Pages

Monday 28 August 2017

NIAT MESTI BETUL

Pesanan & nasihat daripada Dr Shaikh Mohd Saifuddeen, IKIM

Kepada yang berhasrat menyambung pengajian ke peringkat *pascasiswazah*, beberapa perkara perlu diberikan perhatian:

1. Betulkan niat:
Niat menyambung pengajian adalah untuk memperoleh ilmu pengetahuan kerana Allah SWT. Bukannya sebab hendak dapatkan gelaran "Dr.", atau memperoleh kelulusan atas kertas, atau terpaksa buat sebab hendak naik pangkat, atau kerana mahu naik pentas semasa konvokesyen.

2. Asah kemahiran menjalankan penyelidikan:
Peringkat pascasiswazah bukan seperti zaman mahasiswa sarjana muda. Perlu dalami metodologi dalam menjalankan kajian, baik kualitatif atau kuantitatif atau kombinasi kedua-duanya. Perlu tahu perbezaan metodologi dengan metode. Jangan sampai ada yang berkata penyelidikan kualitatif tidak ada metodologi, misalnya.

3. Asah kemahiran menyampaikan idea dalam bentuk lisan dan tulisan:
Perlu ada usaha untuk meningkatkan kemahiran dan kemampuan menyampaikan idea hasil daripada pemikiran dan penyelidikan yang kita lakukan dalam bentuk lisan dan tulisan. Jika penyampaian lisan dan tulisan kita baik dan lancar, ia satu tanda ketajaman fikiran kita dalam menggarap idea untuk disampaikan kepada orang lain.

4. Baca, baca dan baca:
Jika ada sesiapa yang menyambung ke peringkat pengajian pascasiswazah tetapi tidak mahu akrab dengan buku, maka tidaklah perlu bersusah-payah menyambung pengajian.

5. Teliti dan rapi dalam penulisan:
Setiap huruf, penanda wacana, perkataan, ayat dan perenggan yang ditulis memberi gambaran ketelitian dan kerapian yang dimiliki oleh seseorang. Tulis dengan penuh teliti dan rapi, jangan tergesa-gesa. Reputasi penyelidik dilihat pada bukan sahaja pengolahan idea, malahan kepada sejauh mana teliti dan rapinya dia dalam penulisan.

6. Urus prioriti:
Pengurusan masa dan sumber serta disiplin diri berkait rapat dengan mengatur keutamaan dalam pengajian peringkat pascasiswazah. Melengah-lengahkan sesuatu yang boleh diselesaikan atau mendahulukan perkara yang tidak penting merupakan manifestasi pengurusan prioriti yang tidak kena pada tempatnya.

7. *Adab kepada penyelia*(SV)
Hendak berbeza pandangan dengan penyelia itu dibolehkan, tetapi buatlah secara beradab, berhemah dan berhikmah. Elakkan daripada melakukan perkara di belakang pengetahuan penyelia. Ingat yang apa sahaja yang kita lakukan sebagai calon pascasiswazah juga mempengaruhi imej dan reputasi penyelia.

8. Adab kepada pemeriksa:
Pemeriksa tesis diberikan tanggungjawab untuk memberikan ulasan, pandangan dan teguran kepada kajian kita. Sentiasa berlapang dada terhadap apa yang dilontarkan oleh pemeriksa. Jangan lihat mereka sebagai musuh. Pemeriksa adalah "peer reviewers" yang merupakan sebahagian proses dalam perkembangan ilmu pengetahuan. Jangan tolak ke tepi pandangan yang mereka berikan bulat-bulat. Jika baik pandangan mereka, terimalah dan buatlah pembetulan. Jika tidak bersetuju dengan pandangan mereka, berilah hujah-hujah ilmiah untuk berpegang kepada pendirian kita.

No comments:

Post a Comment