Pages

Saturday 13 July 2019

Kanak-kanak yang anda usir daripada masjid

Terdapat notis peringatan yang ditampal di sebuah masjid di negara Arab yang cukup menarik. Notis itu berbunyi seperti berikut: 
"Peringatan: Kanak-kanak yang anda usir daripada masjid itu kerana mengganggu; kanak-kanak itu juga yang anda akan harapkan pada masa hadapan agar dia bersolat di masjid. Maka bersabarlah atas gangguan mereka dan berikan tunjuk ajar kepada mereka dengan lemah lembut."
Saya selalu pesan kepada jemaah bahawa jangan terlalu keras menegur kanak-kanak apabila mendapati mereka bermain dan berbuat bising. Kita minta mereka senyap atau bermain di luar dewan solat. Karakter kanak-kanak memang penuh dengan keriangan. 
Kanak-kanak yang suka bermain inilah semasa besar nanti akan memeriahkan masjid dan mungkin menjadi imam di surau itu. Kita akan meningkat usia. Kanak-kanak inilah yang akan menggantikan jemaah di surau.
Tetapi ada juga individu yang mempertikai "Kawan saya semasa kecil yang bising-bising tiada pun menjadi imam". Orang begini tidak perlu dilayan sangat komennya. Biarkan dia dengan tanggapan negatifnya. 
Ibu bapa juga perlu nasihat dan menjelaskan adab-adab apabila ke masjid. Kanak-kanak boleh diletakkan di tepi ibu bapa atau dalam saf kanak-kanak supaya tidak menganggu jemaah lain. Tidak perlu berpolemik tentang saf kanak-kanak.
Sekiranya kanak-kanak itu sesuai berada di saf orang dewasa maka berikan tempat itu kepada mereka. Namun keutamaan diberikan kepada orang dewasa. Jangan hanya kerana tubuh kanak-kanak yang kecil maka kita menarik dia daripada saf tersebut. 
Didiklah kanak-kanak dengan baik dan lemah lembut tentang adab-adab di masjid kerana mereka adalah generasi pelapis pada masa hadapan.
Dr. Abdél Rahmanov
12 Julai 2019

No comments:

Post a Comment