habisan untuk pastikan anak kita mendapat susu ibu. Moga kita beramal. Insya Allah.

JOM SAMA-SAMA DOA

 “Ya Allah ampunilah kesalahanku, kebodohanku, berlebihanku dalam urusanku dan apapun yang Engkau lebih tahu dariku. Ya Allah ampunilah kesungguhanku, gurau sendaku, ketidak sengajaanku dan kesengajaanku kerana semua itu ada padaku. Ya Allah ampunilah aku tentang apa yang aku dahulukan (persembahkan) dan aku akhirkan. Tentang apa yang aku sembunyikan dan aku nampakkan dan tentang apa yang Engkau lebih mengetahuinya dariku. Engkau yang mendahulu dan yang mengakhiri. Engkau maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Diriwayatkan di dalam Sahih Bukhari Muslim dari Abu Musa al-Asyari r.a. Doa ini dipetik oleh Imam al-Nawawi dalam al-Azkar).

              Wassalam.
Al-Faqirah ila afwi Rabbiha,