Alkisah
ada dua beradik yang hidup di sebuah desa. Entah kerana apa mereka terjerumus
ke dalam suatu pertengkaran yang serius. Ini adalah pertama kali mereka
bertengkar sedemikian hebat.
Padahal selama 40 tahun , mereka hidup harmoni bersama,
saling meminjam peralatan pertanian dan bahu-membahu dalam usaha perdagangan
tanpa sebarang masalah. Namun kerjasama yang akrab itu kini kian retak.!
Segala-galanya bermula hanya dengan silap faham yang kecil
yang kemudiannya bertukar menjadi perbezaan pendapat yang besar. Akhirnya
meledak dalam bentuk kata-mengata dan tuduh menuduh. Beberapa minggu sudah
berlalu, mereka saling berdiam diri tidak bertegur sapa.
Suatu pagi, seseorang mengetuk rumah si abang. Di depan
pintu berdiri seorang lelaki membawa kotak yang berisi perkakasan tukang kayu.
“Maaf tuan, sebenarnya saya sedang mencari pekerjaan” , kata lelaki itu dengan
ramah. “Barangkali tuan berkenan memberikan beberapa pekerjaan untuk saya
selesaikan”.
“Oh ya! Memang ada. Kau nampak ladang pertanian di seberang
sungai sana. Itu adalah rumah tetanggaku. ….Ah, sebenarnya dia adalah adikku.
Minggu lalu, dia menggorek permatang dengan jentolak lalu airnya ke tengah
padang rumput itu sehingga menjadi sungai yang memisahkan tanah kami.
“Hmm, barangkali ia melakukan itu untuk mempersendakanku,
tapi aku akan membalasnya lebih setimpal. Di situ ada longgokan kayu. Aku ingin
kau membuat pagar setinggi 10 meter untukku sehingga aku tidak perlu lagi
melihat rumahnya. Pokok pangkalnya aku ingin melupakannya.
Kata tukang kayu, “ Saya faham. Belikan saya paku dan
peralatan. Akan saya kerjakan sesuatu yang boleh membuat tuan berasa senang.”
Kemudian si abang pun pergilah ke kota untuk membeli
keperluan tukang kayu tersebut. Setelah menyerahkan barang-barang seperti yang
diperlukan kepada tukang kayu, si abang meninggalkan lelaki itu bekerja
sendirian. Sepanjang hari tukang kayu bekerja keras mengukur, mengergaji dan
memaku.
Pada senja harinya, ketika si abang petani itu kembali, tukang
kayu baru sahaja menyelesaikan pekerjaannya. Terbelalak biji matanya melihat
hasil pekerjaan tukang kayu itu. Sama sekali tidak ada pagar kayu sebagaimana
yang dimintanya. Namun, yang ada adalah sebuah jambatan merentasi sungai yang
menghubungkan ladang pertanian adiknya.
Jambatan itu begitu indah dengan tangga bertingkat-tingkat
yang disusun rapi. Dari seberang sana, terliha si adik bergegas berjalan
menaiki jambatan itu dengan kedua-dua tangannya terbuka lebar.
“Abangku, kau sungguh baik hati mahu membuatkan jambatan
ini. Padahal sikap dan kata-kataku menyakitkan hatimu. Maafkan aku, abang,”
kata si adik kepada abangnya.
Dua bersaudara itu pun bertemu di tengah-tengah jambatan
saling berjabat tangan dan berpelukan. Melihat itu, tukang kayu pun mengemaskan
peralatan bertukangnya dan bersiap-siap untuk pergi.
“ Hei, jangan pergi dulu. Tinggallah beberapa hari lagi.
Kami mempunyai banyak pekerjaan untukmu,” pinta si abang. “Sesungguhnya saya
ingin sekali tinggal di sini”, kata tukang kayu. “ Tetapi masih banyak jambatan
lain yang harus saya selesaikan”.
"HIJRAH ke tempat lain untuk membuat KEBAIKAN dengan redha Allah". CCTV Allah sentiasa merakam segala perbuatan secara luaran atau dalaman (niat dalam hati) kita walau di mana kita berada.
"HIJRAH ke tempat lain untuk membuat KEBAIKAN dengan redha Allah". CCTV Allah sentiasa merakam segala perbuatan secara luaran atau dalaman (niat dalam hati) kita walau di mana kita berada.
No comments:
Post a Comment